Saturday, September 5, 2009

Penduduk minta siapkan segera pembinaan SK Salarom

NABAWAN 4 Sept. - Jabatan Pelajaran Sabah diminta menyegerakan pembinaan bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Salarom, dekat sini bagi memastikan lebih 100 pelajar di sekolah berkenaan dapat belajar dengan selesa.

Tinjauan Utusan Malaysia di tapak pembinaan mendapati projek membina bangunan menggunakan kaedah pasang siap itu kelihatan seperti terbengkalai apabila bahan-bahan binaan bersepah dan tidak menampakkan kerja-kerja sedang dijalankan.

Beberapa pemimpin masyarakat dari kampung berdekatan ketika ditemui menyuarakan rasa kecewa dan bimbang dengan keadaan itu dan meminta pihak berkuasa mengatasi segera kelewatan itu.

Ketua Kampung Salarom, Mandaun Ampungit, 60, berkata, kerja-kerja pemasangan itu amat perlahan menyebabkan bahan-bahan pembinaan serta peralatannya rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Keadaan itu katanya, membimbangkan ibu bapa kerana jika bangunan sekolah baru itu yang dimulakan kerja-kerjanya pada 2007 lambat siap, kesesakan akan terus berlaku di bangunan lama sekolah.

"Bukan itu sahaja, perkara yang amat dibimbangkan tahap kebersihan dan keselamatan di persekitaran kawasan itu kerana terdapat serpihan dan potongan zink bertaburan di merata tempat," katanya.

Lebih menyakitkan hati penduduk tempatan katanya, pekerja-pekerja pembinaan sekolah pasang siap yang tinggal di situ membuang air besar di kawasan semak sekolah itu.

Menurutnya, perbuatan tidak bertanggungjawab pekerja berkenaan disedari oleh ibu bapa semasa mengadakan gotong-royong membersih kawasan sekolah itu baru-baru ini.

Ketua Kampung Tataluan, Andoi Tawanon, 61, pula berkata, bangunan baru sekolah itu sepatutnya tidak mempunyai masalah kerana semua bahan-bahan pembinaan sudah tersedia.

"Semua bahan sudah ada dan cuma menunggu untuk dipasang sahaja, kita boleh lihat bahan-bahan binaan dan peralatan berlonggok dan ada sesetengahnya sudah rosak," katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak sekolah tidak boleh berdiam diri dengan keadaan tersebut dan tindakan tegas perlu dilakukan untuk kebaikan murid-murid sekolah tersebut.


UPSR: Kerjasama ibu bapa cegah H1N1

KUCHING 4 Sept. - Ibu bapa kepada calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Selasa depan di negeri ini diminta bekerjasama dengan pihak sekolah memaklumkan sekiranya anak mereka mempunyai tanda jangkitan influenza A (H1N1) atau selesema babi.

Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Dr. Julaihi Bujang berkata, perkara itu penting bagi mencegah berlaku penularan jangkitan selesema babi kepada calon lain yang menduduki peperiksaan itu.

Katanya, calon-calon yang dijangkiti atau disyaki mendapat H1N1 juga dikehendaki memakai topeng penutup mulut dan hidung sepanjang masa dan kerap membasuh tangan.

''Selain itu, mereka juga dinasihatkan supaya tidak pergi ke tempat perkumpulan orang ramai bagi memastikan mereka tidak dijangkiti wabak berkenaan sebelum peperiksaan UPSR bermula," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Julaihi memberitahu, Jabatan Pelajaran telah mengambil tiga langkah awal bagi membendung penularan wabak berlaku semasa UPSR berlangsung iaitu dengan membenarkan murid yang telah dimasukkan ke wad boleh menduduki peperiksaan itu di hospital.

Selain itu katanya, mereka yang mempunyai tanda jangkitan H1N1 akan diasingkan dengan calon yang sihat di sebuah bilik khas.

''Langkah terakhir ialah sekiranya penularan wabak berlaku, hanya calon yang menduduki peperiksaan sahaja diminta hadir ke sekolah.

''Namun, pihak sekolah perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Pegawai Pelajaran Daerah masing-masing sebelum melaksanakan tindakan itu," katanya.

Sementara itu, Julaihi berkata, seramai 46,311 orang calon UPSR dari 1,263 sekolah diseluruh Sarawak akan menduduki peperiksaan itu pada 8 hingga 10 September depan.


Kempen bendung H1N1 sekolah Sepanggar

KOTA KINABALU 4 Sept. - UMNO Sepanggar hari ini melancarkan program pengagihan penutup hidung dan mulut ke setiap sekolah di kawasan itu bertujuan membendung penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Naib Ketua UMNO Sepanggar, Zaitun Mohd. Kassim berkata, selain itu, program anjuran Biro Perkhidmatan Sosial diharap dapat meningkatkan kesedaran pelajar tentang pencegahan wabak H1N1 itu.

"Pencegahan secara drastik perlu dilakukan kerana penularan wabak yang semakin serius. Hampir setiap hari kematian dilaporkan dan ini menuntut kesedaran berterusan daripada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengagihan dan penyerahan bendera Malaysia serta penutup hidung dan mulut di Sekolah Kebangsaan Likas di sini semalam.

Zaitun berkata, program tersebut akan dibuat secara berperingkat-peringkat di setiap sekolah di kawasan Sepanggar bagi mengelakkan penularan wabak tersebut dengan lebih teruk.

"Buat masa ini beberapa sekolah telah kita agihkan penutup hidung dan mulut dan program ini diteruskan ke sekolah lain di kawasan Sepanggar.

"Kita harap dengan adanya program sebegini mampu mengekang penularan wabak H1N1 terutama kepada kanak-kanak sekolah," katanya.

Dalam pada itu, menurut Zaitun, Jalur Gemilang turut diagihkan pada program itu bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Katanya, ia penting bagi memupuk semangat cintakan negara di kalangan generasi muda tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya.


Friday, September 4, 2009

Periksa suhu calon UPSR

Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
uminadirah@bharian.com.my


Datuk Dr Wee Ka Siong

Elak wabak H1N1 jangkiti 500,000 murid

JOHOR BAHRU: Kira-kira 500,000 murid yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu depan wajib menjalani ujian suhu badan sebelum menduduki peperiksaan itu sebagai langkah mengelak penularan wabak Influenza A(H1N1) atau selesema babi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata kementerian dalam mesyuarat semalam memutuskan semua calon UPSR bermula Selasa ini perlu menjalani pemeriksaan itu dan mereka yang suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius akan diasingkan.

"Mereka yang suhu badan melebihi 37.5 darjah celsius hanya dibenarkan mengambil peperiksaan di tempat berasingan yang akan diatur pihak sekolah.

"Sebuah bilik pengasingan akan diwujudkan di semua pusat peperiksaan, jauh daripada dewan utama peperiksaan.

"Pengawas akan menggunakan alat infra-merah untuk mengambil suhu badan calon. Prosesnya yang cepat dan tepat tidak akan menjejaskan peperiksaan," kepada pemberita selepas pelancaran kempen mencegah H1N1, di sebuah pusat beli-belah, di sini semalam.

Berhubung kes pelajar yang tidak sihat dan perlu dimasukkan ke hospital, Wee berkata mereka akan dibenarkan menduduki peperiksaan pada tarikh lain di bawah pengawasan khas.

Wee juga berkata, semua 32,000 pengawas peperiksaan UPSR di seluruh negara akan dibekalkan pelarut sanitizer dan penutup mulut serta hidung untuk mengelakkan penularan penyakit itu.

Beliau berkata, kementerian juga akan mengguna pakai kaedah sama untuk semua peperiksaan utama seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).


