Oleh ANUAR AHMAD
PELAN Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 sedang disemak semula supaya sentiasa relevan dengan keperluan masyarakat. Tindakan ini memang perlu dan penting demi kesejahteraan dan pembangunan pendidikan negara.
Malah semakan terhadap PIPP ini juga jelas memberikan tumpuan kepada usaha pembangunan pendidikan luar bandar dan juga pendidikan rendah, sesuatu yang akan menentukan kejayaan sistem pendidikan negara.
UNESCO pada 2001 menetapkan Matlamat Pembangunan Pendidikan Millennium Kedua (MDG) untuk memastikan semua kanakkanak yang berumur tujuh tahun bersekolah di seluruh dunia pada 2015. Sehingga 2006, data menunjukkan lebih 115 juta pelajar tidak bersekolah manakala lebih 150 juta lagi keciciran atau tidak berjaya menamatkan pengajian di sekolah rendah di seluruh dunia.
Di Malaysia sahaja, data kementerian mengenal pasti terdapat seramai 125,000 kanak-kanak yang mencapai umur tujuh tahun tetapi masih belum berpeluang ke sekolah rendah.
Kajian oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkaitan kadar pulangan pelaburan pendidikan mendapati, pendidikan sekolah rendah memberikan pulangan modal perseorangan dan modal sosial yang paling tinggi berbanding perbelanjaan yang dikeluarkan untuk sekolah menengah dan universiti.
Maksudnya setiap ringgit yang dibelanjakan untuk menjayakan pendidikan rendah akan menyebabkan masyarakat mendapat pulangan hasil yang lebih tinggi termasuk penjimatan kos pengurusan, misalnya pendidikan menangani masalah sosial seperti penagih dadah dan jenayah.
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan penekanan kepada pendidikan rendah. Sesetengah orang tidak dapat membezakan antara pendidikan asas dan sekolah rendah.
Apakah yang dikategorikan sebagai pendidikan asas? Tentulah bidang ilmunya dan bukan status sekolah tersebut. Maknanya pelajar diberikan ilmu asas bukannya ilmu rendah. Ilmu asas di sekolah rendah boleh sahaja menjadi sangat mustahak, penting dan tinggi nilainya berbanding ilmu di sekolah menengah atau di universiti sekalipun. Penting pada pelajar dan lebih-lebih lagi pada pembangunan negara.
Jika ilmu asas tidak kukuh, maka ilmu lanjutan yang dipelajari di sekolah menengah dan universiti tentunya tidak jelas atau berkualiti tinggi di dalam diri pelajar. Kebetulannya di kebanyakan negara, pendidikan asas dilaksanakan sepenuhnya di sekolah rendah, maka kekeliruan ini berterusan di dalam masyarakat.
Pendidikan asas sebenarnya satu komponen ilmu yang diberikan kepada individu meliputi asas-asas kehidupan sama ada sebagai seorang individu manusia dan sebagai seorang ahli dalam sebuah negara.
Maka itu, pendidikan asas sering kali dikaitkan dengan akronim 3M (membaca, menulis dan mengira).
Sebenarnya pendidikan asas lebih daripada itu kerana pendidikan asas juga meliputi soal pendidikan kesihatan dan penjagaan diri, kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi serta berkaitan dengan pembangunan moral dan agama. Oleh itu apabila pendidikan rendah hanya menekankan soal pendidikan berkonsepkan 3M maka matlamat pendidikan asas gagal dicapai sepenuhnya semasa di sekolah rendah.
Pendidikan asas juga seharusnya tidak melibatkan satu proses pengaliran (streaming) yang rigid. Malah penilaian yang dilakukan kepada pelajar untuk pendidikan asas bukanlah sepatutnya melihat siapa yang paling pandai tetapi tumpuan sepatutnya diberikan untuk setiap pelajar mencapai tahap-tahap yang sepatutnya dicapai sepanjang program pendidikan asas.
Oleh itu, penggredan yang terlalu ketat melalui peperiksaan 'membunuh' potensi pelajar di dalam sistem pendidikan asas. Penilaian sepatutnya mengukur tahap-tahap yang telah dan belum dicapai tanpa membandingkan dengan ahli kumpulan yang lain.
Maka tidak hairanlah ada negara yang menggunakan istilah "sekolah asas" berbanding sekolah rendah. Pendidikan asas adalah satu konsep yang besar dan luar.
Tanpa mengira usia atau ruang, pendidikan asas boleh sahaja bermula sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, universiti atau di usia tua.
Maka pendidikan untuk orang dewasa juga meliputi aspek ilmu asas. Jika seseorang dewasa ingin mempelajari asas komputer dan teknologi maklumat maka kurikulum pendidikan asas sepatutnya menyediakan peluang pendidikan tersebut, berbanding pendidikan sekolah rendah yang hanya tertumpu kepada kanak-kanak semata-mata.
Justeru itu, ke manakah golongan dewasa yang buta huruf perlu pergi jika mereka ingin belajar? Apakah kita akan menghantar mereka ke sekolah rendah untuk mempelajari pendidikan asas membaca, menulis dan mengira?
Malangnya masyarakat sering melihat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai sangat penting tetapi melihat ujian asas seperti kebolehan membaca, menulis dan mengira atau sebarang peperiksaan untuk pendidikan asas tidak begitu penting.
