Saturday, August 8, 2009

Guna pakar B. Inggeris Australia di Malaysia


Muhyiddin Yassin menyerahkan memorandum perjanjian kepada Naib Canselor Universiti Edith Cowan, Profesor Kerry O.Cox selepas memeterai MoU untuk menggunakan kepakaran guru Bahasa Inggeris universiti itu di Malaysia di Perth, Australia, semalam. - BERNAMA

PERTH 7 Ogos - Kementerian Pelajaran hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Edith Cowan - institusi Bahasa Inggeris terulung di Australia Barat - untuk membawa pakar-pakarnya merangka kurikulum bahasa itu di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya turut mencapai kesepakatan dengan Naib Canselor universiti, Profesor Kerry O. Cox untuk menubuhkan pusat pembelajaran insentif Bahasa Inggeris menerusi teknik yang disesuaikan untuk keperluan negara.

''Kita melihat pengalaman mereka (universiti) dalam mengajar Bahasa Inggeris untuk warga asing seperti dari ASEAN yang ramai menetap di Australia.

''Dalam aspek ini kita bersetuju untuk mewujudkan kerjasama jangka panjang melatih guru dan menyediakan kurikulum Bahasa Inggeris yang sesuai termasuk tatabahasanya.

"Pengalaman universiti ini dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris boleh digunakan di Malaysia," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mengadakan pertemuan selama sejam dengan Cox dan beberapa pensyarah terkemuka universiti yang turut masing-masing diselitkan taklimat mengenai masalah kekurangan guru Bahasa Inggeris di pedalaman Australia dan Malaysia.

Muhyiddin berkata, pertemuan beliau dengan Cox turut mencungkil pengalaman universiti itu dalam menyelesaikan kebuntuan kekurangan guru-guru di pedalaman.

''Australia merupakan benua yang luas iaitu separuh dari China, justeru bagaimana negara ini berjaya menarik minat guru-guru Bahasa Inggeris ke pedalamannya mungkin dapat digunakan oleh Malaysia yang turut mengalami masalah serupa," katanya.

Usaha untuk membentuk kurikulum baru Bahasa Inggeris di Malaysia diberi perhatian serius oleh Muhyiddin ketika mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bulan lepas.

Dalam pengumuman yang turut merencanakan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu itu, Kementerian Pelajaran turut mengumumkan usaha untuk melatih atau membawa masuk 1,000 guru Bahasa Inggeris yang berkualiti.

Ketika ini kekurangan guru-guru Bahasa Inggeris begitu kritikal khususnya untuk ditempatkan di pedalaman negara.

Daripada 400,000 guru sedia ada di Malaysia, hanya 60,000 merupakan guru Bahasa Inggeris. - Utusan


Program motivasi perlu diperluas ke pedalaman


ZULKHAIRI Ismail (kiri) berinteraksi dengan pelajar yang menyertai Program Motivasi Kecemerlangan Akademik di Sekolah Kebangsaan Kimanis, Papar, Sabah, semalam.


PAPAR 7 Ogos - Program Motivasi Kecemerlangan Akademik perlu diperluas ke pedalaman daerah ini bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik murid-murid yang kebanyakannya masih miskin.

Pegawai Pelajaran Daerah Papar, Durahman Ramlee Awang Wahab berkata, program itu amat berkesan dalam merangsang minat belajar sekali gus mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan.

"Kita perlukan motivasi dan tidak boleh hanya menyuruh murid-murid belajar tanpa memberi semangat, ini bagi mengelakkan mereka
merasa bosan atau hilang minat dalam pelajaran.

"Program motivasi seumpama ini sangat penting untuk murid-murid mengasah minat mereka dalam pelajaran. Kita berharap, pihak swasta lain dapat mencontohi usaha ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program tersebut yang dianjurkan oleh Yayasan Sabah (YS) Zon Pedalaman Selatan di Sekolah Kebangsaan Kimanis, di sini hari ini.

Lebih 70 murid yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah berkenaan menyertai program selama sehari itu.

Durahman berkata, diharap lebih banyak pihak swasta akan menjalankan tanggungjawab sosial seperti itu kerana masih banyak sekolah di sini yang memerlukan motivasi.

Katanya, ini bukan bermakna pihak sekolah tidak perlu berbuat apa-apa tetapi apa yang diperlu ialah sokongan luar dalam menyumbang untuk memajukan bidang pendidikan di Papar.

Sementara itu, Ketua Pentadbir YS Zon Pedalaman Selatan, Zulkhairi Ismail mengingatkan ibu bapa di sini supaya sentiasa menjalin hubungan yang baik dengan pihak sekolah.

"Kita tidak mahu tanggungjawab mendidik hanya dibebankan kepada pihak sekolah, sebaliknya semua pihak perlu bekerjasama," katanya.


Contohi penyumbang sekolah Cina - Rosmah


Rosmah Mansor menyaksikan penyampaian replika cek (dari kiri) Datuk Yew Teong Look, Toh Puan Ena Ling, Hwang Chia Sing, Liew Ah Ching dan Lim Bean Hean pada malam Amal Caring And Sharing SJKC Khai Chee, di Hotel Legend, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Sikap bersedia menghulurkan sumbangan bagi pembangunan sekolah-sekolah masyarakat Cina wajar dicontohi masyarakat lain terutamanya ahli korporat, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurutnya, budaya dan sifat keprihatinan yang amat menyerlah di kalangan masyarakat Malaysia perlu menjadi amalan berterusan serta berpaksikan konsep 1Malaysia.

