Mohd Puad berkata, sikap pelajar terlalu mementingkan kecemerlangan akademik tanpa mengambil kira aspek kokurikulum menyebabkan mereka sering ketinggalan, sehingga dilabel sebagai mati sebelah tubuh yang jelas sekali merugikan negara.
Beliau berkata, pencapaian dalam bidang akademik dan kokurikulum perlu selaras kerana kedua-duanya mempunyai fungsi dan kepentingan tersendiri, terutama sebagai asas pemilihan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
"Bagi saya, pelajar yang cemerlang dalam satu aspek tidak ubah seperti mati sebelah tubuh, kerana hanya dapat mengguna separuh anggota saja. Pendek kata sebagai contoh, pelajar ada dua mata, tetapi hanya satu saja dapat digunakan.
"Saya sedar sikap sedemikian banyak didorong ibu bapa. Namun, saya harap ia dapat diubah sebelum melarat, sekali gus menyebabkan keupayaan dan daya saing pelajar kita terbatas.
"Malah, kegiatan kokurikulum kini menjadi asas penilaian penting selain akademik dalam bidang pendidikan negara. Selain itu, pelajar terutama di peringkat matrikulasi sendiri diterap semangat untuk mengimbangi keperluan antara dua bidang terbabit," katanya kepada pemberita di sini, malam kelmarin.
Terdahulu, beliau merasmikan Karnival Kokurikulum Matrikulasi 2009 (Kakom 2009) di Kolej Matrikulasi Perlis di sini. Hadir sama, Pengarah Kolej Matrikulasi Perlis, Azuyah Hassan.
Sementara itu, Mohd Puad ketika ditanya mengenai cadangan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berkata ia tidak timbul kerana fungsi peperiksaan berkenaan masih relevan dengan dasar pendidikan negara.
Beliau berkata, UPSR diwujudkan bertujuan menilai prestasi pelajar sekolah rendah iaitu membabitkan murid tahun satu hingga enam dan bukannya berorientasikan peperiksaan sepenuhnya.
"Justeru, saya percaya golongan yang meminta ia dimansuhkan, tidak memahami kepentingan UPSR diwujudkan. Apa pun, bagi saya, UPSR tetap relevan dan tiada sebab kenapa ia perlu dimansuhkan," katanya.
No comments:
Post a Comment