Thursday, July 23, 2009

Gembleng kepakaran sarjana, martabatkan bahasa Melayu

PEMANSUHAN dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeri (PPSMI) adalah langkah tepat berdasarkan keprihatinan terhadap kehendak majoriti rakyat Malaysia.

Walaupun sesetengah pihak mempersoalkan tarikh penguatkuasaannya, namun tahun 2012 itu dilihat sebagai tarikh yang amat sesuai atas beberapa faktor seperti dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Saya fikir penangguhan itu sangat mustahak untuk mengelak "dasar pemansuhan" ini dilihat sebagai keputusan terburu-buru seperti tatkala PPSMI dilaksanakan dahulu. Penangguhan itu diharap tidak digunakan oleh mana-mana pihak untuk mempersoalkan kredibiliti keputusan kerajaan itu.

Tempoh dari sekarang sehingga 2012 boleh digunakan untuk memperkemaskan pendekatan, kaedah, teknik dan strategi untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris di samping memastikan mereka juga tidak tercicir dalam menguasai matapelajaran Matematik dan Sains.

Bagi kalangan para sarjana bahasa Melayu, 'tempoh idah' ini perlu digunakan untuk memperkukuhkan korpus bahasa ini dengan setuntas-tuntasnya.

Daripada segi status, bahasa Melayu memang tidak goyah kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Namun kita tidak menolak bahawa salah satu punca PPSMI diperkenalkan ialah alasan kononnya bahasa Melayu tidak mampu mengungkap perkembangan pesat dunia ilmu terutama sekali yang berkaitan dengan sains dan teknologi.

Para sarjana bahasa Melayu kini perlu memastikan bahawa segala data korpus bahasa Melayu terutama yang telah didokumentasi, disebarluaskan dan dimasyarakatkan. Hal ini khususnya berkaitan dengan perbendaharaan kata dan istilah yang telah dikumpul, diuji dan didokumentasi selama ini.

Pada akhir 2007 dahulu pernah diperdebatkan tentang 'kemandulan' Dewan Bahasa dan Pustaka dalam konteks menghasilkan perbendaharaan atau kosa kata dan istilah yang mencukupi untuk digunakan dalam bidang ilmu. Hal ini sebenarnya amat bertentangan dengan fakta bahawa telah begitu banyak penyelidikan dan pendokumentasian dibuat dan diterbitkan.

Setakat ini, sudah diterbitkan 225 daftar kata dan glosari yang memperkenalkan sebanyak 825, 495 istilah dalam pelbagai bidang. Juga sudah diterbitkan 41 buah kamus istilah mengandungi 362,761 istilah untuk digunakan oleh masyarakat.

Bagaimanapun, entah di mana silapnya, masyarakat seolah-olah tidak tahu dan dengan itu tidak menggunakannya dalam situasi komunikasi sehari-harian dan keperluan khusus pengungkapan ilmu.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga kamus dialek seperti Dialek Kedah, Dialek Terengganu dan juga kamus bahasa sukuan seperti Kata Bahasa Sukuan yang boleh dimanfaatkan.

Dalam kamus Bahasa Sukuan Sabah dan Sarawak misalnya terdapat perkataan "kisus" untuk screw driver, "gadar" untuk transparency dan "tuhunan" untuk cussion. Semua perkataan ini dengan sendirinya boleh diangkat menjadi istilah dalam bidang yang teknikal sifatnya.

Sumber bahasa-bahasa orang Asli seperti "rokak" untuk biscuit, "gesek" untuk radio dan sumber bahasa serumpun seperti "ngompol" untuk "terkencing ketika tidur" dan "gombal" untuk kain buruk, juga boleh dimanfaatkan sebagai kosa kata khusus atau istilah dalam memperkatakan topik-topik yang berkaitan.

Daripada sudut makan, warisan bahasa Melayu menunjukkan bahawa orang Melayu tidaklah bersifat "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang".

Itu hanyalah momokan yang memperlekeh orang Melayu sehingga kita menerima sahaja seolah-olah ianya benar.

Ini kerana kita ada istilah khusus iaitu; "sahur" untuk makan sebelum mata hari terbit ketika berpuasa, "sarapan" (makan pagi), "kudapan" (minum pagi), "merarau" (makan tengah hari), "mentong" (minum petang) dan "menggabi" (makan malam).

Istilah-istilah tersebut menunjukkan orang Melayu makan lima kali sehari (jika tidak berpuasa). Dan orang yang makan sebanyak itu bukanlah orang miskin! Harus diingat, penciptaan istilah menunjukkan kewujudan sesuatu perlakuan, konsep, perkara atau benda. Jika tidak, istilah itu tidak akan wujud.

Banyak lagi yang harus dilakukan oleh para sarjana dalam memperkenalkan istilah dan kosa kata bahasa Melayu kepada masyarakat. Kita harus tidak kedekut kerana kelak hanya kita yang kerugian.

Jangan dipersalahkan orang lain jika mereka tidak sedar akan kekayaan bahasa Melayu kerana kita yang bersalah. Tidak melakukan apa-apa tetapi sekadar menyimpan dan 'melindungi' hasil kajian kita itu - walau untuk apa tujuan sekalipun.

Oleh itu, marilah kita ambil kesempatan daripaad penangguhan pemansuhan ini untuk memperkaya dan memperkenalkan kemampuan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa Malaysia yang bertaraf dunia.

DR. SHARIFUDIN LUBIS

Universiti Putra Malaysia


No comments:

Post a Comment