Tuesday, September 1, 2009

GAPENA DESAK KERAJAAN MANSUH SEGERA PPSMI

1st September, 2009

KUANTAN: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) kelmarin mendesak kerajaan supaya memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan segera iaitu sebelum bermula sesi persekolahan Januari tahun depan.

Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein berkata pemansuhan PPSMI yang sebelum ini diputuskan pada 2012 seharusnya dibuat serta merta dengan Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dan bukan lagi secara dwibahasa.

Katanya tindakan tersebut adalah wajar dan boleh dilaksanakan memandangkan keputusan pelaksanaan PPSMI enam tahun lepas mampu dibuat serta merta.

“Dulu masa kerajaan mahu tetapkan PPSMI, boleh dibuat sekelip mata tetapi mengapa nak memansuhkannya tidak boleh pula, kenapa mesti tunggu sehingga 2012,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kandungan Deklarasi Inderapura Pahang Darul Makmur yang dikeluarkan sempena Seminar Kenegaraan dan Jati Diri Melayu 2009 di sini kelmarin.

Beliau berkata tindakan pemansuhan segera itu dilihat boleh menyelamatkan pelajar yang mungkin gagal dalam peperiksaan disebabkan kelemahan mereka menguasai Bahasa Inggeris.

Ismail berkata kandungan lain deklarasi itu ialah Gapena meminta kerajaan menyediakan peruntukan besar bagi menampung kos psarana pengajaran dan pembelajaran, elaun guru, menambah guru pakar, penterjemahan dan penerbitan buku-buku serta penambahan peralatan multimedia.

“Kita juga mahukan Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di semua fakulti peringkat pengajian tinggi awam dan swasta seperti mana sebelum tahun 2003,” kata beliau.

Bagi membina jati diri bangsa, beliau berkata Gapena mencadangkan mata pelajaran Sastera dan sejarah kebangsaan negara dijadikan mata pelajaran wajib bagi semua peringkat pengajian dan aliran.

Ismail berkata, deklarasi itu juga menuntut kerajaan tidak menghapuskan identiti bangsa, kaum dan agama dalam sebarang borang rasmi kerajaan seperti dicadangkan pihak tertentu sebelum ini.

“Kita tidak mahu perkara ini berlaku. Jika dihapuskan identiti, maka seluruh perjuangan untuk mengangkat status bumiputera akan terhapus atau tidak diberi penegasan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menyembahkan deklarasi itu kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan juga Raja-raja Melayu yang lain dalam masa terdekat.


Strategi jawab soalan Bahasa Melayu Pemahaman

Oleh Anuar Ahmad

SIKAP tidak berhati-hati, gopoh dan malas berfikir panjang sewaktu menjawab soalan adalah antara faktor menyebabkan calon kehilangan markah atau tidak memperoleh jumlah maksimum untuk kertas Bahasa Melayu Pemahaman.

Bagi membantu calon mendapat markah maksimum, beberapa petua diberikan bagi menjawab soalan kertas ini dengan baik.

BAHAGIAN TATABAHASA

Pastikan calon sudah menguasai kesemua aspek penggunaan bahasa dalam bahagian tatabahasa.

Langkah ini penting kerana kesemua pilihan jawapan yang diberikan perlu difahami makna atau maksudnya terlebih dulu sebelum memilihnya sebagai jawapan.

Berikut beberapa langkah yang perlu dilakukan calon sewaktu menjawab soalan bahagian tatabahasa.

A. Faham

Seperti dikatakan, calon perlu memahami maksud kesemua pilihan jawapan yang diberikan. Kesalahan memilih jawapan berlaku kerana calon tidak memahami pilihan jawapan tersebut.

Untuk menjawabnya, ada dalam kalangan calon hanya mengagak maksud jawapan tersebut. Tindakan ini salah kerana calon perlu berusaha memahami maksud pilihan jawapan itu, bukan sekadar mengagak.

Biasanya akan wujud satu atau dua pengganggu jawapan yang paling dekat dengan jawapan yang tepat. Oleh itu, calon perlu benar-benar memahami pilihan jawapan yang disediakan.

Sebaiknya, buatlah catatan ringkas mengenai maksud bagi setiap pilihan jawapan tersebut.

Contoh soalan;

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

A lincir - licin

B cekap - mampu melakukan

C pintar - pandai

D lancar - fasih

B. Baca

Baca ayat soalan. Fahami betul-betul ayat tersebut dan kesesuaiannya dengan pilihan jawapan. Pilihan jawapan sebeginilah yang biasanya menjadi perangkap terutama kepada calon yang kurang berfikir.

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

C. Kesan

Calon perlu mengesan klu yang terdapat dalam ayat atau gambar. Ini penting kerana klu inilah yang akan membantu dan memudahkan calon memilih jawapan yang tepat.

Dalam soalan ini, klunya adalah ‘menyampaikan’ (Bulatkan perkataan menyampaikan).

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

D. Pilih

Peringkat ini paling penting. Pilihlah jawapan yang paling tepat dan mengikut kehendak soalan. Oleh itu, fahamkan betul-betul kesesuaian ayat dengan pilihan jawapan.

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

Pengganggu jawapan yang hampir tepat

A lincir - licin

B cekap - mampu melakukan

C pintar - pandai

D lancar - fasih

Pilihan jawapan yang paling tepat

Selain itu, pastikan calon mengikuti langkah berikut:

* Jawab soalan yang mudah terlebih dulu.

* Jangan membuang masa dengan menjawab soalan yang susah.

* Peruntukkan masa antara 15 hingga 20 minit untuk bahagian tatabahasa.

* Segera jawab soalan bahagian petikan.

* Baki masa perlu digunakan untuk menyemak semula jawapan.

BAHAGIAN PEMAHAMAN

Calon hanya perlu menjawab 10 soalan dalam bahagian pemahaman. Namun begitu, setiap soalan berkait rapat dengan petikan yang disediakan.

Antara langkah yang perlu dilakukan sewaktu menjawab soalan petikan ialah:

A. Baca dan faham

Calon perlu membaca petikan dan memahaminya terlebih dulu. Selepas itu barulah membaca soalan dan memahami pilihan jawapan yang disediakan. Jangan menjawab soalan tanpa membaca petikan terlebih dulu.

Contoh soalan:

Sebelum menghilang, lelaki itu berpesan seandainya mereka berjaya menangkap ikan di kawasan tersebut hendaklah dilepaskan semula beberapa ekor sebagai tanda menghormati.

Apakah pesanan terakhir lelaki tersebut?

A Jangan menangkap ikan di kawasan tersebut.

B Beberapa ekor ikan perlu dilepaskan selepas memancing.

C Memancing akan menyebabkan dia diserang penyakit misteri.

D Di dalam kawasan tersebut ada beberapa ekor ikan yang boleh ghaib.

B. Cari pembayang jawapan

Biasanya klu atau pembayang jawapan ada dalam petikan. Calon perlu menggariskan klu tersebut.

Sebelum menghilang, lelaki itu berpesan seandainya mereka berjaya menangkap ikan di kawasan tersebut hendaklah dilepaskan semula beberapa ekor sebagai tanda menghormati.

C. Penyesuaian

Sesuaikan pembayang yang ditanda atau digariskan dengan pilihan jawapan diberikan.

Apakah pesanan terakhir lelaki tersebut? (soalan)

... lelaki itu berpesan seandainya mereka berjaya menangkap ikan di kawasan tersebut hendaklah dilepaskan semula (pembayang)

D. Memilih

Jika calon sudah jumpa pilihan jawapan yang sesuai dengan pembayang ditanda atau digariskan, pilihlah jawapan tersebut mengikut kehendak soalan. Jangan sesekali memilih jawapan yang tidak ada pembayangnya dalam petikan.

Apakah pesanan terakhir lelaki tersebut?

A Jangan menangkap ikan di kawasan tersebut.