Ini kerana, jelasnya, banyak lagi sekolah yang memerlukan sokongan padu dari semua pihak seperti yang diterima oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Chee.

"Sehubungan itu, budaya masyarakat prihatin dan penyayang hendaklah dipupuk dalam diri anak-anak kita sejak kecil lagi.

"Anak-anak harus dididik agar peka dan ditanam sifat ingin membantu sesama insan apatah lagi kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Malam Amal Caring and Sharing SJKC Khai Chee di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengurus SJKC Khai Chee, Lim Beng Hean.

Pada majlis itu, sebanyak RM2.1 juta dikutip untuk meluaskan tapak sekolah dan meningkatkan kemudahan infrastruktur di samping membeli sebidang tanah bersebelahan sekolah berkenaan.


SMK Belawai tiada air seminggu ditutup

KUCHING: Sebuah sekolah berasrama di kawasan tengah negeri ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai terpaksa ditutup sejak Isnin lalu berikutan musim kemarau yang mengakibatkan sekolah terbabit terputus terus bekalan air.

Pengarah Pelajaran Negeri, Dr Julaihi Bujang, berkata sekolah berkenaan terputus bekalan air sejak 31 Julai lalu dengan penghantaran bekalan air pertama yang dibuat kelmarin (Rabu) hanya mencukupi untuk keperluan sebuah kuarters guru.

Katanya, pada 1 Ogos lalu, semua pelajar asrama sekolah berkenaan telah diarahkan pulang ke rumah masing-masing dan mulai Isnin lalu sekolah itu ditutup sementara.

"Setakat ini kita mengarahkan sekolah itu ditutup selama seminggu sementara menunggu bekalan air dihantar oleh Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya kepada Berita Harian.

Dr Julaihi berkata, bagi SMK Suai di Miri yang turut terputus bekalan air sejak awal minggu ini, JKR sudahpun menghantar bekalan air dan dengan itu juga keputusan untuk menutup sementara sekolah berkenaan dibatalkan.

Beliau berkata, beberapa sekolah berasrama yang terletak dalam kawasan dilanda kemarau di negeri ini juga kini berhadapan berkemungkinan terpaksa ditutup jika bekalan air bersih tidak dibekalkan dalam tempoh masa terdekat.

Katanya, musim kering akibat fenomena El-Nino dan ditambah lagi dengan jangkitan selsema babi kini memburukkan lagi keadaan khasnya yang membabitkan sekolah berasrama.

Beliau berkata, jabatan itu akan mendapatkan bantuan segera daripada Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Alam Negeri bagi mengelak daripada tindakan menutup sekolah kerana ia boleh menjejaskan jadual pembelajaran.

Kesan fenomena El-Nino mula dirasai di negeri ini apabila dianggarkan kira-kira 18,000 penduduk khasnya di kawasan pesisir pantai Sarawak terjejas dan berdepan dengan masalah kemarau sejak kira-kira sebulan yang lalu.

Lapan bahagian di Sarawak yang terjejas teruk akibat kemarau setakat ini adalah Kuching, Samarahan, Batong, Sarikei, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

Sekolah guna air hujan dipantau

Oleh Micheal Sering
bhnews@bharian.com.my

KUCHING: Kerajaan negeri akan memantau rapi semua sekolah di kawasan pedalaman negeri ini yang bergantung kepada air hujan sebagai sumber bekalan air bersih, berikutan musim panas kering yang berlarutan sejak lebih sebulan yang lalu.

Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan), Datin Fatimah Abdullah, berkata ini bertujuan memastikan sekolah terbabit tidak terputus terus bekalan air.

Katanya, kebanyakan sekolah yang bergantung kepada air hujan terletak di kawasan hulu sungai dan pedalaman negeri ini.


"Saya tak dapat berikan jumlah sebenar sekolah yang masih bergantung kepada sumber air hujan ini. Namun saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan memantau rapi sekolah terbabit," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan sesi randau bertajuk 'Meningkatkan Kaliber Graduan Hari Ini' yang dianjurkan Angkatan Zaman Mansang ( Azam) dengan Kerjasama Konrad-Adenauer-Stiftung, di Pusat Penerangan Islam di sini, semalam.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( Adun) Dalat mengakui masih banyak sekolah di pedalaman Sarawak bergantung penuh kepada sistem tadahan air hujan.


Kebiasaannya kata beliau, sekolah terbabit akan menghadapi masalah kekurangan bekalan air bersih apabila musim panas kering berpanjangan termasuk sekolah di kawasan yang diwakilinya dalam Bahagian Mukah.

Katanya, kerajaan negeri akan meminta agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya segera menghantar bekalan air bersih termasuk dalam bentuk air mineral kepada sekolah terbabit.

"Kita juga menggunakan bot penduduk tempatan untuk menghantar bekalan air ke kawasan sekolah di hulu sungai. Itupun kalau sungai masih boleh dilalui oleh bot, kalau tidak kita terpaksa menggunakan jalan balak," katanya.

