Sunday, July 19, 2009

Perihal Tudung Periuk, kain buruk dan orang Melayu

Oleh Mior Kamarul Shahid

SELUM ada sesiapa pun memperkenalkan sesuatu konsep teori, apatah teori yang kukuh berkaitan sikap orang Melayu. Polemik mengenai orang Melayu biasanya terhenti kerana bimbang kepada kesan sensitivitinya. Meskipun banyak kajian mengenai bangsa Melayu, ia hanyalah bahan rujukan akademik. Bercerita mengenai orang Melayu perlu menggunakan sentimen Melayu. Perhatikan seni kata lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem Sumpah Orang Minyak yang berbunyi:

Tudung periuk, pandai menari, menarilah lagu, Putera Mahkota, kainlah yang buruk, berikan kami, untuk menyapu, si air mata.

Lagu yang pendek ini menceritakan banyak perihal dan persoalan mengenai orang Melayu. Disebabkan filem itu diarah dan dilakonkan oleh orang Melayu, menceritakan kisah dan persekitaran masyarakat Melayu serta berasaskan kepada emosi orang Melayu sudah tentulah mesej filem dan maksud lagu tudung periuk itu ditujukan kepada masyarakat Melayu. Fungsi tudung periuk tidak lebih daripada menutup periuk sama ada ketika memasak untuk mempercepatkan gulai mendidih atau selepas masakan siap dimasak, untuk mengelakkan makanan tercemar oleh habuk dan kekotoran. Makanan diibaratkan kandungan atau isi kepada persoalan orang Melayu yang mengandungi roh, emosi, sentimen dan sebagainya.


Orang Melayu memang mengambil berat soal isi. Ketika periuk mendidih, tudung juga berasa panasnya dan menari-nari apabila ditolak wap. Begitulah perasaan orang Melayu yang ada kalanya meluap-luap. Apabila periuk sejuk, tudung juga sejuk. Persoalannya siapakah Putera Mahkota?

Lagu Tudung Periuk ini juga dikaitkan dengan kain buruk. Bagi orang Melayu dulu, kain buruk mempunyai nilai yang amat tinggi. Hari ini, ia tidak ada nilai satu sen pun. Nilai kain buruk dalam lagu itu amat tinggi kerana ia digunakan untuk menyapu air mata. Air mata adalah lambang kesedihan dan kedukaan.

Lihat pula seni kata ini;

Anak kecil main api.

Terbakar hatinya yang sepi.

Air mata darah bercampur keringat.

Bumi dipijak milik orang.

Nenek moyang kaya raya,

Tergadai seluruh harta benda,

Akibat sengketa sesama kita,

Cinta lenyap di arus zaman.

Indahnya bumi kita ini,

Warisan berkurun lamanya,

Hasil mengalir ke tangan yang lain,

Pribumi merintih sendiri.

Masa depan sungguh kelam,

Kan lenyap peristiwa semalam,

Tertutuplah hati terkunci mati,

Maruah peribadi dah hilang.

Kini kita cuma tinggal kuasa,

Yang akan menentukan bangsa,

Bersatulah hati bersama berbakti,

Pulih kembali harga diri.

Kita sudah tiada masa,

Majulah dengan maha perkasa,

Janganlah terlalai teruskan usaha,

Melayukan gagah di nusantara.


Ini juga adalah seni kata lagu yang sering dinyanyikan peserta kursus motivasi di kem bina semangat. Baris pertama seni kata lagu ini sudah menggambarkan betapa bahayanya anak kecil bermain dengan api. Jika dianalisis baris demi baris seni kata lagu ini, secara ringkasnya ia menjurus kepada peringatan khas untuk orang Melayu bahawa negara ini akan tergadai, sekiranya mereka tidak bersatu padu dan terus berbalah sesama sendiri. Biasanya, lagu ini dinyanyikan dengan penuh perasaan hingga mereka yang menyanyikannya boleh mengalirkan air mata. Lagu ini dicipta untuk menyedarkan orang Melayu supaya melakukan apa juga tindakan demi mempertahankan negara ini supaya tidak terlepas ke tangan orang lain.