B Beberapa ekor ikan perlu dilepaskan selepas memancing. (JAWAPAN)

C Memancing akan menyebabkan dia diserang penyakit misteri.

D Di dalam kawasan tersebut ada beberapa ekor ikan yang boleh ghaib.

Langkah di atas perlu dilakukan dengan penuh teliti. Namun begitu beberapa kelemahan perlulah diatasi agar calon tidak melakukan kesilapan merugikan. Antara kelemahan tersebut ialah:

i. Tidak membaca arahan untuk setiap soalan.

ii. Menjawab soalan dengan tergesa-gesa.

iii. Kurang memberi tumpuan kepada kata kunci pada setiap soalan.

iv. Membuang masa dengan soalan yang susah.

v. Tersalah menanda jawapan yang sepatutnya pada kertas jawapan.

vi. Menghabiskan masa terlalu lama membaca petikan.

vii. Tidak memadam jawapan yang salah dengan bersih pada kertas OMR.

Ingat!:
Sebaik saja selesai menjawab semua soalan, kira jumlah tanda hitam di atas kertas OMR. Pastikan tanda hitam itu cukup 40. Jika kurang, bermakna ada soalan yang belum berjawab, tetapi jika lebih, mungkin ada soalan yang ditanda dua jawapan. Oleh itu, calon perlu semak semula.


Monday, August 31, 2009

KST beri fahaman mudah kepada guru

PULAU PINANG 30 Ogos - Kajian secara tindakan (KST) merupakan asas yang dipraktikkan oleh para guru bersama pelajar-pelajar di dalam kelas untuk memberi pemahaman mudah kepada guru.

Justeru, Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Pulau Pinang, Fatimah Othman berkata, hasil atau output KST mampu memberikan pemahaman yang lebih mudah difahami kepada guru.

''Guru akan lebih cepat fahami bagaimana cara untuk mereka memantapkan lagi pedagogi dan metodologi pembelajaran di dalam kelas di samping meningkatkan pengetahuan serta kemahiran pelajar.

''Sehubungan itu, pihak jabatan mengambil inisiatif menganjurkan seminar berkaitan KST bagi memperkukuhkan aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran di kelas,'' katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Seminar Kajian Secara Tindakan Antarabangsa Pulau Pinang di Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau (RECSAM) di sini baru-baru ini.

Kira-kira 250 orang guru sekolah rendah dan menengah menghadiri seminar tersebut yang rata-ratanya dari seluruh daerah di negeri ini.

Fatimah berkata, berdasarkan kertas-kertas kerja yang dibentangkan pada seminar berkenaan, beliau yakin matlamat mampu dicapai pada masa hadapan.

"Saya berharap guru-guru terutamanya yang baru dapat manfaat daripada program ini dan sekali gus membayangkan akan ada lebih ramai para pendidik bersedia berkongsi ilmu serta pengalaman,'' jelasnya.


Friday, August 28, 2009

Terjemahkan buku saintifik ke BM

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Tokoh akademik, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid menyarankan agar bahan bacaan saintifik di negara ini diterjemahkan ke bahasa Melayu (BM) bagi meningkatkan penguasaan ilmu di kalangan rakyat dalam bidang tersebut.

Katanya, negara maju seperti Jepun telah lama menggunakan bahasa ibundanya dalam setiap bidang saintifik.

Katanya, jika dibandingkan dengan pelbagai bahan bacaan ilmiah lain, bidang saintifik masih kurang di dalam bahasa Melayu.

''Terjemahan itu membolehkan kita lebih memahami dan menguasai bidang tersebut secara menyeluruh,'' katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pilihan Pembaca 2009 anjuran Popular Book Co. (M) Sdn. Bhd. di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Popular Holding Limited, Vangat Ramayah.

Tambah Ungku Aziz, selain dapat menguasai bidang berkenaan sepenuhnya, bahasa Melayu juga boleh dimartabatkan setaraf dengan bahasa asing lain.

''Saya berharap agar anugerah ini ditambah satu lagi kategori khusus kepada bidang saintifik agar dapat memupuk minat membaca di kalangan orang ramai terhadap bidang tersebut,'' katanya.

Anugerah berkenaan diadakan sempena Pesta Buku Malaysia 2009 yang berlangsung selama sembilan hari sehingga 31 Ogos ini.

Ia dianjurkan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang masing-masing dibahagikan kepada kategori buku fiksyen dan bukan fiksyen.

Antara buku yang menerima anugerah utama adalah Dr. Mahathir Selected Letters To World Leaders tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Abdullah Ahmad serta Lovers and Strangers Revisited tulisan Robert Raymer bagi kategori bahasa Inggeris.

Bagi kategori bahasa Melayu, buku Andai Itu Takdirnya karya Siti Rosmizah dan Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif tulisan Dr. Tengku Asmadi terpilih menerima anugerah.


Cikgu Fadzilah bertemu jodoh di sekolah pedalaman


FADZILAH Yusuf (dua dari kanan) dan suaminya, Abdul Raziz Mamat (dua dari kiri) semasa diraikan pada majlis berbuka puasa di Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 27 Ogos – Ditugaskan di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar yang terletak 100 kilometer dari bandar Gua Musang yang hanya dihubungkan melalui jalan tanah merah berlumpur merupakan antara cabaran yang terpaksa dialami oleh satu-satunya guru perempuan sekolah tersebut, Fadzilah Yusuf, lebih setahun lalu.

Untuk sampai ke sekolah berkenaan juga, ada kalanya beliau terpaksa berhimpit di tepi kereta pacuan empat roda dalam perjalanan pergi dan balik yang memakan masa kira-kira lapan jam.

Ketika menerima surat tawaran ditempatkan di sekolah tersebut, Fadzillah, 28, menangis selama seminggu kerana mengenangkan nasibnya yang terpaksa tinggal di pedalaman itu tanpa berhubung dengan dunia luar kecuali ketika cuti persekolahan.

Bagaimanapun, beliau rela menghadapi segala kesukaran itu kerana memikirkan terdapat sekumpulan anak Orang Asli berketurunan Temiar yang memerlukan tunjuk ajarnya pada peringkat prasekolah.

Kecuali masa persekolahan, beliau juga terpaksa menjalankan kerja sendiri bagi mengelakkan rasa sunyi.

Namun, setelah lebih setahun setengah berkeadaan demikian, beliau akhirnya terlepas daripada rasa sunyi setelah mengambil keputusan berkahwin dengan pembantu warden asrama sekolah itu, Abdul Razif Mamat, 24, pada 7 Ogos lalu.

Sehubungan itu, hasratnya sebelum ini untuk bertugas hanya setahun di sekolah itu akan dilanjutkan dalam tempoh yang agak lama.

‘‘Kami perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan berumah tangga sebelum mengambil keputusan bertukar ke sekolah di bandar,” katanya ketika ditemui sempena majlis meraikan perkahwinannya di sebuah hotel malam kelmarin.

Turut hadir Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Mohd. Ghazali Abdul Rahman dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Zahari Daud.

Kata Fadzilah, beliau bersepakat dengan suaminya tinggal di perkampungan Orang Asli itu untuk terus membantu meningkatkan pencapaian kanak-kanak terlibat.

SK Balar merupakan sekolah anak Orang Asli dari suku kaum Temiar yang terletak bersempadan dengan negeri Perak dan perjalanan ke sekolah itu sejauh 100 kilometer dari Gua Musang.

Guru-guru yang mengajar di SK Balar itu terpaksa menaiki kereta pacuan empat roda untuk melalui jalan balak selama empat jam sebelum sampai ke sekolah tersebut dan mereka akan terputus hubungan dengan dunia luar apabila berlaku hujan.

Menyentuh tentang penghantarannya ke sekolah berkenaan pada awal 2008, Fadzilah berkata, pada mulanya beliau berat untuk menerima kerana tempatnya yang jauh di pedalaman.

