PEPERIKSAAN pada peringkat sekolah rendah bermula apabila negara merdeka pada 1957 dengan pengenalan 'Malayan Secondary School Entrance Examination (MSSEE). Pada peringkat sekolah menengah pula bermula dengan Lower Certificate of Education (LCE) untuk Tingkatan Tiga yang dimansuhkan pada 1983. Bagi pelajar Tingkatan Lima pula, mereka menduduki Malaysian Certificate of Education (MCE) pada 1964 (aliran Inggeris) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aliran bahasa Melayu, sebelum peperiksaan SPM dilaksanakan sepenuhnya untuk semua sekolah pada 1987. Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang dimulakan pada 1960 dimansuh pada 1992 diganti dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 1993. Beberapa perubahan yang berlaku pada peringkat sekolah menengah, juga dimulakan dengan langkah serupa di sekolah rendah. Misalnya, MSSEE dimansuhkan pada 1963 dan empat tahun kemudian digantikan dengan Penilaian Darjah 5 (PDL). Pada 1973 pula, Ujian Darjah 3 (UDT) dimulakan untuk tempoh sembilan tahun sehingga dimansuhkan pada 1982. PDL berlanjutan selama 21 tahun sebelum dimansuhkan pada 1988. Dengan ketiadaan PDL dan UDT, peperiksaan pada peringkat sekolah rendah digantikan pula dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dimulakan pada 1988. Dalam proses perubahan demi perubahan itu, kurikulum sekolah turut dirombak seperti memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada 1982 dan kemudian Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada 1988. Apa yang dilakukan adalah sesuai dengan kehendak semasa ketika itu dan apabila didapati sudah tidak relevan atau kurang berjaya, maka ia dimansuh atau dimantapkan lagi seperti isu pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) baru-baru ini.
Kini, timbul pula isu UPSR berikutan saranan pihak tertentu supaya ia dimansuh dengan alasan sudah tidak relevan lagi dalam sistem pendidikan negara. Mereka mendakwa UPSR hanya menjurus kepada konsep pencapaian pendidikan melalui peperiksaan yang memerlukan pelajar lulus subjek tertentu untuk layak ke sekolah berasrama penuh, sekali gus tidak membantu menentukan tahap sebenar akademik pelajar. Bagaimanapun, kerajaan setakat ini menolak cadangan itu dan seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang bertanggungjawab mengenai Kementerian Pelajaran, UPSR cuma memerlukan sedikit pengubahsuaian dari segi kepentingan atau kayu pengukur. Kita bersetuju dengan pendapat itu, kerana tanpa UPSR, sudah tiada lagi penanda aras selepas murid belajar selama enam tahun pada peringkat sekolah rendah, seperti juga PMR untuk Tingkatan Tiga dan SPM untuk Tingkatan Lima. Kita berpendapat, UPSR diwujudkan bertujuan menilai prestasi pelajar sekolah rendah dan bukannya berorientasikan peperiksaan sepenuhnya. Kerajaan boleh menyusun semula ujian itu seperti memberi penekanan terhadap mata pelajaran Sejarah sebagai tambahan kepada subjek sains, pendidikan jasmani dan pendidikan Islam dan moral. Berdasarkan sejarah lalu, setiap pemansuhan memerlukan penggantian tetapi penukaran nama UPSR kepada nama lain, misalnya Ujian Darjah 6 (UDE) atau Penilaian Tahun Enam (PTE), tidak banyak membawa makna kecuali kurikulum dan kaedah peperiksaan itu sendiri diubah. Pokoknya, mesti ada ujian sebagai kayu ukur sebelum murid itu masuk ke gerbang sekolah menengah, menengah rendah, menengah atas dan seterusnya ke universiti.
Tuesday, July 21, 2009
Pengubahsuaian UPSR mampu lahir murid berdaya saing pelbagai sektor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment