Saturday, July 25, 2009

Pelajar tahun lima lemas mandi sungai

KUALA TERENGGANU 24 Julai - Anak saudara Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said mati lemas ketika mandi sungai di belakang rumahnya di Kampung Jeram di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari, mangsa, Mohammad Uzeir Norman, 11, sedang mandi bersama empat lagi rakannya termasuk dua abang kandungnya.

Mayat mangsa ditemui pada pukul 2.45 petang kira-kira tiga meter dari tempat kejadian.

Abang mangsa, Ahmad Tajuddin Norman, 14, berkata, mereka mengambil keputusan mandi di sungai tersebut selepas penat bermain kuda di belakang rumah.

''Ketika sedang mandi tidak jauh daripada anak tangga sebuah jeti di sungai itu, Mohammad Uzeir berpaut di belakang seorang rakan memandangkan dia tidak tahu berenang.

''Bagaimanapun, setelah beberapa saat rakan itu menyelam di dalam air, dia tiba-tiba sahaja hilang tanpa disedari,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Ahmad berkata, mereka cuba mencari anak kelima daripada enam adik-beradik itu tetapi tak jumpa.

''Kami pun balik ke rumah dan memberitahu emak mengenai apa yang berlaku," ujarnya.

Ibu mangsa pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Manir itu, Noraini Nasir, 40, berkata, sebelum mangsa keluar rumah, dia sempat berpesan kepadanya agar membeli sebiji kek untuk menyambut hari lahirnya esok.

''Saya tidak sangka pesanan arwah agar saya membeli kek untuk menyambut hari lahir merupakan pesanannya yang terakhir.

''Memang kami ada bercadang untuk menyambut hari lahir saya tetapi tidak sangka terpaksa menyambut dalam keadaan sedih begini," katanya.

Beliau berkata, oleh kerana dia sibuk membuat persiapan untuk mengadakan satu majlis keluarga menyebabkan dia tidak memberi tumpuan sepenuhnya kepada anaknya itu.


No comments:

Post a Comment