Saturday, September 5, 2009

Penduduk minta siapkan segera pembinaan SK Salarom

NABAWAN 4 Sept. - Jabatan Pelajaran Sabah diminta menyegerakan pembinaan bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Salarom, dekat sini bagi memastikan lebih 100 pelajar di sekolah berkenaan dapat belajar dengan selesa.

Tinjauan Utusan Malaysia di tapak pembinaan mendapati projek membina bangunan menggunakan kaedah pasang siap itu kelihatan seperti terbengkalai apabila bahan-bahan binaan bersepah dan tidak menampakkan kerja-kerja sedang dijalankan.

Beberapa pemimpin masyarakat dari kampung berdekatan ketika ditemui menyuarakan rasa kecewa dan bimbang dengan keadaan itu dan meminta pihak berkuasa mengatasi segera kelewatan itu.

Ketua Kampung Salarom, Mandaun Ampungit, 60, berkata, kerja-kerja pemasangan itu amat perlahan menyebabkan bahan-bahan pembinaan serta peralatannya rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Keadaan itu katanya, membimbangkan ibu bapa kerana jika bangunan sekolah baru itu yang dimulakan kerja-kerjanya pada 2007 lambat siap, kesesakan akan terus berlaku di bangunan lama sekolah.

"Bukan itu sahaja, perkara yang amat dibimbangkan tahap kebersihan dan keselamatan di persekitaran kawasan itu kerana terdapat serpihan dan potongan zink bertaburan di merata tempat," katanya.

Lebih menyakitkan hati penduduk tempatan katanya, pekerja-pekerja pembinaan sekolah pasang siap yang tinggal di situ membuang air besar di kawasan semak sekolah itu.

Menurutnya, perbuatan tidak bertanggungjawab pekerja berkenaan disedari oleh ibu bapa semasa mengadakan gotong-royong membersih kawasan sekolah itu baru-baru ini.

Ketua Kampung Tataluan, Andoi Tawanon, 61, pula berkata, bangunan baru sekolah itu sepatutnya tidak mempunyai masalah kerana semua bahan-bahan pembinaan sudah tersedia.

"Semua bahan sudah ada dan cuma menunggu untuk dipasang sahaja, kita boleh lihat bahan-bahan binaan dan peralatan berlonggok dan ada sesetengahnya sudah rosak," katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak sekolah tidak boleh berdiam diri dengan keadaan tersebut dan tindakan tegas perlu dilakukan untuk kebaikan murid-murid sekolah tersebut.


UPSR: Kerjasama ibu bapa cegah H1N1

KUCHING 4 Sept. - Ibu bapa kepada calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Selasa depan di negeri ini diminta bekerjasama dengan pihak sekolah memaklumkan sekiranya anak mereka mempunyai tanda jangkitan influenza A (H1N1) atau selesema babi.

Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Dr. Julaihi Bujang berkata, perkara itu penting bagi mencegah berlaku penularan jangkitan selesema babi kepada calon lain yang menduduki peperiksaan itu.

Katanya, calon-calon yang dijangkiti atau disyaki mendapat H1N1 juga dikehendaki memakai topeng penutup mulut dan hidung sepanjang masa dan kerap membasuh tangan.

''Selain itu, mereka juga dinasihatkan supaya tidak pergi ke tempat perkumpulan orang ramai bagi memastikan mereka tidak dijangkiti wabak berkenaan sebelum peperiksaan UPSR bermula," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Julaihi memberitahu, Jabatan Pelajaran telah mengambil tiga langkah awal bagi membendung penularan wabak berlaku semasa UPSR berlangsung iaitu dengan membenarkan murid yang telah dimasukkan ke wad boleh menduduki peperiksaan itu di hospital.

Selain itu katanya, mereka yang mempunyai tanda jangkitan H1N1 akan diasingkan dengan calon yang sihat di sebuah bilik khas.

''Langkah terakhir ialah sekiranya penularan wabak berlaku, hanya calon yang menduduki peperiksaan sahaja diminta hadir ke sekolah.

''Namun, pihak sekolah perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Pegawai Pelajaran Daerah masing-masing sebelum melaksanakan tindakan itu," katanya.

Sementara itu, Julaihi berkata, seramai 46,311 orang calon UPSR dari 1,263 sekolah diseluruh Sarawak akan menduduki peperiksaan itu pada 8 hingga 10 September depan.


Kempen bendung H1N1 sekolah Sepanggar

KOTA KINABALU 4 Sept. - UMNO Sepanggar hari ini melancarkan program pengagihan penutup hidung dan mulut ke setiap sekolah di kawasan itu bertujuan membendung penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Naib Ketua UMNO Sepanggar, Zaitun Mohd. Kassim berkata, selain itu, program anjuran Biro Perkhidmatan Sosial diharap dapat meningkatkan kesedaran pelajar tentang pencegahan wabak H1N1 itu.