Beliau berkata, jika tiada akses untuk menghantar bekalan air ke sekolah terbabit akibat air sungai terlalu cetek dengan tiada alternatif lain, maka sekolah berkenaan akan dipertimbangkan untuk ditutup sementara.

Fatimah meminta semua guru besar atau pengetua sekolah supaya segera melaporkan kepada kerajaan melalui agensi berkaitan, sekiranya berhadapan masalah kekurangan bekalan air.

"Air adalah keperluan asas dengan kekurangan bekalan air boleh dikategorikan sebagai kecemasan," katanya.


Friday, August 7, 2009

Muzik untuk kehidupan




DENGAN keadaan yang mungkin akan merugikan pelajar sekolah jika benar rancangan pengurangan masa pendidikan muzik dilaksanakan, hal ini perlu dibincangkan lebih serius dan mendalam lagi bagi mengupas nilai pemikiran serta kreativiti dalam ilmu muzik yang masih lagi diperlekah ramai.


BAGI Syafinaz, guru muzik perlu ada kelas yang tersendiri.


Jika dicabang-cabangkan, bidang muzik juga mampu merangkumi kerjaya lain selain menjadi ahli muzik. Dengan memandang serius mengenai isu ini, pasti generasi sekarang lebih didedahkan dengan muzik yang mampu dinilai sendiri dengan bijak.

Pendidikan muzik bukan sahaja boleh melahirkan masyarakat yang bijak dalam muzik tetapi juga tahap apresiasi terhadap sebuah karya itu juga lebih tinggi.

Usah terkejut bila kelak peminat muzik mempunyai citarasa dan pemilihan muzik yang lebih bermutu serta kreatif bermula daripada proses pembelajaran muzik yang lebih serius di sekolah.

Namun, tanpa ilmu muzik industri muzik tampak statik tanpa sebarang pendedahan atau pengetahuan ilmu yang dianggap biasa-biasa sahaja.

Mungkin akan menjadi satu masalah besar kepada pengajar muzik di institusi pengajian tinggi apabila pelajar-pelajar baru mereka mengambil kursus muzik tanpa sebarang asas mengenai bidang berkenaan.

Menurut pensyarah vokal moden Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang juga merupakan seorang penyanyi, Dia Fadila, keadaan pengurangan masa bagi pelajaran muzik akan lebih menyusahkan tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi.

"Untuk menjadi seorang penyanyi profesional yang bagus, mereka perlu dipupuk sejak kecil lagi. Tetapi dengan masa yang begitu pendek, saya pasti, pelajar sekolah tidak akan dapat merasa ilmu muzik yang sebenar.

"Bila masuk ke universiti, pensyarah pula menghadapi masalah kerana terpaksa mengajar bermula dari bawah. Tanggungjawab kami akan bertambah berat. Jangan anggap pelajaran muzik adalah perkara yang remeh kerana muzik merupakan subjek kedua susah di dunia," katanya.


DIA FADILA menganggap minat kepada muzik perlu dipupuk sedari kecil.


Bagi penyanyi, pensyarah dan pengarah vokal, Syafinaz Selamat, muzik merupakan satu bidang yang begitu penting bukan sahaja dalam negara, sebaliknya di seluruh dunia.

"Macam mana nak tingkatkan taraf muzik kita bila pendidikan muzik yang didedahkan begitu rendah. Siapa yang boleh nafikan tentang hal ini?

"Cuba lihat semula, alatan muzik apa yang ada di sekolah-sekolah. Dalam membantu kenaikan ekonomi negara, ia seperti membantutkannya pula.

"Hampir seluruh dunia menggunakan medium muzik dalam kehidupan harian dan muzik juga adalah satu bidang profesional yang boleh menghasilkan duit. Tapi kalau asyik potong bajet dalam muzik, apa yang tinggal dalam budaya kita?

"Ini membuatkan bidang muzik dianggap remeh dan membuang masa sahaja kerana tidak menghargai muzik. Perlu diingat, untuk menjadi pemuzik yang bagus, bakat saja tidak cukup. Bidang ini memerlukan kerja keras untuk berjaya," katanya.

Bukan sahaja perlu mengekalkan masa 60 minit seminggu dalam pembelajaran muzik, sebaliknya, guru-guru juga perlu bertauliah dalam bidang berkenaan memandangkan kebanyakan guru muzik yang ada hari ini sekadar tangkap muat dan cukup jika guru muzik itu boleh bermain alatan muzik.


Muzik sekadar di pinggiran

Dulu 60 minit, sekarang berkurangan kepada 30 minit sahaja. Satu langkah yang dikira sangat tidak realistik ketika penghayatan seni semakin meningkat di kalangan generasi muda.




DI saat guru-guru sekolah sibuk mendidik pelajar untuk mendapat skor terbaik dalam pelbagai mata pelajaran khususnya Sains dan Matematik, mata pelajaran pendidikan muzik pula menerima nasib sebaliknya - dipinggirkan!

Isu bahawa muzik bukan sesuatu yang penting di kalangan generasi baru negara ini timbul apabila pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) baru-baru ini telah mengumumkan rancangan untuk mengurangkan masa pembelajaran pendidikan muzik kepada 30 minit sahaja setiap minggu.

