Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my
Warga SMK Tun Mamat diberi rawatan pesakit luar
TANGKAK: Seramai 142 pelajar dan empat guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mamat di sini dipercayai keracunan makanan dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tangkak di sini sejak pagi kelmarin hingga pagi semalam.
Pelajar sekolah itu mula dihantar ke hospital berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi, kelmarin dengan ambulans dan beberapa kereta guru.
Selepas jam 6.30 petang kelmarin hingga awal pagi semalam, lebih ramai pelajar sekolah itu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan keluarga masing-masing.
Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Sufaat Tumin, berkata seramai 142 pelajar dan empat guru dihantar ke hospital sebagai pesakit luar kerana dipercayai keracunan makanan selepas menikmati juadah di kantin sekolah itu, kelmarin dan tiada yang dimasukkan ke hospital.
Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Johor bagi mengenal pasti punca pelajar di sekolah itu mengalami muntah, cirit birit, sakit perut dan pening.
"Kantin sekolah itu sudah diarah tutup selama tiga hari bermula hari ini (semalam) dan pentadbiran sekolah akan menguruskan bekalan makanan untuk sementara ketika kantin itu ditutup.
"Pelajar juga dinasihatkan membawa bekalan makanan sendiri dari rumah," katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, tinjauan sehingga jam 1 petang semalam di perkarangan hospital, mendapati beberapa jam selepas sesi persekolahan bermula, ramai pelajar dan guru yang menunjukkan tanda keracunan makanan dihantar untuk mendapatkan rawatan.
Pegawai Pejabat Kesihatan Ledang, Dr Ahmad Nizal, berkata 10 sampel makanan sudah diambil dari kantin sekolah itu untuk dianalisis di Johor Bahru.
"Kes ini terkawal dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu," katanya.
Seorang pelajar yang enggan dikenali berkata, beliau makan 'hot dog' dan sambal di kantin kelmarin tetapi hanya muntah-muntah selepas sesi persekolahan bermula pagi semalam.
Katanya, selepas muntah beberapa kali di sekolah guru menghantarnya bersama beberapa rakan yang lain ke hospital untuk rawatan.
"Pelik juga ada rakan yang tidak makan di kantin tetapi turut keracunan makanan," katanya.
Seorang bapa, Jamaludin Abu Bakar, 38, berkata anaknya, Nur Shahrien pelajar tingkatan satu sekolah itu memaklumkan pening kepala sejak balik sekolah kelmarin.
No comments:
Post a Comment