Tetapi, katanya, rayuan daripada JPN yang memintanya mengajar sekolah itu menyebabkan beliau terpaksa akur.

Sebelum itu, katanya, pada hari-hari biasa, beliau hanya bergaul dengan lebih 10 warga lelaki sekolah berkenaan dan bersama-sama berulang-alik dari sekolah ke kampung masing-masing apabila sekolah bercuti.

‘‘Kami hanya berkawan biasa sehinggalah Mac lalu apabila merasakan ada kesesuaian dengan Abdul Razif seterusnya mengambil keputusan untuk berumah tangga,” katanya.

Setelah bergelar isteri, katanya lagi, hidupnya kini sudah mempunyai matlamat antaranya membentuk sebuah keluarga bahagia di samping meningkatkan motivasi anak-anak Orang Asli itu untuk berjaya dalam pelajaran masing-masing.


Rotan kaedah terbaik tangani disiplin pelajar

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

CADANGAN Kementerian Pelajaran melaksanakan semula hukuman rotan yang dihentikan pada 2006 dengan menggantikan kaedah kaunseling perlu dilakukan secara berhemah, termasuk berbincang dengan ibu bapa.

Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia, Azam Mat Atan, berkata pelaksanaan semula hukuman itu selepas sesi kaunseling gagal dilihat paling berkesan bagi mendisiplinkan pelajar terutama peringkat menengah.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaannya perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk terlebih dulu memberi amaran pertama, kedua dan ketiga kepada pelajar terbabit sebelum memanggil ibu bapa.

“Kami di sekolah hanya akan melaksanakan hukuman rotan jika keadaan semakin kritikal dan disiplin pelajar membimbangkan.

“Setiap hukuman dilaksanakan mereka berkelayakan. Ia dilakukan guru disiplin dengan disaksikan ahli jawatankuasa disiplin sekolah. Setiap hukuman akan direkodkan,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau mengulas laporan akhbar ini baru-baru ini yang memetik Kementerian Pelajaran mengemukakan cadangan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengembalikan semula hukuman rotan sebagai tindakan akhir selepas sesi kaunseling gagal memulihkan disiplin pelajar.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pemuafakatan Persatuan Persatuan Guru Malaysia, Jemale Paiman, berkata pihaknya yakin hukuman dilaksanakan sejak sekian lama itu kaedah terbaik menangani masalah disiplin pelajar.

“Saya yakin ibu bapa bersedia bekerjasama jika mereka dipanggil berbincang mengenai masalah disiplin anak mereka.

“Perbincangan dua pihak ini penting supaya menemui jalan penyelesaian terbaik, seterusnya sekolah tidak perlu melaksanakan hukuman rotan,” katanya.

Sambil menjelaskan pihaknya sudah memaklumkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru mengenai cadangan kementerian itu, beliau berkata, mana-mana pihak yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenainya boleh merujuk persatuan berkenaan di sekolah anak masing-masing.

Mengenai pelaksanaannya pula, Jemale berkata, hukuman itu perlu dilaksanakan dengan berhemah termasuk memanggil saksi, manakala guru diarah melaksanakannya mestilah berwibawa.

Katanya, bagi mengelakkan sebarang kesulitan, guru bertugas perlu merujuk pekeliling Kementerian Pelajaran berhubung perkara berkenaan bagi memastikan tindakan dibuat berdasarkan prosedur ditetapkan.






1Malaysia: Pelajari bahasa asing

PUTRAJAYA 26 Ogos - Rakyat Malaysia diseru mempelajari bahasa asing sebagai usaha merealisasikan gagasan 1Malaysia yang mampu menyatupadukan kaum negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, kepentingan menguasai bahasa asing merupakan satu aset untuk memahami budaya dan adat sesuatu kaum sekali gus merapatkan jurang perbezaan antara mereka.

''Apabila kita boleh menguasai bahasa kaum lain, tiada masalah untuk kita berkomunikasi atau bertukar pendapat bagi kebaikan kaum masing-masing.

''Kita amat menggalakkan semua rakyat mempelajari bahasa semua kaum negara ini kerana kita hidup dalam satu negara berbilang kaum bagi merealisasikan gagasan 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan delegasi Kementerian Pelajaran China dan Jawatankuasa Pembakuan Bahasa Cina, di sini hari ini.

Jawatankuasa Pembakuan Bahasa Cina yang ditubuhkan di negara ini kira-kira setahun lalu membantu orang ramai menguasai bahasa tersebut dengan sebutan yang betul.

Melalui usahasama antara beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dengan jawatankuasa itu, hasilnya ujian penilaian sebutan bahasa Mandarin bakal diadakan di negara ini tanpa perlu ke China.

Seramai 153 peserta menjadi kumpulan pertama dalam ujian itu di mana 113 daripadanya berjaya mendapat keputusan memberangsangkan.

Pada majlis itu, Akademi Pemuda UMNO turut berminat menyertai ujian kelayakan tersebut yang diwakili Izran Salleh sebagai peserta pertama dari kalangan Melayu.

''Ini petanda yang baik, dengan penyertaan daripada Akademi Pemuda UMNO ini kita harap mereka dapat menyemarakkan kempen belajar bahasa Mandarin di kalangan Melayu," katanya.

Menurut Ka Siong, peserta yang ingin menduduki ujian tersebut hanya dikenakan bayaran rendah berbanding di negara lain iaitu 20 peratus daripada RM2,000 seperti di Singapura.

''Sebilangan pelatih bahasa telah dibawa ke sini untuk mengajar bahasa dan cara sebutan yang betul, oleh itu kita harap lebih ramai berminat menguasai bahasa Mandarin terutama orang Melayu," katanya.


Thursday, August 27, 2009

'Berani mati'

2708-lead-2
GADAI NYAWA ... Dengan gaya selamba, pelajar yang mengelarkan diri sebagai ‘berani mati’ melintas jalan melalui cela-cela kenderaan, tanpa takut dan gentar menghadapi kemalangan.
27th August, 2009

KENINGAU: “Berani mati” ini antara perkataan yang diluahkan oleh pelajar-pelajar, bagi menjawab soalan wartawan kenapa memilih laluan bahaya untuk ke sekolah, sedangkan jejambat telahpun disediakan.

“Mereka tidak mungkin akan melanggar kami,” demikian jawapan pelajar yang lain, sekaligus mendedahkan kualiti displin pelajar tersebut terlalu rendah.

Persoalannnya, kenapa perbuatan pelajar-pelajar di salah sebuah sekolah menengah yang terletak dalam kawasan pekan itu, gagal dibanteras selepas kisah jejambat yang berharga ratusan ribu ringgit telah berkali-kali didedahkan sebagai ‘gajah putih’, kerana tidak digunakan oleh pengguna.

Tinjauan yang dibuat mendapati, rata-rata masyarakat menuding ke arah pihak berkuasa tempatan, khususnnya Majlis Daerah Keningau (MDK) apa yang mereka sifatkan sepatutnya menguatkuasa undang-undang.

“Terdapat undang-undang kecil yang membolehkan MDK menyaman pengguna yang tidak menggunakan jejambat, ketika menyeberang jalanraya,” jelas seorang responden yang mahu dikenali sebagai Wati.

Selain golongan pelajar dan remaja, terdapat juga orang dewasa yang sanggup ‘berani mati’, semata-mata untuk mengejar masa ke lokasi yang dituju.

Persoalannya, apabila terjadi kemalangan, mangsa atau keluarga sering kali menjadi kerajaan sebagai sasaran untuk dipersalahkan.