Sebelum ini Kementerian Pelajaran memperuntukkan tempoh masa selama 60 minit seminggu Kokurikulum Sekolah Rendah bagi mendedahkan pelajar kepada dunia muzik secara lebih profesional.

Banyak yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan saranan yang dibuat oleh pihak kementerian berkenaan dan mahu pihak berkenaan mempertimbangkan semula kerana ini mampu menjejaskan dari segi pelbagai faktor. Sebenarnya, tanpa disedari langkah tersebut boleh menjejaskan kelahiran generasi 'celik muzik' di kalangan generasi baru.

Kita sepatutnya mengambil contoh daripada negara-negara maju, seperti Jepun, yang mewajibkan setiap murid gred 1 hingga 9 (tahun 1 hingga tingkatan 3) mengikuti pelajaran muzik selama 120 minit seminggu.

Boleh dikatakan setiap sekolah di Jepun menyediakan kemudahan dan peralatan serta bahan pengajaran lengkap untuk pengajaran matapelajaran muzik.

Sementara itu di Jerman pula, bermula dari murid tadika hinggalah ke gred 12 (tingkatan 2) diwajibkan mengikuti pelajaran muzik sekurang-kurangnya 90 minit seminggu.

Mengajar jadi pengguna muzik

Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Ketua Jabatan Muzik Universiti Teknologi Mara, Profesor Dr. Ramona Mohd Tahir, tanpa pendidikan asas, kualiti muzik mungkin akan terjejas dan usaha memberi lebih kecemerlangan kepada industri seni tempatan tidak akan berhasil.

Bukan mahu mengajar anak-anak untuk menjadi ahli muzik, sebaliknya ia mampu melahirkan masyarakat yang bijak menilai kualiti sesebuah karya kerana merekalah yang akan menjadi pengguna kepada muzik dimasa depan.

Tanpa ilmu muzik, masyarakat terlalu mudah untuk berpuas hati dengan hasil karya muzik yang begitu rendah nilai estetiknya.

"Seperti mata pelajaran Sejarah, Sains dan Geografi, Pendidikan Muzik juga adalah pendidikan asas dalam pembelajaran sekolah. Tidak semestinya mereka perlu jadi pemuzik, ia sekadar ilmu yang harus masyarakat tahu.

"Tanpa ilmu muzik, mereka akan menilai berdasarkan radio yang didengar, rupa paras seseorang pemuzik itu, lirik putus cinta yang sememangnya disukai umum serta gosip-gosip terbaru mengenai penyanyi berkenaan.

"Disebabkan itu, masyarakat kita terlalu memilih tentang hal penyanyi berbanding karya mereka. Lihatlah negara-negara luar, asalkan muzik mereka berkualiti, mereka diterima tidak kira sama ada mereka gemuk, kurus, hodoh atau cantik.

"Kehebatan penyanyi di Malaysia lebih menjurus kepada komersial dan populariti. Mereka hanya menguasai jenis-jenis muzik yang bertahap rendah.

"Sebab itu, masyarakat sekarang gemar lagu-lagu pop dan ini tidak memajukan tamadun dan warisan negara kerana mereka tidak tahu, apa alatan muzik asas yang ada dan nilai sesebuah karya muzik tersebut," tegasnya.

Tambah Ramona, biarpun pendidikan muzik diwajibkan di setiap sekolah sejak tahun 1983, mata pelajaran tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya. "Muzik lebih kepada untuk bersukaria seperti menyanyi tetapi tanpa ilmu muzik di dada," ujarnya.

Kekurangan penggiat seni bijak

Umum tahu, agak sukar untuk penggiat seni kita diiktiraf ke peringkat antarabangsa dan mereka yang diiktiraf boleh dibilang dengan jari sahaja.


PEMBELAJARAN muzik di sekolah mendedahkan generasi muda kepada kesenian yang lebih profesional.


Puncanya, mereka dikatakan tidak layak dan belum sampai pada taraf berkualiti lagi. Semua ini kerana penerapan ilmu muzik begitu kurang serta mentaliti kita yang hanya melihat muzik daripada skop yang cukup sempit.

Memang benar, mereka mempunyai bakat semulajadi serta pakej yang lengkap untuk menjadi seorang penyanyi, namun hakikatnya, pendidikan muzik langsung tidak ada.

Tanya sahaja kepada penyanyi-penyanyi baru mengenai ilmu-ilmu muzik, mereka pasti akan terdiam dan hanya memberikan senyuman sahaja.

Menurut Presiden Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia (Mame), Johami Abdullah atau nama komersialnya, Joe Chelliah, potensi muzik yang terpendam di kalangan para pelajar boleh dicungkil dan dipelihara dengan amat baik semasa mereka masih bersekolah lagi.

"Bakat muzik yang terpendam di kalangan para pelajar sama pentingnya dengan potensi dan bakat lain seperti kemahiran-kemahiran linguistik atau psikomotor yang juga boleh dicungkil pada peringkat sekolah.

"Satu kerugian besar jika setiap kanak-kanak tidak berpeluang untuk menguji bakat muzikalnya sewaktu bersekolah lagi.

