Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my
Alimuddin |
Menteri jawab kekeliruan, rungutan kepada 3,000 pendidik di PICC, Selasa
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan memberi taklimat kepada 3,000 golongan pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Selasa ini, berhubung tindakan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata ia selaras usaha kementerian yang akan terus memberi penjelasan kepada masyarakat berhubung pemansuhan PPSMI berikutan rungutan segelintir pihak yang masih mempertikaikan keputusan itu.
"Sekarang masih ada yang tidak begitu jelas...dalam tempoh seminggu dua nanti bila sudah diberikan taklimat dan penjelasan kepada Pengarah Pelajaran negeri dan semua pengetua, kita berharap semua persoalan akan terjawab," katanya pada sidang media selepas melancarkan Rakan Muda Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pelajaran Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya, Khairil Awang.
Alimuddin berkata, sebahagian besar golongan yang masih tidak berpuas hati itu mendakwa pemansuhan PPSMI hanya akan menjadikan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar lemah.
Beliau sebaliknya menasihatkan ibu bapa supaya tidak bimbang kerana dalam pakej baru itu, tumpuan diberikan kepada kepentingan bahasa Inggeris menerusi pelbagai program yang sudah dirancang.
Selain itu, Alimuddin berkata, pihaknya akan turut menyediakan risalah dan laman web bagi memberi peluang orang ramai mengemukakan sebarang pertanyaan berkaitan.
"Kita berharap tidak akan ada lagi sebarang aduan selepas ini kerana saya yakin dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM) dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBI) menggantikan PPSMI, penguasaan bahasa Inggeris pelajar akan menjadi lebih baik berbanding sekarang," katanya.
Ditanya sama ada kementerian berhasrat mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris ketika mengikuti aktiviti kokurikulum sebagai menyokong usaha itu, Alimuddin berkata;
"Saya tidak mahu komen lebih lanjut mengenai perkara itu...lagi pun sudah banyak program yang memerlukan pelajar berbahasa Inggeris termasuk program `English Day' dan `Summer Camp'," katanya.
Sementara itu, Alimuddin berharap peruntukan RM5,000 bagi setiap 2,181 sekolah menengah seluruh negara sebagai peruntukan menjalankan aktiviti kokurikulum dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar.
"Aktiviti kokurikulum memberi kelebihan kepada pelajar dan mewakili 10 peratus daripada markah keseluruhan yang dinilai untuk memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selepas tamat sekolah menengah," katanya.
No comments:
Post a Comment