Persoalannya, adakah seni kata lagu ini mahu terus menerus dijadikan benteng kepada orang Melayu untuk mempertahankan martabat bangsa? Realiti hari ini, apa juga yang cuba dipertahankan, sudah menjadi kenyataan. Jika lagu ini mengajak orang Melayu supaya menghindari perpecahan, ia sudah menjadi realiti, malah retak sentiasa menunggu belah. Apakah Melayu boleh menjadi gagah di bumi ini sekiranya mereka asyik bertelagah. Perpecahan bukan sekadar menjadi punca kepada kemusnahan, tetapi bumi yang dipijak ini juga boleh tergadai. Semangat orang Melayu tidak boleh diperkasa menerusi lagu, tetapi ilmu. Itulah sebabnya, selepas negara merdeka, rakyat dituntut supaya meningkatkan keupayaan menuntut ilmu. Bagaimana orang Melayu mahu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum lain dalam gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jika mereka tidak menunjukkan teladan yang baik. Orang Melayu perlu bersatu terlebih dulu supaya kaum lain hormat kepada mereka. Malangnya, persoalan menuntut ilmu juga menjadi punca orang Melayu bertelagah pendapat.

Sejak 2003, ramai yang berbeza pandangan soal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Golongan yang menentang memberi hujah yang beremosi menggunakan hujah maruah, darjat, martabat, kedaulatan bangsa dan bahasa dan sebagainya. Mereka yang menyokong juga memberi hujah sama, menggunakan hujah yang sama � untuk membangunkan bangsa. Hari ini, selepas enam tahun berlalu, keputusan sudah dibuat supaya PPSMI dimansuhkan mulai 2012 selepas ia tamat satu pusingan, khasnya bagi meredakan masalah mereka yang mula-mula mengikuti dasar itu sejak tahun ia dilaksanakan. Berikutan itu, ada pihak tidak menyetujuinya. Alasan menyokong dan menyanggah, sama-sama kuat. Daripada beberapa kajian dijalankan, ada hasil kajian yang boleh dijadikan panduan untuk memudahkan kerajaan membuat keputusan. Antara contoh ketara menilai kemampuan penggunaan bahasa Inggeris dalam dua mata pelajaran Sains dan Matematik ini, didapati sebahagian besar pelajar, khasnya Melayu sukar menghayati apa yang diajar menyebabkan mereka gagal mendapat keputusan yang baik.

Lihat contoh soalan Matematik untuk murid Tahun 5 ini yang diuji pada Februari 2007 dan Januari 2008:

1) Six pencils cost RM2.40. How much does a pencil cost?

2) The library in SK Pulai has 4,038 Bahasa Melayu books and 3,529 English books. If 793 are taken out from the library, how much books are there in the library now?

3) Jane is 11 years 4 months old. Her sister, Janice is 2 years 8 months older than her, how old is Janice?

Berasaskan kepada kajian Kesan Dasar PPSMI di Sekolah Rendah dan Menengah dijalankan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim, didapati dari segi peratusnya, anak Melayu ketinggalan.

Contoh soalan lain:

Dalam perpustakaan sekolah, terdapat 457 buah buku BM. Sebanyak 120 buah buku dipinjam oleh pelajar pada hari Isnin. Pada hari Selasa pula, sebanyak 87 buah buku dipinjam. Berapa buah bukukah yang tinggal di perpustakaan sekolah itu?.

Soalan dalam bahasa Malaysia ini menarik 80.2 peratus pelajar Melayu menjawabnya, 79.6 peratus Cina dan 66.9 peratus India. Trend sama juga berlaku dalam mata pelajaran Sains. Hasil daripada beberapa kajian yang dijalankan Kementerian Pelajaran dan beberapa badan bebas, mencetuskan tindakan kerajaan untuk memansuhkan dasar ini.

Oleh itu, perbalahan mengenai PPSMI ini tidak sepatutnya dipanjangkan kerana keputusan sudah pun dibuat dengan langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan bahasa Inggeris. Pelan untuk mengembangkan bahasa ini sudah pun diatur dan diharap ia dapat dilaksanakan dengan sempurna. Perbalahan mengenai bangsa tidak seharusnya diteruskan yang akhirnya hanya akan menyebabkan orang Melayu menangis dan terpaksa mencari kain buruk untuk menyapu air mata, sebagai mana diungkapkan dalam lagu Tudung Periuk.


No comments:

Post a Comment