"Tanpa pendidikan muzik, penyanyi yang lahir dalam industri menjadi kurang berkualiti kerana langsung tiada pendedehan muzik sejak kecil.

"Cuba lihat contoh seperti Fauzi Marzuki, Datuk A. Rahman Hassan dan Aubrey Suwito, mereka bukan sekadar bermain muzik di Malaysia, sebaliknya turut diundang ke luar negara.

"Jika kita mempunyai pendidikan yang tinggi dalam muzik, jangan terkejut jika Malaysia juga mampu diikitiraf ke peringkat dunia. Malah generasi akan datang mungkin akan menjadi lebih hebat berbanding penggiat muzik sekarang," katanya.


BIDANG muzik juga boleh dijadikan sebagai kerjaya profesional.


Menurut Joe lagi, cadangan pengurangan masa pelajaran muzik tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan merugikan pelajar yang kurang berkemampuan, sebaliknya, bagi golongan yang mampu dan tahu akan kepentingan muzik, mereka akan menghantar anak-anak mereka ke kelas muzik di luar waktu sekolah.

Muzik bantu tingkatkan IQ

Di Malaysia, ramai ibu bapa mahu anak-anak mereka fokus lebih dengan mata pelajaran yang ada dalam peperiksaan dan mereka akan memastikan anak-anak akan membesar dengan ilmu akademik yang penuh di dada.

Tetapi, tahukah anda bahawa ia sebenarnya akan memberi tekanan kepada mereka? Sebaliknya, pendidikan muzik mampu memudahkan pelajaran anak-anak kerana mampu meningkatkan IQ mereka.

Para penyelidik di University of California yang diketuai oleh Frances Rauscher dan Gordon Shaw telah menemui teori The Mozart Effect iaitu wujudnya hubungkait antara muzik dan beberapa aspek dalam fikiran manusia.


TANPA didikan muzik, generasi muda tidak tahu mengenai budaya tradisional Malaysia.


Kanak-kanak sekolah rendah terutamanya yang mengikuti kelas muzik, mendapat keputusan lebih baik dalam peperiksaan sekolah.

Kajian dalam bidang neurologi mendapati, pemuzik yang mula mempelajari alat muzik keyboard sebelum berumur tujuh tahun mempunyai gentian saraf (bahagian otak yang membawa isyarat di antara otak kiri dan kanan) lebih tebal berbanding individu lain, sekali gus membuatkan mereka yang mempelajari muzik mampu berfikir dengan pantas.


MUZIK mampu menjadi terapi bagi merawat permasalahan yang bersarang di pemikiran manusia.


Di awal tahun 1900, muzik dijadikan sebagai agen untuk melengkapkan ilmu dalam bidang mata pelajaran lain seperti Matematik, Sains, Geografi dan lain-lain.

Kajian yang dilakukan oleh The National Center for Educational Statistics (U.S. Department of Education) merumuskan kesan penglibatan dalam aktiviti muzik memberikan peratus pelajar tersebut mempunyai lebih banyak gred A berbanding dengan pelajar tanpa ilmu muzik.

Kajian ini membuatkan hampir seluruh negara-negara maju mencadangkan penglibatan pelajar dalam kegiatan muzik untuk memudahkan perjalanan pembelajaran mata pelajaran lain.


Pendidikan awal elak jadi mat rempit


SAIRIN Karno melepaskan peserta Program Pendidikan Lalu Lintas Shell di pekarangan Dewan Masyarakat Keningau, Sabah, semalam.

KENINGAU 6 Ogos – Budaya sopan santun dan berhemah di jalan raya perlu dipupuk di kalangan generasi muda sebagai langkah pencegahan mengelak mereka daripada terjerumus ke dalam aktiviti tidak sihat seperti samseng jalanan atau mat rempit.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Sairin Karno berkata, golongan muda itu perlu dididik menjadi penguna jalan raya yang bertanggungjawab dan tidak pentingkan diri sendiri.

“Ini adalah satu strategi langkah pencegahan awal. Nilai-nilai murni itu perlu dipupuk dalam apa juga keadaan termasuk ketika berada di atas jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmi Program Pendidikan Lalu Lintas Shell Peringkat Daerah Keningau di perkarangan Dewan Masyarakat Keningau di sini hari ini.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Keningau George Kandavu, Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Keningau, Sharulnizam Mohd. Yatim dan wakil Shell Frankie Chong.

Beliau berkata, meskipun masalah mat rempit tidak serius di negeri ini tetapi langkah awal adalah perlu sebelum menjadi tidak terkawal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan itu bimbang jalan- jalan raya di daerah ini yang kini sedang dinaik taraf apabila siap akan dijadikan tempat merempit.

“Kita nasihatkan masyarakat di negeri ini agar menggunakan kemudahan jalan raya dengan sebaik-baiknya dan jangan salah guna atau melanggar peraturan jalan raya,” ujarnya.


'Kami mahu sekolah baru'


So'aib Ibrahim (dua dari kanan) bersama Dr. Haris Salleh (tiga dari kanan) meninjau tapak tanah yang sepatutnya telah didirikan bangunan tambahan SK Parit Keroma Darat, Muar, Johor, semalam.