"Pencegahan secara drastik perlu dilakukan kerana penularan wabak yang semakin serius. Hampir setiap hari kematian dilaporkan dan ini menuntut kesedaran berterusan daripada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengagihan dan penyerahan bendera Malaysia serta penutup hidung dan mulut di Sekolah Kebangsaan Likas di sini semalam.

Zaitun berkata, program tersebut akan dibuat secara berperingkat-peringkat di setiap sekolah di kawasan Sepanggar bagi mengelakkan penularan wabak tersebut dengan lebih teruk.

"Buat masa ini beberapa sekolah telah kita agihkan penutup hidung dan mulut dan program ini diteruskan ke sekolah lain di kawasan Sepanggar.

"Kita harap dengan adanya program sebegini mampu mengekang penularan wabak H1N1 terutama kepada kanak-kanak sekolah," katanya.

Dalam pada itu, menurut Zaitun, Jalur Gemilang turut diagihkan pada program itu bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Katanya, ia penting bagi memupuk semangat cintakan negara di kalangan generasi muda tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya.


Friday, September 4, 2009

Periksa suhu calon UPSR

Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
uminadirah@bharian.com.my


Datuk Dr Wee Ka Siong

Elak wabak H1N1 jangkiti 500,000 murid

JOHOR BAHRU: Kira-kira 500,000 murid yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu depan wajib menjalani ujian suhu badan sebelum menduduki peperiksaan itu sebagai langkah mengelak penularan wabak Influenza A(H1N1) atau selesema babi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata kementerian dalam mesyuarat semalam memutuskan semua calon UPSR bermula Selasa ini perlu menjalani pemeriksaan itu dan mereka yang suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius akan diasingkan.

"Mereka yang suhu badan melebihi 37.5 darjah celsius hanya dibenarkan mengambil peperiksaan di tempat berasingan yang akan diatur pihak sekolah.

"Sebuah bilik pengasingan akan diwujudkan di semua pusat peperiksaan, jauh daripada dewan utama peperiksaan.

"Pengawas akan menggunakan alat infra-merah untuk mengambil suhu badan calon. Prosesnya yang cepat dan tepat tidak akan menjejaskan peperiksaan," kepada pemberita selepas pelancaran kempen mencegah H1N1, di sebuah pusat beli-belah, di sini semalam.

Berhubung kes pelajar yang tidak sihat dan perlu dimasukkan ke hospital, Wee berkata mereka akan dibenarkan menduduki peperiksaan pada tarikh lain di bawah pengawasan khas.

Wee juga berkata, semua 32,000 pengawas peperiksaan UPSR di seluruh negara akan dibekalkan pelarut sanitizer dan penutup mulut serta hidung untuk mengelakkan penularan penyakit itu.

Beliau berkata, kementerian juga akan mengguna pakai kaedah sama untuk semua peperiksaan utama seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).


Tuesday, September 1, 2009

GAPENA DESAK KERAJAAN MANSUH SEGERA PPSMI

1st September, 2009

KUANTAN: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) kelmarin mendesak kerajaan supaya memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan segera iaitu sebelum bermula sesi persekolahan Januari tahun depan.

Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein berkata pemansuhan PPSMI yang sebelum ini diputuskan pada 2012 seharusnya dibuat serta merta dengan Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dan bukan lagi secara dwibahasa.

Katanya tindakan tersebut adalah wajar dan boleh dilaksanakan memandangkan keputusan pelaksanaan PPSMI enam tahun lepas mampu dibuat serta merta.

“Dulu masa kerajaan mahu tetapkan PPSMI, boleh dibuat sekelip mata tetapi mengapa nak memansuhkannya tidak boleh pula, kenapa mesti tunggu sehingga 2012,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kandungan Deklarasi Inderapura Pahang Darul Makmur yang dikeluarkan sempena Seminar Kenegaraan dan Jati Diri Melayu 2009 di sini kelmarin.

Beliau berkata tindakan pemansuhan segera itu dilihat boleh menyelamatkan pelajar yang mungkin gagal dalam peperiksaan disebabkan kelemahan mereka menguasai Bahasa Inggeris.

Ismail berkata kandungan lain deklarasi itu ialah Gapena meminta kerajaan menyediakan peruntukan besar bagi menampung kos psarana pengajaran dan pembelajaran, elaun guru, menambah guru pakar, penterjemahan dan penerbitan buku-buku serta penambahan peralatan multimedia.

