Sunday, July 19, 2009

Bumbung sekolah runtuh?


Beberapa pekerja kontraktor giat melakukan kerja-kerja pembersihan apabila bumbung anjung Sekolah Menengah Putra Perdana, Puchong dekat Kuala Lumpur runtuh awal pagi semalam.


KUALA LUMPUR 18 Julai - Runtuh atau dirobohkan?

Persoalan itu timbul selepas bumbung anjung bangunan Sekolah Menengah Putra Perdana di Puchong dekat sini, runtuh awal pagi ini.

Runtuhan kira-kira pukul 1.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada kekuda yang menyokong bumbung anjung bangunan itu tidak seimbang menyebabkan sebahagian daripadanya runtuh.

Bagaimanapun, struktur bangunan pejabat yang bersambung dengan anjung sekolah termasuk dinding dan lantai tidak mengalami sebarang kerosakan.

Kejadian berlaku di luar waktu persekolahan menyebabkan tiada yang tercedera.

Sekolah itu baru dibuka pada 15 Jun lalu pada peringkat permulaannya hanya menempatkan pelajar tingkatan satu dan dua.

Salah seorang pengawal keselamatan, N. Vasudevan, 60, berkata, ketika kejadian, dia dan dua lagi pengawal berada dalam pondok pengawal tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Saya tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat seolah-olah letupan. Kami bergegas ke tempat kejadian dan mendapati sebahagian besar bumbung anjung sekolah itu sudah runtuh," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Sementara itu, pihak pengurusan, Bintang Kencana Sdn. Bhd. yang dipertanggungjawabkan untuk pembinaan bangunan tersebut memberikan jawapan yang berbeza berhubung kejadian itu.

Menurut pengurus projeknya, Abdullah Sani, struktur bumbung anjung sekolah itu mengalami sedikit ketidakseimbangan akibat dilanggar jengkaut ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan petang semalam.

"Kami telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan sepatutnya memulakan tugas-tugas merobohkan bahagian anjung itu pagi ini," katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun, katanya, runtuhan itu berlaku sebelum mereka sempat memulakan tugas.

Menurut beliau, mereka tiba di sekolah itu seawal 6.30 pagi untuk merobohkan sebahagian lagi anjung yang masih elok untuk kerja-kerja pembinaan anjung baru.

Ditanya kos membaiki struktur yang dirobohkan itu, Abdullah berkata, syarikatnya akan menanggung kos yang dijangka menelan belanja kira-kira RM15,000 itu.


No comments:

Post a Comment