K'jaan pandang serius peningkatan pendidikan m'rakat luar bandar

27th August, 2009

NABAWAN: Kerajaan memandang serius pembangunan dan peningkatan pendidikan kepada masyarakat luar bandar untuk merealisasikan impian gagasan Perdana Menteri 1Malaysia rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Pembantu Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Sabah, Datuk Bobbey Suan, berkata pembangunan pendidikan yang lebih mapan juga menjadi landasan untuk mencapai wawasan 2020.

Rakyat keseluruhannya pada ketika itu nanti akan menikmati pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai aspek dan tidak ada lagi jurang perbezaan antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Bobbey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan berkata demikian semasa berucap di majlis penangguhan program kecemerlangan pendidikan peringkat daerah yang dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (PKNS) dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah yang dikelolakan oleh Dynamic Training Development di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan di sini, pada Ahad.

Bobbey berkata, dengan berlakunya perubahan pada dasar pendidikan negara maka wujudnya program lonjakan pendidikan luar bandar dan ini salah satu cara kerajaan memartabat dan memberi keutamaan pendidikan di kalangan masyarakat luar bandar untuk persaingan pada zaman globalisasi kini.

“Ilmu amat penting dalam kehidupan dan hanya dengan ilmu serta pengetahuan kita dapat memahami gagasan Negara,” katanya.

Justeru itu katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh kerana pelajaran amat penting untuk menjamin masa depan yang lebih cerah.

“Pelajar perlu bertindak proaktif, dedikasi, berdisiplin dan efektif untuk menjadi insan yang lebih berkualiti,” tambahnya.

Dalam masa yang sama Bobbey turut menyarankan para ibu bapa dan masyarakat yang belum berdaftar dengan e-Kasih supaya bertindak cepat mendaftar agar segala saluran bantuan dari kerajaan dapat dilaksanakan dengan pengenalan data melalui kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, katanya.

Seramai 150 orang pelajar dari tiga buah sekolah Menengah iaitu SMK Nabawan, SMK Nabawan 2 dan SMK Sepulot mengikuti program yang berlangsung selama tiga hari itu.

Hadir sama Pegawai pelajaran Daerah, Osman Aganduk; Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Nabawan, Jubilin Kilan; Pengetua SMK Nabawan II, Mike Eping dan Pengurus Dynamic Trainning Development, Irene George.



Wednesday, August 26, 2009

Jangan beri tekanan kepada anak-anak semasa peperiksaan

26th August, 2009

KIMANIS: Seramai 80 orang calon UPSR dan murid tahun 4 serta tahun 5 SK Mandahan mengikuti Kem Motivasi UPSR 2009 anjuran Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) di sekolah tersebut bar-baru lalu.

Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Pentadbir YSZPS menyeru para ibubapa agar memantau dan memastikan bahawa dalam tempoh hari-hari terakhir menghadapi peperiksaan.

Katanya, anak-anak mereka memerluakan persiapan secukupnya dengan kemantapan moral, kesihatan fizikal dan ketersediaan sepenuhnya untuk menghadapi peperiksaan UPSR.

“Dalam tempoh itu juga, para ibubapa dan penjaga perlu memastikan anak-anak mereka tidak berada dalam sebarang unsur-unsur tekanan dengan perkara remeh temeh yang berlaku dalam keluarga dan persekitaran.

“Dengan persefahaman yang baik antara didikan guru serta asuhan ibubapa, tiada yang mustahil untuk melihat anak-anak murid Sk Mandahan berjaya mencapai kecemerlangan sekaligus memecah kebuntuan untuk mencapai keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR 2009”, gesa Zulkhairi.

Turut hadir di majlis itu ialah Asmat Bakar, Penolong Kanan 1; Hasbi Selamat, Pengerusi PIBG; Sukar Selamat Ngadiran, Ketua Kampung Mandahan; Pegawai Operasi YSZPS, Mohd Fairuz Yussof; Pegawai Operasi YSZPS Kuala Penyu, Ganilin Hasim serta ibubapa peserta dan guru-guru.


Tip UPSR: Cara betul menjawab Matematik Kertas 1 dan 2

Oleh Roslan Rasip dan Ismail Mokhtar

GAGAL menjawab soalan penyelesaian masalah antara faktor utama calon tidak mendapat markah maksimum bagi Matematik Kertas 1, manakala untuk Kertas 2 pula kerana tidak menunjukkan jalan pengiraan.

Sehubungan itu, calon diingatkan supaya tidak terlalu gopoh, sebaliknya memberi tumpuan ketika menjawab soalan kedua-dua kertas itu.

KERTAS 1

Seperti yang calon sedia maklum, kertas ini mengandungi 40 soalan objektif. Soalannya boleh dikategorikan dua jenis, iaitu bentuk persamaan dan penyelesaian masalah.

Lapan hingga sepuluh soalan disoal dalam bentuk persamaan membabitkan nombor dan simbol matematik. Soalan jenis ini boleh dianggap mudah dan calon hanya perlu berhati-hati ketika membuat pengiraan seperti meletak nombor pada nilai tempat, meletak titik perpuluhan di tempat yang betul, mengikut peraturan pengiraan yang betul, contohnya BODMAS, membuat penukaran unit dengan tepat dan berhati-hati ketika membuat pengumpulan semula.

Dalam lingkungan 30 lagi soalan adalah jenis penyelesaian masalah yang boleh dilihat dalam dua bentuk penyoalan, iaitu ayat sepenuhnya dan sebahagian dibantu rajah, jadual, graf dan gambar.

Sebelum menjawab, calon perlu membaca soalan sekurang-kurangnya dua kali. Kenal pasti maklumat terdapat dalam soalan. Biasanya soalan penyelesaian masalah mempunyai lebih daripada satu maklumat. Gariskan maklumat penting itu.

Calon juga perlu mengecam kata kunci dalam soalan, contohnya ‘bakinya’, ‘yang tinggal’, ‘diberikan sama banyak’, ‘simpanan’, ‘untung’, ‘rugi’, ‘diskaun’ dan sebagainya.

Perkara penting calon perlu tahu ialah apakah kehendak soalan. Persoalan inilah yang perlu calon jawab. Kehendak soalan ada dalam ayat terakhir.

Setelah mengenal pasti maklumat, kata kunci dan kehendak soalan, rancang pula langkah pengiraannya.

Ayat kedua setiap soalan lazimnya merujuk kepada maklumat untuk membuat pengiraan. Perkataan sebelum atau selepas angka dikemukakan lazimnya membantu calon menentukan operasinya (tambah, tolak, darab dan bahagi).

Setelah itu tukarkan ayat pernyataan soalan ke dalam bentuk ayat matematik. Pastikan operasi betul digunakan untuk membuat pengiraan.

Perlu diingat, bagi menjawab soalan penyelesaian masalah, calon perlu lebih daripada satu operasi dan jalan kerja. Bagi soalan membabitkan sukatan, pastikan unit disamakan terlebih dulu.

Soalan jenis penyelesaian masalah juga banyak dibantu rajah, graf, jadual dan gambar yang memerlukan calon membuat penelitian kerana sebahagian maklumat ada pada rajah disertakan, manakala sebahagian maklumat lagi dalam pernyataan soalan.

Contoh;

Pak Abu has 400 durians. He gives 1/5 of the total number of durians to hos neighbours.

He sells 3/4 of the remainder. What percentage of the durians is left?

Pak Abu ada 400 durian. Dia memberikan 1/5 daripada jumlah durian itu kepada jiran-jirannya.

Dia menjual 3/4 daripada baki durian itu. Berapakah peratus durian yang tinggal?

A 5 B 20 C 80 D 240

Seperti disarankan, baca soalan sekurang-kurangnya dua kali dan kenal pasti maklumat dan kata kunci soalan.

Tiga maklumat utama, iaitu;

(i) Pak Abu ada 400 durian

(ii) Dia memberikan 1/5 daripada jumlah durian itu kepada jiran-jirannya.

