MELAKA 23 Julai - Pelajar di negeri ini dinasihatkan menguasai bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka berhadapan dengan cabaran globalisasi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, pelajar memiliki kemahiran bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris seawal mungkin.
Menurutnya, pelajar yang mahir dalam bahasa Inggeris bukan setakat mampu bersaing dengan rakan sebaya malah boleh mewujudkan persaingan di peringkat global.
Katanya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam menjadikan anak-anak mereka cemerlang dalam semua subjek terutama mata pelajaran Bahasa Inggeris.
''Kecemerlangan pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris harus diberi perhatian oleh ibu bapa dan guru.
''Ini bertujuan untuk melahirkan generasi baru yang berkebolehan memimpin negara dan pada masa yang sama mampu menguasai bahasa Inggeris bertaraf antarabangsa," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Smart Reader Kids di sini semalam.
Menurutnya, adalah satu perkara yang merugikan sekiranya rakyat negara ini tidak mampu menguasai bahasa tersebut dengan baik kerana ia merupakan bahasa pengantar dunia dan penting dalam komunikasi.
Justeru itu katanya, inisiatif pihak tertentu dengan menubuhkan Pusat 'Smart Reader Kids' adalah amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan penduduknya yang dapat menguasai bahasa itu sejak usia empat tahun.
''Usaha ini perlu dicontohi masyarakat lain dalam melahirkan anak-anak yang mahir berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris selain membolehkannya mendapat sumber pendapatan yang utama," katanya.
No comments:
Post a Comment