MUAR 6 Ogos - Penantian lama warga Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Keroma Darat, di sini untuk mendapatkan bangunan baru bagaikan tiada kesudahan dengan projek pembinaan itu tertangguh dari tahun ke tahun.

Keadaan kini semakin mendesak apabila bangunan lama hanya mempunyai enam bilik kelas, sebuah bilik guru serta sebuah bilik komputer amat memerlukan bangunan baru untuk menempatkan bengkel kemahiran hidup, dewan serta bilik mesyuarat.

Disebabkan kemudahan prasarana yang tidak lengkap itu, murid-murid sekolah berkenaan terpaksa mengikuti kelas kemahiran hidup di bahagian luar kelas dan guru-guru terpaksa 'berhimpit' kerana bilik guru yang sempit.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, So'aib Ibrahim berkata, pihaknya telah mendapat kawasan tanah bagi bangunan baru itu sejak empat tahun lalu, namun sehingga kini tiada projek pembinaan yang dijalankan.

"Kami difahamkan urusan tender pembinaan bangunan baru itu telah diserahkan Kementerian Pelajaran kepada Jabatan Kerja Raya pada tahun lalu.

"Namun, disebabkan masalah kenaikan harga bahan tahun lalu, tiada kontraktor yang mahu mengambil projek itu dan sehingga kini projek ini seperti tergantung saja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

So'aib berharap masalah ketiadaan bangunan tambahan itu dipandang serius oleh pihak yang berwajib kerana ia melibatkan kepentingan pengajaran dan pembelajaran seramai 261 murid di sekolah tersebut.

"Bagi pihak ibu bapa, kami amat berharap anak-anak dapat belajar dalam suasana yang selesa supaya pelajaran mereka tidak terganggu," katanya.

Menurutnya, PIBG sekolah telah mengajukan perkara itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong, Datuk Dr. Haris Salleh dalam membantu mengatasi masalah itu.

"Sekolah ini telah dibina sejak tahun 1950-an dan saya rasa memang sudah patut masanya untuk kita menaik taraf bangunannya," katanya.

Selain tiada bangunan tambahan serta padang permainan, bangunan sekolah sedia ada turut menjadi bilik darjah kepada sekolah agama rakyat di kawasan berkenaan.


Galak anak-anak pelajari bahasa Inggeris

SITIAWAN 6 Ogos - Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak menguasai bahasa Inggeris bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli berkata, keperluan mempelajari bahasa Inggeris tidak bermakna memandang rendah kepada penggunaan bahasa Melayu kerana ia merupakan bahasa rasmi negara.

Menurut beliau, penguasaan dan kebolehan berbahasa Inggeris perlu dipertingkatkan tanpa mengira peringkat umur memandangkan bahasa berkenaan adalah bahasa ilmu.

''Jika dilihat, kebanyakan buku rujukan dan ilmiah terutama bidang sains dan teknologi ditulis dalam bahasa Inggeris termasuk penemuan baru mengenai sesuatu perkara yang kebanyakannya juga ditulis dan didokumentasi dalam bahasa Inggeris.

''Hal ini menunjukkan betapa perlunya kita mendalami dan menguasai bahasa Inggeris dan pada masa sama terus mengekalkan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta maruah bangsa," tegasnya.

Saripah menyatakan demikian berucap pada perasmian 'English Day 2009' Sekolah Kebangsaan (SK) Nakhoda Muhammad Taib Batu 3, Segari di sini, semalam.

Hadir sama, Penolong Pengawai Pelajaran Daerah Manjung, Ahmad Zamili Mokhtar, Guru Besar SK Nakhoda Muhammad Taib, Azizah Ramli dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nakhoda Muhammad Taib, Azri Jaafar.

Kata Saripah, kerjasama semua pihak terutama ibu bapa dan guru-guru penting untuk memupuk semangat belajar di kalangan murid-murid.

Menurut beliau, program seperti bercerita atau pengucapan awam boleh diadakan kerana ia dapat menarik minat murid-murid untuk mempelajari bahasa Inggeris.

''Kita juga boleh meningkatkan keupayaan berbahasa melalui pembacaan sama ada melalui majalah, komik, buku atau surat khabar bergantung kepada minat dan kecenderungan masing-masing,'' katanya.

Terdahulu, Saripah turut mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM2,000 untuk kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekolah berkenaan.


304 sekolah dibekal jangka suhu, penutup mulut


MELAKA 6 Ogos - Bimbang dengan penularan wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1), sebanyak 304 buah sekolah di negeri ini dibekalkan dengan jangka suhu sebagai langkah menangani wabak tersebut.

Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu berkata, setiap sekolah dibekalkan dengan satu unit jangka suhu untuk mengukur suhu badan pelajar yang mengalami demam ketika berada di sekolah.

Katanya, sebanyak RM72,000 telah diperuntukkan untuk pembelian jangka suhu berkenaan.

''Selain jangka suhu, sekolah-sekolah juga akan dibekalkan dengan topeng muka tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat khas wabak selsesema babi kepada 250 pengetua dan penolong kanan sekolah menengah dan rendah daerah Melaka Tengah dan Jasin di Jabatan Pelajaran negeri, Bukit Baru di sini semalam.

Hadir sama ialah Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ghazali Othman.