(iii) Dia menjual 3/4 daripada baki durian itu.

Kata kunci ialah baki (remainder), peratus (percentage) dan yang tinggal (left).

Kemudian, lihat kehendak soalan. Ayat terakhir soalan ini meminta calon mencari peratus durian yang tinggal.

Langkah pertama, cari jumlah durian Pak Abu beri kepada jirannya, iaitu:

1

--- x 400 = 80

5

Seterusnya cari jumlah durian dijual Pak Abu. Perkataan baki (remainder) adalah kata kunci yang amat penting dalam ayat ini. Pengiraan yang betul ialah:

3

--- x ( 400 - 80 ) = 240

4

Langkah seterusnya calon mencari jumlah durian yang tinggal, iaitu:

400 - 80 - 240

= 80

Pada peringkat ini, langkah pengiraan belum lagi selesai. Jika ada calon menjawab 80 sebagai pilihan jawapan, maka ia salah. Ada satu lagi langkah pengiraan yang perlu calon lakukan Iaitu tukarkan kuantiti durian yang tinggal itu kepada peratus, iaitu;

80

----- x 100% = 20%

400

Jawapan: B (20)

Kesilapan yang biasa dilakukan oleh calon ialah ketika membuat pengiraan pada langkah kedua. Ada calon mencari bilangan durian yang dijual berdasarkan jumlah asal durian Pak Abu, iaitu:

3

--- x 400 = 300

4

Seterusnya calon mencari jumlah durian yang tinggal, iaitu:



400 - 80 - 300

= 20

Kemudian calon menukarkannya kepada peratus iaitu:

20

----- x 100% = 5%

400

Antara kelemahan yang sering dilakukan calon ialah:

a) Membaca soalan dan terus mengira mengikut kefahaman sendiri.

b) Tidak membuat penelitian terhadap ayat terakhir dan mencari kehendak soalan.

c) Terlalu cepat membaca soalan hingga tertinggal maklumat.

d) Tidak merujuk rajah, graf, jadual dan gambar diberikan.

e) Terus membuat pengiraan tanpa menyemak semula.

f) Kurang membina ayat matematik sebelum memulakan pengiraan.

g) Lemah membuat tafsiran terhadap perkataan atau ayat yang digunakan.

KERTAS 2

Sebahagian besar calon menganggap Kertas 2 mudah berbanding Kertas 1. Pada dasarnya tanggapan itu benar tetapi perlu diingat ia banyak mempengaruhi kedudukan gred keseluruhan bagi subjek Matematik.

Jika kurang mahir menjawab Kertas 2, besar kemungkinan calon akan melakukan kesilapan sewaktu memberikan jawapan.

Ramai calon gagal mentafsir kehendak soalan terutama bagi jenis penyelesaian masalah. Malah, ada yang tidak dapat menukar masalah dikemukakan dalam soalan ke bentuk ayat matematik.

Contoh:

50 biji kek diberikan kepada Adirah dan Izzaty. Adirah mendapat 10 biji lebih daripada Izzaty. Berapakah bilangan kek yang Izzaty dapat?

Calon kerap menulis ayat matematik seperti berikut:

50 ÷ 2 - 10 =

Langkah menjawab: 25 25 - 10 = 15

-------

2 ) 50

- 4

----

10

- 10

---

Jawapan yang diberikan adalah SALAH.

Langkah yang betul adalah seperti berikut:

( 50 - 10 ) ÷ 2 =

50 - 10 = 40 40

---- = 20

2

Maka, Adirah 30 dan Izzaty 20

Jawapan: 20

Bagi soalan bentuk persamaan atau terus pula, calon gagal menguasai konsep pengiraan sebahagiannya memerlukan beberapa langkah pengiraan sebelum memperoleh jawapan.

Sebagai contoh:

Convert 109% to a mixed number.

Calon kerap memilih 109% adalah

109 9

----- = 1 --- (jawapan adalah salah)

100 10

Sebenarnya 9% adalah per seratus (hundredths) maka calon perlu menulis:

9

109% = 1 -----

100

Sejumlah 20 soalan dikemukakan dalam Kertas 2. Antara cirinya ialah bentuk subjektif, perlu menulis langkah pengiraan dengan jelas bagi mendapatkan jawapan. Pemarkahannya berdasarkan tiga aras, iaitu satu markah (5 soalan), dua markah (10 soalan) dan tiga markah (5 soalan).

Kesilapan sering dilakukan calon ialah kurang tumpuan dan tidak menunjukkan langkah pengiraan yang jelas. Perhatikan jawapan calon berdasarkan contoh soalan berikut:

State the digit value of 6 in the number 0.67 million.

Nyatakan nilai digit angka 6 dalam nombor 0.67 juta.

Jawapan calon:

60 atau Enam puluh / Sixty or 60

Jawapan diberi salah. Sebabnya calon kurang tumpuan tentang titik perpuluhan mewakili juta/million). Jawapan tepat ialah perpuluhan (decimal) melibatkan juta (million) perlu ada 7 digit dari kiri ke kanan, iaitu:

0.67 million = 0 670 000

600 000

Kesilapan lain sering dilakukan ialah menjawab dalam pecahan (fraction)

6

---- million

10

Langkah pengiraan perlu ditunjukkan dengan jelas dan tepat mengikut unit diperlukan dalam jawapan.

Soalan dua dan tiga markah agak mudah kerana penyoalannya tidak menggunakan ayat terlalu panjang. Banyak soalan dibantu rajah dan gambar. Ini memudahkan calon memahami kehendak soalan.

Bagi soalan tiga markah, hampir kesemuanya membabitkan rajah dan jadual. Untuk soalan ini, pastikan pengiraan atau maklumat awal digunakan dalam pengiraan tidak salah nilai. Kesilapan ini menyebabkan pengiraan seterusnya menjadi salah.

Secara keseluruhan, calon perlu memberi tumpuan terhadap soalan yang menggunakan ayat dan rajah.

Kesilapan kerap berlaku dikaitkan dengan kegagalan calon memahami maksud ayat terakhir atau memberikan jawapan selepas langkah pengiraan dilakukan, sedangkan jawapan sebenar setelah langkah kedua atau ketiga.


Tuesday, August 25, 2009

Call to speed up SK Salarom construction

25th August, 2009

NABAWAN: The residents of three villages in Salarom want the education department to get the contractor to speed up the building of the new SK Salarom building, which is overdue.

The village chiefs said that parents were complaining to them that they were waiting for the school which began building in 2007 to open its doors so that they need not have to send their children elsewhere for schooling.

Salarom village chief Taka Mandaun Ampungit said that the old school-block was too small to accommodate more than 100 students.

“We can see that there is hardly any movement in the building of the new school and some of the building materials are rotting away,” he said.

He also pointed out about the building materials lying around which could endanger the children.

According to him, proper hygiene was not observed by the workers who also defecated at the worksite.

“We knew about it from a recent gotong-royong,” he said.

Another village chief, Andoi Tawanom who oversees Kg Tataluan, said that the construction materials were wood.

“The construction works are straightforward. What is important is that our children get a proper facility to study,” he said.

New Sabah Times who visited the site also noticed the construction materials which are lying around.

Some of the parents when approached said that their children had complained about the little space they have in the present school block.


Tip UPSR: Strategi jawab soalan Bahasa Melayu Pemahaman

Oleh Anuar Ahmad

SIKAP tidak berhati-hati, gopoh dan malas berfikir panjang sewaktu menjawab soalan adalah antara faktor menyebabkan calon kehilangan markah atau tidak memperoleh jumlah maksimum untuk kertas Bahasa Melayu Pemahaman.

Bagi membantu calon mendapat markah maksimum, beberapa petua diberikan bagi menjawab soalan kertas ini dengan baik.