“Kita juga mahukan Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di semua fakulti peringkat pengajian tinggi awam dan swasta seperti mana sebelum tahun 2003,” kata beliau.

Bagi membina jati diri bangsa, beliau berkata Gapena mencadangkan mata pelajaran Sastera dan sejarah kebangsaan negara dijadikan mata pelajaran wajib bagi semua peringkat pengajian dan aliran.

Ismail berkata, deklarasi itu juga menuntut kerajaan tidak menghapuskan identiti bangsa, kaum dan agama dalam sebarang borang rasmi kerajaan seperti dicadangkan pihak tertentu sebelum ini.

“Kita tidak mahu perkara ini berlaku. Jika dihapuskan identiti, maka seluruh perjuangan untuk mengangkat status bumiputera akan terhapus atau tidak diberi penegasan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menyembahkan deklarasi itu kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan juga Raja-raja Melayu yang lain dalam masa terdekat.


Strategi jawab soalan Bahasa Melayu Pemahaman

Oleh Anuar Ahmad

SIKAP tidak berhati-hati, gopoh dan malas berfikir panjang sewaktu menjawab soalan adalah antara faktor menyebabkan calon kehilangan markah atau tidak memperoleh jumlah maksimum untuk kertas Bahasa Melayu Pemahaman.

Bagi membantu calon mendapat markah maksimum, beberapa petua diberikan bagi menjawab soalan kertas ini dengan baik.

BAHAGIAN TATABAHASA

Pastikan calon sudah menguasai kesemua aspek penggunaan bahasa dalam bahagian tatabahasa.

Langkah ini penting kerana kesemua pilihan jawapan yang diberikan perlu difahami makna atau maksudnya terlebih dulu sebelum memilihnya sebagai jawapan.

Berikut beberapa langkah yang perlu dilakukan calon sewaktu menjawab soalan bahagian tatabahasa.

A. Faham

Seperti dikatakan, calon perlu memahami maksud kesemua pilihan jawapan yang diberikan. Kesalahan memilih jawapan berlaku kerana calon tidak memahami pilihan jawapan tersebut.

Untuk menjawabnya, ada dalam kalangan calon hanya mengagak maksud jawapan tersebut. Tindakan ini salah kerana calon perlu berusaha memahami maksud pilihan jawapan itu, bukan sekadar mengagak.

Biasanya akan wujud satu atau dua pengganggu jawapan yang paling dekat dengan jawapan yang tepat. Oleh itu, calon perlu benar-benar memahami pilihan jawapan yang disediakan.

Sebaiknya, buatlah catatan ringkas mengenai maksud bagi setiap pilihan jawapan tersebut.

Contoh soalan;

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

A lincir - licin

B cekap - mampu melakukan

C pintar - pandai

D lancar - fasih

B. Baca

Baca ayat soalan. Fahami betul-betul ayat tersebut dan kesesuaiannya dengan pilihan jawapan. Pilihan jawapan sebeginilah yang biasanya menjadi perangkap terutama kepada calon yang kurang berfikir.

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

C. Kesan

Calon perlu mengesan klu yang terdapat dalam ayat atau gambar. Ini penting kerana klu inilah yang akan membantu dan memudahkan calon memilih jawapan yang tepat.

Dalam soalan ini, klunya adalah ‘menyampaikan’ (Bulatkan perkataan menyampaikan).

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

D. Pilih

Peringkat ini paling penting. Pilihlah jawapan yang paling tepat dan mengikut kehendak soalan. Oleh itu, fahamkan betul-betul kesesuaian ayat dengan pilihan jawapan.

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

Pengganggu jawapan yang hampir tepat

A lincir - licin

B cekap - mampu melakukan

C pintar - pandai

D lancar - fasih

Pilihan jawapan yang paling tepat

Selain itu, pastikan calon mengikuti langkah berikut:

* Jawab soalan yang mudah terlebih dulu.

* Jangan membuang masa dengan menjawab soalan yang susah.

* Peruntukkan masa antara 15 hingga 20 minit untuk bahagian tatabahasa.

* Segera jawab soalan bahagian petikan.

* Baki masa perlu digunakan untuk menyemak semula jawapan.

BAHAGIAN PEMAHAMAN

Calon hanya perlu menjawab 10 soalan dalam bahagian pemahaman. Namun begitu, setiap soalan berkait rapat dengan petikan yang disediakan.

Antara langkah yang perlu dilakukan sewaktu menjawab soalan petikan ialah:

A. Baca dan faham

Calon perlu membaca petikan dan memahaminya terlebih dulu. Selepas itu barulah membaca soalan dan memahami pilihan jawapan yang disediakan. Jangan menjawab soalan tanpa membaca petikan terlebih dulu.