Malah ujian kebolehan bertutur, membaca, menulis dan mengira dianggap sebagai remeh dan tidak mendapat perhatian sepenuhnya. Jika ditanya berapakah peratus rakyat kita yang benar-benar buta huruf, separa buta huruf atau tahap-tahap kemahiran mengira, sukar untuk dijawab dengan pasti oleh pihak kementerian hatta ahli akademik dalam bidang pendidikan sekalipun.
Media massa juga sangat kurang memberikan perhatian kepada pencapaian pendidikan asas berbanding keputusan peperiksaan di sekolah. Begitu juga guru sekolah rendah dikategorikan sebagai kurang penting berbanding guru sekolah menengah atau pensyarah universiti.
Lihat sahaja kelulusan yang diperlukan untuk menjadi guru sekolah rendah dan gred tangga gaji mereka berbanding guru sekolah menengah atau pensyarah universiti.
Maka itu sistem pendidikan asas perlu dipantau oleh pihak Kementerian Pelajaran agar tidak seorang pelajar pun tercicir daripada mendapat peluang pendidikan asas.
Jika kita tidak membuat persiapan dengan mengemaskan pendidikan asas dikhuatiri akan ada anak-anak yang tertinggal di peringkat sekolah rendah dan akan terus tercicir dalam mendapat peluang pendidikan di peringkat pendidikan yang lebih tinggi.
Di peringkat pendidikan asas, anak-anak ini akan belajar pelbagai perkara, bukan untuk tujuan dinilai di dalam peperiksaan tetapi didedahkan dengan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan. Kemajuan mereka dipantau secara dalaman oleh guru, dilakukan modifikasi tingkah laku dan strategi meningkatkan kognitif jika diperlukan.
Apakah guru kita terlatih untuk melakukan semua itu? Apakah latihan guru mempunyai topik penyelesaian masalah atau hanya sekadar mendedahkan bakal-bakal guru kepada teori-teori psikologi lama pendidikan yang sebahagiannya diragui oleh pakar pendidikan kontemporari?
Maka selepas pendidikan asas, anak-anak ini akan meneruskan pendidikan di peringkat pendidikan menengah dan tinggi.
Di peringkat asas, selain 3M yang menjadi keutamaan, kemahiran interpersonal, agama, nilai moral, jari diri kewarganegaraan, pendidikan kesihatan dan sukan serta keselamatan diri sepatutnya turut dilaksanakan.
Para pelajar juga seharusnya didedahkan kepada alam serta hubungannya dengan kehidupan manusia, seni dan muzik serta sains asas. Semua elemen ilmu asas ini digabung jalin dan tidak seharusnya terlalu terikat mengikut disiplin akademik tetapi satu bentuk kurikulum yang lebih berpusatkan pembangunan pelajar.
Kurikulum juga perlu lebih hidup dan menepati keperluan para pelajar untuk menguasai dan menguruskan kehidupan mereka.
Pakar-pakar kurikulum seharusnya lebih bijak untuk menentukan isi kandungan pelajaran, tahap serta pedagogi yang sesuai untuk melaksanakan pendidikan asas kepada para pelajar. Penggabungan kurikulum secara holistik akan lebih memberikan makna kepada pelajar berbanding sistem pendidikan sekarang yang terlalu terikat kepada disiplin ilmu yang khusus.
Matlamat akhir pendidikan asas ialah jika seorang anak di bandar besar seperti Kuala Lumpur boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, maka perkara yang sama juga boleh dilakukan oleh pelajar di sekolah pedalaman.
Jika anak-anak di Damansara tahu bahawa menjaga gigi itu penting untuk kebersihan diri, perkara yang sama juga perlu diketahui oleh pelajar di Long Pasia atau Long Batu.
Semua ini hanya boleh dilakukan jika pendidikan asas diselia dan dirancang dengan teliti. Guru-guru seharusnya mempunyai garis panduan pembelajaran dan pengajaran dan diberikan peluang untuk membina kurikulum sendiri berasaskan garis panduan tersebut.
Maka kita akan dapat melihat nanti anak-anak di Pulau Langkawi menjalankan pembelajaran mereka berasaskan kehidupan tempatan - suatu tempat yang rapat dengan kehidupan mereka.
Sementara anak-anak di Kuching pula akan juga mempelajari sesuatu yang rapat dengan mereka. Jika mereka belajar tentang pencemaran air, maka setiap anak-anak ini akan berpeluang untuk melihat pencemaran di sungai yang berdekatan. Jika mereka belajar tentang tempat bersejarah, maka mereka berpeluang menyelaminya sendiri di bandar atau daerah mereka.
Anak-anak ini pada peringkat asas belum lagi perlu untuk mempelajari sesuatu yang "jauh" dari mereka. Mereka bukan sahaja belum mengalami perkembangan kognitif yang lengkap sehingga umur mencecah 11 tahun (itulah pandangan umum para pakar teori perkembangan kanak-kanak), malah kurikulum yang di luar lingkungan bukan sahaja sukar tetapi tidak dapat menarik perhatian serta motivasi pembelajaran kanak-kanak.
Albert Einstein pernah berkata: "Jika ditanya pada anda apakah maksud pendidikan? Maka jawablah, pendidikan ialah perkaraperkara yang masih tertinggal di dalam ingatan seseorang apabila beliau sudah melupakan hampir semua perkara yang dipelajari semasa di sekolah dahulu".
Jika diingat-ingat kembali tentunya pembaca boleh bersetuju bahawa sebahagian besar perkara di dalam pendidikan asas bukanlah perkara yang mudah untuk kita lupakan.
PENULIS ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.