BAHAGIAN TATABAHASA

Pastikan calon sudah menguasai kesemua aspek penggunaan bahasa dalam bahagian tatabahasa.

Langkah ini penting kerana kesemua pilihan jawapan yang diberikan perlu difahami makna atau maksudnya terlebih dulu sebelum memilihnya sebagai jawapan.

Berikut beberapa langkah yang perlu dilakukan calon sewaktu menjawab soalan bahagian tatabahasa.

A. Faham

Seperti dikatakan, calon perlu memahami maksud kesemua pilihan jawapan yang diberikan. Kesalahan memilih jawapan berlaku kerana calon tidak memahami pilihan jawapan tersebut.

Untuk menjawabnya, ada dalam kalangan calon hanya mengagak maksud jawapan tersebut. Tindakan ini salah kerana calon perlu berusaha memahami maksud pilihan jawapan itu, bukan sekadar mengagak.

Biasanya akan wujud satu atau dua pengganggu jawapan yang paling dekat dengan jawapan yang tepat. Oleh itu, calon perlu benar-benar memahami pilihan jawapan yang disediakan.

Sebaiknya, buatlah catatan ringkas mengenai maksud bagi setiap pilihan jawapan tersebut.

Contoh soalan;

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

A lincir - licin

B cekap - mampu melakukan

C pintar - pandai

D lancar - fasih

B. Baca

Baca ayat soalan. Fahami betul-betul ayat tersebut dan kesesuaiannya dengan pilihan jawapan. Pilihan jawapan sebeginilah yang biasanya menjadi perangkap terutama kepada calon yang kurang berfikir.

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

C. Kesan

Calon perlu mengesan klu yang terdapat dalam ayat atau gambar. Ini penting kerana klu inilah yang akan membantu dan memudahkan calon memilih jawapan yang tepat.

Dalam soalan ini, klunya adalah ‘menyampaikan’ (Bulatkan perkataan menyampaikan).

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

D. Pilih

Peringkat ini paling penting. Pilihlah jawapan yang paling tepat dan mengikut kehendak soalan. Oleh itu, fahamkan betul-betul kesesuaian ayat dengan pilihan jawapan.

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

Pengganggu jawapan yang hampir tepat

A lincir - licin

B cekap - mampu melakukan

C pintar - pandai

D lancar - fasih

Pilihan jawapan yang paling tepat

Selain itu, pastikan calon mengikuti langkah berikut:

* Jawab soalan yang mudah terlebih dulu.

* Jangan membuang masa dengan menjawab soalan yang susah.

* Peruntukkan masa antara 15 hingga 20 minit untuk bahagian tatabahasa.

* Segera jawab soalan bahagian petikan.

* Baki masa perlu digunakan untuk menyemak semula jawapan.

BAHAGIAN PEMAHAMAN

Calon hanya perlu menjawab 10 soalan dalam bahagian pemahaman. Namun begitu, setiap soalan berkait rapat dengan petikan yang disediakan.

Antara langkah yang perlu dilakukan sewaktu menjawab soalan petikan ialah:

A. Baca dan faham

Calon perlu membaca petikan dan memahaminya terlebih dulu. Selepas itu barulah membaca soalan dan memahami pilihan jawapan yang disediakan. Jangan menjawab soalan tanpa membaca petikan terlebih dulu.

Contoh soalan:

Sebelum menghilang, lelaki itu berpesan seandainya mereka berjaya menangkap ikan di kawasan tersebut hendaklah dilepaskan semula beberapa ekor sebagai tanda menghormati.

Apakah pesanan terakhir lelaki tersebut?

A Jangan menangkap ikan di kawasan tersebut.

B Beberapa ekor ikan perlu dilepaskan selepas memancing.

C Memancing akan menyebabkan dia diserang penyakit misteri.

D Di dalam kawasan tersebut ada beberapa ekor ikan yang boleh ghaib.

B. Cari pembayang jawapan

Biasanya klu atau pembayang jawapan ada dalam petikan. Calon perlu menggariskan klu tersebut.

Sebelum menghilang, lelaki itu berpesan seandainya mereka berjaya menangkap ikan di kawasan tersebut hendaklah dilepaskan semula beberapa ekor sebagai tanda menghormati.

C. Penyesuaian

Sesuaikan pembayang yang ditanda atau digariskan dengan pilihan jawapan diberikan.

Apakah pesanan terakhir lelaki tersebut? (soalan)

... lelaki itu berpesan seandainya mereka berjaya menangkap ikan di kawasan tersebut hendaklah dilepaskan semula (pembayang)

D. Memilih

Jika calon sudah jumpa pilihan jawapan yang sesuai dengan pembayang ditanda atau digariskan, pilihlah jawapan tersebut mengikut kehendak soalan. Jangan sesekali memilih jawapan yang tidak ada pembayangnya dalam petikan.

Apakah pesanan terakhir lelaki tersebut?

A Jangan menangkap ikan di kawasan tersebut.

B Beberapa ekor ikan perlu dilepaskan selepas memancing. (JAWAPAN)

C Memancing akan menyebabkan dia diserang penyakit misteri.

D Di dalam kawasan tersebut ada beberapa ekor ikan yang boleh ghaib.

Langkah di atas perlu dilakukan dengan penuh teliti. Namun begitu beberapa kelemahan perlulah diatasi agar calon tidak melakukan kesilapan merugikan. Antara kelemahan tersebut ialah:

i. Tidak membaca arahan untuk setiap soalan.

ii. Menjawab soalan dengan tergesa-gesa.

iii. Kurang memberi tumpuan kepada kata kunci pada setiap soalan.

iv. Membuang masa dengan soalan yang susah.

v. Tersalah menanda jawapan yang sepatutnya pada kertas jawapan.

vi. Menghabiskan masa terlalu lama membaca petikan.

vii. Tidak memadam jawapan yang salah dengan bersih pada kertas OMR.

Ingat!:
Sebaik saja selesai menjawab semua soalan, kira jumlah tanda hitam di atas kertas OMR. Pastikan tanda hitam itu cukup 40. Jika kurang, bermakna ada soalan yang belum berjawab, tetapi jika lebih, mungkin ada soalan yang ditanda dua jawapan. Oleh itu, calon perlu semak semula.




Ibu Sufiah bantu anak pintar

Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
inasalwa@bharian.com.my





ROSMAH berbual dengan Halimahton (tengah) dan Iskander ketika pertemuan dan perbincangan di Kuala Lumpur, semalam.

Projek Permata Negara, Permata Pintar dapat khidmat nasihat Halimahton

KUALA LUMPUR: Halimahton Yusof, ibu dua beradik genius matematik, Sufiah Yusof, 24 dan adiknya, Iskander Ibrahim Farooq, 23, akan menggunakan pengetahuan serta pengalaman mendidik anak untuk membantu Projek Permata Negara dan Projek Permata Pintar Negara yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah berkata, pada pertemuan yang diadakan hampir sejam di kediamannya, Halimahton dan Iskander Ibrahim Farooq bersetuju untuk mengadakan satu pertemuan berhubung sukatan pelajaran Permata Negara dan Permata Pintar yang sedang dilaksanakan pihaknya kini.

Beliau berkata, pihaknya mendapat tahu kepulangan Halimahton ke tanah air selepas 34 tahun menetap di London sebaik saja pulang dari luar negara apabila membaca artikel dalam Berita Harian, baru-baru ini dan bersyukur apabila kedua-dua beranak itu bersetuju untuk mengadakan pertemuan selepas dihubungi.

"Halimahton dan anaknya bersetuju untuk mengenal pasti bagaimana mereka boleh bekerjasama dengan kami untuk memberi khidmat nasihat dan juga bantuan maklumat yang diperlukan. Pertemuan ini akan diadakan tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Halimahton dan anaknya di kediaman di sini, semalam.

