|
|
GOMBAK 23 Julai - Murid-murid Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis (SKTKP) di sini berasa kecewa kerana saban hari terpaksa berpanas ketika menggunakan jejantas berdekatan sekolah mereka untuk menyeberangi Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE).
Nasib murid-murid lebih buruk jika hujan ketika mereka sedang berjalan di atas jejantas yang tidak berbumbung berhampiran Taman Koperasi Polis itu.
Seorang murid yang ditemui, Mohd. Izham Mohd. Nor Kamil, 12, berkata, dia berasa kecewa kerana masih belum ada perubahan yang dilakukan terhadap jejantas itu.
Dia tidak tahu mengapa jejantas itu dibiarkan tidak berbumbung sedangkan tiga jejantas lain yang menyeberangi lebuh raya ini berada dalam keadaan sempurna.
"Apa yang saya tahu hanya jejantas ini yang paling banyak pengguna termasuk kami yang pergi dan balik dari sekolah manakala yang lain kurang," katanya ketika ditemui.
Tinjauan oleh Utusan Malaysia mendapati jejantas tersebut merupakan laluan utama yang sering digunakan kerana ia paling hampir dengan SKTKP.
Apa yang menghairankan jejantas pilihan utama itu tidak dilengkapi bumbung sepenuhnya.
Hanya bahagian tengah yang merentasi lebuh raya itu sahaja yang bertutup manakala bahagian tanjakannya dibiarkan terbuka.
Sebelum ini Utusan Malaysia pernah menyiarkan rungutan ibu bapa pelajar tentang masalah ketiadaan jejantas berhampiran SKTKP dan masalah itu telah mendapat perhatian DUKE yang memenuhi permintaan mereka.
Kini, apabila jejantas telah siap, penduduk sekitar berasakan ia tidak sempurna pula.
Sarina Omar, 47, berkata, dia berasa hairan kenapa hanya jejantas itu tidak dipasang bumbung sepenuhnya seperti jejantas lain di kawasan itu.
"Saya berasa kasihan dengan murid-murid yang menggunakan jejantas ini yang sering terdedah kepada hujan dan panas.
"Setiap kali pulang dari sekolah mereka terpaksa mendaki dan menuruni jejantas ini dengan menggalas beg sekolah masing-masing dalam keadaan cuaca negara kita yang tidak menentu.
"Keadaan ini agak bahaya kepada mereka yang menaiki basikal kerana sudah pasti lantai jejantas ini akan licin ketika hujan," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah tersebut dengan segera sebelum sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Sarina memberitahu dia dimaklumkan bahawa bumbung tidak dapat dipasang pada jejantas berkenaan kerana ia berhampiran dengan kabel elektrik voltan tinggi milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ujarnya, alasan itu tidak dapat diterima kerana pihak yang bertanggungjawab sepatutnya melakukan kajian dan perancangan teliti terlebih dahulu untuk mengenalpasti lokasi yang sesuai.
Sementara itu, Norfaridah Aziz, 52, mengharapkan kedua-dua tanjakan jejantas yang tidak berbumbung itu dilengkapkan dengan segera.
"Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban pengguna jejantas ini terutamanya murid-murid yang hendak menyeberang lebuh raya setiap hari," katanya.
No comments:
Post a Comment