Isa menambah, peruntukan tambahan akan diterima pihaknya bagi memastikan kedua-dua bekalan peralatan berkenaan mencukupi.

''Kita juga berharap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat menghulurkan sumbangan bagi menangani wabak selesema babi di negeri ini secara bersama," katanya.

Dalam perkembangan lain, Isa berkata, sebanyak 45 buah sekolah meliputi 22 sekolah rendah dan 23 sekolah menengah telah ditutup akibat wabak berkenaan.

''Bagaimanapun, enam buah sekolah telah dibuka semula iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teknik Melaka Tengah, SMK Teknik Bukit Piatu, SMK Munsyi Abdullah dan SMK Teknik Jasin.

''Turut dibuka ialah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar dan SMK Bukit Katil,'' katanya.

Tambahnya, sekolah-sekolah yang telah dibuka semula ini perlu mengambil langkah-langkah berwaspada bagi mengelak wabak itu menyerang semula sekolah yang terlibat.


Dua pelajar di Teluk Intan sah H1N1

TELUK INTAN 6 Ogos - Dua pelajar sekolah di sini dimasukkan ke wad Hospital Teluk Intan (HTI) selepas didapati positif menghidap selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Seorang jurucakap HTI mengesahkan perkara itu setelah melakukan pemeriksaan ke atas 85 pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perak yang disyaki dijangkiti virus tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, keadaan itu menyebabkan HTI sesak selama beberapa jam bagi membolehkan petugas kesihatan menjalankan pemeriksaan dan menangani kes tersebut.

Dalam pada itu, sebanyak 75 murid merupakan pelajar SK Kampung Bahagia manakala 10 pelajar dari SMK Sri Perak.

Mereka dibawa ke hospital pada kira-kira pukul 8 pagi oleh guru kelas masing-masing berikutan kebimbangan dijangkiti virus pandemik tersebut.


Calon peperiksaan dikumpul

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Kementerian Pelajaran mungkin menempatkan calon-calon peperiksaan dari beberapa buah sekolah dalam satu sekolah yang sama jika ramai pelajar yang dijangkiti selesema babi atau influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, langkah itu merupakan salah satu daripada tiga langkah yang mungkin diambil oleh kementerian sekiranya wabak tersebut terus menular di kalangan pelajar.

Menurutnya, langkah itu perlu dilaksanakan ekoran ketetapan yang dikeluarkan kerajaan untuk tidak menangguhkan semua peperiksaan kebangsaan.

''Dua lagi langkah yang akan diambil ialah, peperiksaan mungkin dijadualkan di hospital jika bilangan pelajar yang dijangkiti tidak begitu serius.

''Bagaimanapun jika jumlah pesakit begitu tinggi di sekolah yang berkenaan, kita akan bagi cuti pada sekolah tersebut dan hanya membenarkan calon-calon yang hadir untuk menduduki peperiksaan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada kontinjen bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke Kejohanan Bola Sepak bawah 15 tahun Sekolah-sekolah Asia keempat di sini hari ini.

Alimuddin berkata, lima peperiksaan kebangsaan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tetap dijalankan mengikut jadual yang dirancang.

Menjelang peperiksaan itu nanti katanya, para petugas termasuk guru yang menyelia peperiksaan akan diberi topeng muka dan termometer bagi mengelak penularan.

"Tiada suntikan vaksin diberikan kepada petugas mahupun guru terbabit namun kita berharap mereka akan sentiasa sihat," katanya.

Jelasnya, sebanyak RM2.6 juta telah diperuntukkan untuk membeli topeng muka dan termometer bagi diedarkan ke seluruh sekolah sebagai langkah pencegahan.

"Malah setiap pagi sebelum sesi persekolahan bermula, guru besar di setiap sekolah akan mengadakan pemeriksaan mengejut bagi mengetahui tahap kesihatan pelajar," jelasnya.

UPSR akan diadakan dari 8 hingga 10 September, PMR dari 7 hingga 9 Oktober dan SPM dari 19 November hingga 16 Disember.


Sekolah jenis kebangsaan tidak pernah dipinggirkan

PUCHONG 6 Ogos - Kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana sekolah jenis kebangsaan sebaliknya mereka turut menikmati pembangunan dan layanan yang sama seperti sekolah kerajaan lain.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, sebarang proses penambahbaikan ataupun pembinaan setiap sekolah terlibat bagaimanapun memerlukan kajian teliti sebelum ia dapat dilaksanakan.

Beliau memberi contoh tentang projek pembinaan dewan dan kantin baru Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yak Chee di sini yang bernilai RM4 juta sebagai bukti bahawa kerajaan tetap prihatin terhadap sekolah jenis kebangsaan.

Jelasnya, projek itu bakal menyediakan kemudahan asas lengkap serta memberikan keselesaan kepada pelajar yang selama ini terpaksa bersesak-sesak.

''Projek pembinaan yang didirikan di atas kawasan seluas 3,000 kaki persegi itu bakal menempatkan kantin serta dewan baru untuk kemudahan pelajar serta kakitangan SJK (C) Yak Chee yang jumlah pelajarnya kini seramai 4,000 orang,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah SJK (C) Yak Chee di sini hari ini.