Ditanya sama ada kedua-dua beranak itu akan diberi bayaran atas perkhidmatan yang diberikan itu Rosmah berkata, perkhidmatan berkenaan tidak dibayar sebaliknya mereka bersetuju ia adalah lebih kepada sumbangan untuk negara dan rakyat.

"Menerusi pertemuan ini saya menerangkan kepada beliau berhubung kedua-dua projek ini dan meminta supaya dapat membantu membaiki lagi kedua-dua projek berkenaan berdasarkan pengalaman dan ilmu pengetahuan yang beliau ada.

"Saya ingatkan hanya matematik tetapi selepas saya berbincang, Halimahton memberitahu bukan saja matematik tetapi boleh mengajar subjek lain juga. Apa yang diluahkan beliau ada persamaan dengan apa yang kami lakukan sekarang dengan kedua-dua projek berkenaan," katanya.

Rosmah berkata, sebagai ibu beliau bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap Halimahton selama ini, dan berharap program dilaksanakan itu dapat memberi perjalanan betul kepada ibu bapa yang mempunyai anak pintar.

"Semua ibu mempunyai perasaan yang sama iaitu kita mahu memberikan yang terbaik kepada anak tetapi mereka (anak) kadangkala tidak faham apa yang kita lakukan untuk mereka. Jadi, dalam kes Sufiah ini, kita perlu bagi dia masa dan insya-Allah suatu hari nanti dia akan kembali kepada Islam dan keluarga.

"Saya harap semua ibu akan turut sama berdoa dengan Halimahton dan pada masa sama berharap beliau bersabar dan mana-mana ibu yang kehilangan anak dan mengalami nasib yang sama dengan beliau akan turut berdoa supaya anak mereka juga akan kembali ke pangkuan keluarga," katanya.






Belajar 3M pada usia lanjut

26 wanita warga emas rebut peluang diberikan kerajaan

TENOM: Sudah berusia 60 tahun pun masih ingin belajar membaca, menulis dan mengira (3M)? Mengapa sudah tua baru hendak belajar? Mengapa tidak bersekolah ketika muda?

Itulah persoalan yang mungkin terlintas di fikiran umum apabila diberitahu masih ada anggota masyarakat sudah lanjut usia masih mempelajari 3M. Malah, bagi sesetengah orang, ia mungkin tidak masuk akal.

Pada usia mencecah 60 tahun, penduduk Kampung Bakuku, Ulu Tomani dekat sini tidak pernah patah semangat untuk menimba ilmu walaupun waktu itu seharusnya diluangkan untuk bermesra dengan anak cucu.

Bukan untuk mencapai kecemerlangan akademik, bukan juga untuk mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi di sektor awam atau swasta.

Sebaliknya, 26 wanita yang sebahagian besarnya warga emas menghambakan diri untuk menimba ilmu 3M yang tidak pernah dinikmati.

Kemiskinan yang menghimpit tidak memberi peluang mereka menimba ilmu secara formal. Faktor jarak kampung 25 kilometer untuk ke pekan kecil Kemabong, dekat sini, melalui jalan tidak berturap dan dikelilingi hutan tidak membolehkan mereka ke sekolah.

Tinjauan Berita Harian di kampung itu baru-baru ini mendapati, walaupun sibuk mengikuti kelas anyaman disediakan pegawai dan kakitangan Kraftangan Malaysia dengan kerjasama Sabah Forest Industry (SFI) di kampung itu, mereka tidak mahu melepaskan menyertai kelas dewasa.

Peluang menimba ilmu secara formal yang seolah-olah sudah terpadam daripada perjalanan hidup mereka, terbuka luas apabila Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran menyediakan program Kelas Dewasa sejak April 2008.

Ia bertujuan membasmi buta huruf di kalangan masyarakat luar bandar, sekali gus membolehkan mereka menikmati pembangunan negara.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakuku, 26 wanita yang tidak pernah menikmati pendapatan tetap dan hanya menjadi suri rumah merebut peluang mengenal huruf dan konsep 3M.

Setiap Selasa, Rabu dan Khamis, wanita berusia antara 35 hingga 60 tahun itu berada dalam kelas selama dua jam mulai jam 2 petang.

Dengan dibimbing guru sekolah berkenaan, Daniel Chiong, mereka diajar mengenal huruf bagi membolehkan membaca dan menulis, selain mengira.

"Kebanyakan mereka tidak pernah menerima pendidikan sebelum ini. Sejak mengikuti kelas ini, mereka sudah boleh membaca dan menulis perkataan dan ayat mudah.

"Mereka juga sudah boleh mengira dan membuat Matematik mudah. Awalnya memang sukar tetapi berkat kesungguhan, sekarang mereka sudah boleh berbuat demikian" katanya.

Suliya Ambun, 60, berkata beliau tidak akan melepaskan peluang ke kelas setiap jam 2 petang Selasa, Rabu dan Khamis.

"Sebelah pagi saya membantu suami di kebun. Habis kerja di kebun, saya pulang memasak. Petang saya masuk kelas.

Asda Ngilo, 43, menerima galakan daripada suami dan anaknya untuk menyertai kelas itu.

"Saya tidak pernah menyesal tidak mampu membaca dan menulis sebelum ini kerana ibu bapa saya memang tidak mampu menyekolahkan saya ketika kecil.

"Sekarang saya gembira kerana sudah mengenal huruf dan mengeja," katanya.

Kementerian Pelajaran menyediakan 195 Kelas Dewasa di seluruh negara, iaitu 93 sekolah rendah di Semenanjung yang keseluruhan pelajarnya adalah Orang Asli dan 102 sekolah rendah yang membabitkan pribumi di Sabah dan Sarawak.

Selain SK Bakuku, sekolah lain di Sabah yang turut menyediakan kelas berkenaan ialah SK Tumunda Salimandut di Kota Marudu dan SK Kampung Solob di Sipitang.

Setiap kali hadir, pelajar diberi elaun RM15 selain RM4 untuk membeli makanan dan minuman. Mereka perlu mengikuti kelas bahasa Melayu dan Matematik 200 jam dalam 100 hari dari Mac lalu hingga November depan.

Jelas, pada usia yang sudah lanjut, ilmu yang disediakan secara percuma oleh Kementerian Pelajaran bagaikan bulan jatuh ke riba untuk warga emas di pedalaman. Kesungguhan mereka menimba ilmu seharusnya menjadi pendorong untuk pelajar yang mengikuti pembelajaran secara formal di sekolah.


Monday, August 24, 2009

GOVT URGED TO BUILD PRIMARY, SECONDARY SCHOOL AT TELIPOK RIA

2408_2a
One of the teacher’s quarters in the interior
24th August, 2009

KOTA KINABALU: The government is urged to consider building a primary and secondary school at the Telipok Ria settlement area to overcome the high cost of school bus service.

According to Sepanggar Umno divisional chief, Jumat Haji Idris, some residents pay as much as RM100 per child a month for the service.

He lamented that some residents have resorted to moving back to the squatter area in Likas just to save cost of sending their children to school. He said most of the 3,000 residents in the settlement send their children to primary and secondary schools around Likas.

Jumat deemed the amount parents have to pay for school bus service as an added burden to their already high cost of living.

He said most of the residents belong to the low income group.

On another matter, Jumat urged the government to reserve 3 per cent of land area in Sepanggar for bumiputera to overcome housing problem.

Meanwhile, in Nabawan, the Agriculture & Food Industry Assistant Minister, Datuk Bobbey Suan, has requested the Education Ministry to overcome the shortage of teacher’s quarters in the district.

He noted that the situation has forced some teachers to drive between Nabawan and Keningau every day while others who are posted in schools further into the interior have no choice but make the best of what accommodation is available.

“The houses they’re occupying are not very comfortable,” he said.