Contoh soalan:

Sebelum menghilang, lelaki itu berpesan seandainya mereka berjaya menangkap ikan di kawasan tersebut hendaklah dilepaskan semula beberapa ekor sebagai tanda menghormati.

Apakah pesanan terakhir lelaki tersebut?

A Jangan menangkap ikan di kawasan tersebut.

B Beberapa ekor ikan perlu dilepaskan selepas memancing.

C Memancing akan menyebabkan dia diserang penyakit misteri.

D Di dalam kawasan tersebut ada beberapa ekor ikan yang boleh ghaib.

B. Cari pembayang jawapan

Biasanya klu atau pembayang jawapan ada dalam petikan. Calon perlu menggariskan klu tersebut.

Sebelum menghilang, lelaki itu berpesan seandainya mereka berjaya menangkap ikan di kawasan tersebut hendaklah dilepaskan semula beberapa ekor sebagai tanda menghormati.

C. Penyesuaian

Sesuaikan pembayang yang ditanda atau digariskan dengan pilihan jawapan diberikan.

Apakah pesanan terakhir lelaki tersebut? (soalan)

... lelaki itu berpesan seandainya mereka berjaya menangkap ikan di kawasan tersebut hendaklah dilepaskan semula (pembayang)

D. Memilih

Jika calon sudah jumpa pilihan jawapan yang sesuai dengan pembayang ditanda atau digariskan, pilihlah jawapan tersebut mengikut kehendak soalan. Jangan sesekali memilih jawapan yang tidak ada pembayangnya dalam petikan.

Apakah pesanan terakhir lelaki tersebut?

A Jangan menangkap ikan di kawasan tersebut.

B Beberapa ekor ikan perlu dilepaskan selepas memancing. (JAWAPAN)

C Memancing akan menyebabkan dia diserang penyakit misteri.

D Di dalam kawasan tersebut ada beberapa ekor ikan yang boleh ghaib.

Langkah di atas perlu dilakukan dengan penuh teliti. Namun begitu beberapa kelemahan perlulah diatasi agar calon tidak melakukan kesilapan merugikan. Antara kelemahan tersebut ialah:

i. Tidak membaca arahan untuk setiap soalan.

ii. Menjawab soalan dengan tergesa-gesa.

iii. Kurang memberi tumpuan kepada kata kunci pada setiap soalan.

iv. Membuang masa dengan soalan yang susah.

v. Tersalah menanda jawapan yang sepatutnya pada kertas jawapan.

vi. Menghabiskan masa terlalu lama membaca petikan.

vii. Tidak memadam jawapan yang salah dengan bersih pada kertas OMR.

Ingat!:
Sebaik saja selesai menjawab semua soalan, kira jumlah tanda hitam di atas kertas OMR. Pastikan tanda hitam itu cukup 40. Jika kurang, bermakna ada soalan yang belum berjawab, tetapi jika lebih, mungkin ada soalan yang ditanda dua jawapan. Oleh itu, calon perlu semak semula.


Monday, August 31, 2009

KST beri fahaman mudah kepada guru

PULAU PINANG 30 Ogos - Kajian secara tindakan (KST) merupakan asas yang dipraktikkan oleh para guru bersama pelajar-pelajar di dalam kelas untuk memberi pemahaman mudah kepada guru.

Justeru, Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Pulau Pinang, Fatimah Othman berkata, hasil atau output KST mampu memberikan pemahaman yang lebih mudah difahami kepada guru.

''Guru akan lebih cepat fahami bagaimana cara untuk mereka memantapkan lagi pedagogi dan metodologi pembelajaran di dalam kelas di samping meningkatkan pengetahuan serta kemahiran pelajar.

''Sehubungan itu, pihak jabatan mengambil inisiatif menganjurkan seminar berkaitan KST bagi memperkukuhkan aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran di kelas,'' katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Seminar Kajian Secara Tindakan Antarabangsa Pulau Pinang di Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau (RECSAM) di sini baru-baru ini.

Kira-kira 250 orang guru sekolah rendah dan menengah menghadiri seminar tersebut yang rata-ratanya dari seluruh daerah di negeri ini.

Fatimah berkata, berdasarkan kertas-kertas kerja yang dibentangkan pada seminar berkenaan, beliau yakin matlamat mampu dicapai pada masa hadapan.

"Saya berharap guru-guru terutamanya yang baru dapat manfaat daripada program ini dan sekali gus membayangkan akan ada lebih ramai para pendidik bersedia berkongsi ilmu serta pengalaman,'' jelasnya.