Menurutnya, pembinaan itu perlu disegerakan kerana bilangan pelajar kini semakin bertambah hingga menyebabkan mereka terpaksa bersesak-sesak terutamanya ketika waktu rehat.

''Dengan adanya dewan dan kantin baru ini, kita harap ia dapat memberikan keselesaan serta mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif di kalangan pelajar,'' katanya.

Hadir sama dalam majlis, Penyelia Sekolah Cina Negeri, Alan Yew; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), Erwan Tan Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Chan Chee Woh.

Dalam pada itu katanya, pendekatan turun padang serta berkhidmat kepada rakyat akan diteruskan agar hasrat kerajaan membantu rakyat di setiap peringkat terlaksana, selaras prinsip kerajaan iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.


Pendidikan asas penting elak keciciran

KOTA KINABALU 6 Ogos - Pendidikan asas di peringkat prasekolah wajar diberi perhatian bagi mengurangkan masalah keciciran pembelajaran di kalangan generasi masa depan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, penekanan dan perhatian istimewa terhadap pendidikan asas merupakan proses awal ke arah melahirkan generasi muda yang berilmu dan seimbang.

"Untuk itu, salah satu usaha yang harus dilakukan ialah dengan memastikan pelajar di semua peringkat dididik dengan sempurna termasuk memberi perhatian kepada pendidikan asas iaitu peringkat prasekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Kembara Minda 1Malaysia bersama angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor anjuran Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (Pencinta) di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini hari ini.

Mohd. Johari yang mewakili isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung kehormat Pencinta berkata, kekuatan sesebuah negara semakin bergantung kepada keupayaan melahirkan generasi pewaris yang penuh dengan daya intelektual yang seimbang.

Mengenai konsep 1Malaysia, Mohd. Johari berkata, ia penting untuk diterapkan dalam generasi muda bagi membentuk rakyat Malaysia yang bersatu padu.

Sementara itu, Presiden Pencinta, Datuk Izudin Ishak berkata, Pencinta akan memperluaskan Program Kembara Minda 1Malaysia bagi menyokong hasrat kerajaan melahirkan modal insan yang berkualiti.

Selain itu, katanya lagi, Pencinta akan melancarkan beberapa lagi program yang mampu menyokong hasrat kerajaan itu.

Antaranya, ujar beliau, ialah mengadakan program Pemukiman Satu Hati Cinta Negara dan menerbitkan cakera video digital (DVD) Kumpulan Deklamasi Puisi 1Malaysia.


Sukan kurikulum wajib?


MUHYIDDIN Yassin bersama-sama Bob Cronin (kiri) dan Dr. Eric Tan (kanan) semasa tiba di Newspaper House untuk menghadiri majlis pelancaran program pertukaran wartawan antara akhbar The New Straits Times (NST) dan The West Australian, di Perth, semalam.


PERTH 6 Ogos – Kerajaan sedang menimbang kemungkinan menerapkan elemen sukan dan pendidikan jasmani sebagai satu kurikulum wajib dalam sistem persekolahan di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tertarik dengan keupayaan Sekolah Menengah Tinggi Mount Lawley di sini menguruskan keseimbangan akademik dan aktiviti sukan di kalangan pelajarnya, turut mengkaji untuk mempraktikkan perkongsian kemudahan sukan di antara sekolah-sekolah dan universiti tempatan.

Di Malaysia ketika ini sukan merupakan aktiviti ko-kurikulum yang tidak diwajibkan ke atas pelajar.

‘‘Dalam sistem persekolahan di Mount Lawley Senior High School ini, kemudahan sukan termasuk gimnasium dikongsi bersama dengan Edith Cowan University berdekatan manakala jadual sukan dimasukkan dalam kurikulum pelajar.

‘‘Pelajar datang ke sekolah mengikuti pembelajaran dan diperuntukkan satu hingga empat jam untuk pendidikan jasmani dan selepas persekolahan pada sebelah petang dan malam boleh mengadakan latihan sukan di sekolah. Malah, subjek yang diambil hanya sekadar enam sahaja termasuk pendidikan jasmani,” katanya.

Beliau bercakap kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan lawatan dua jam ke sekolah berkenaan yang merupakan antara sebilangan sekolah yang berjaya melahirkan atlet-atlet sukan berwibawa di Australia.

Muhyiddin yang dalam lawatan kerja selama lima hari ke Australia memberitahu, beliau telah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datin Asariah Mior Shaharudin yang turut serta, untuk membuat kajian mendalam tentang kemudahan sukan dan sistem pendidikan di sekolah berkenaan untuk diterapkan dalam persekolahan negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau turut tertarik dengan penglibatan aktif ibu bapa dalam membantu pentadbiran Sekolah Menengah Tinggi Mount Lawley meningkatkan prestasi pelajar.

‘‘Mereka berminat dan anda boleh lihat di bahagian pentadbiran sekolah kelibat ibu bapa pelajar,” katanya.

Katanya, hasrat untuk menerapkan sukan sebagai kurikulum wajib di sekolah-sekolah di Malaysia lebih kepada usaha mendidik pelajar dari peringkat seawal usia mengenai keperluan penjagaan kesihatan khususnya kecergasan.

‘‘Pada masa sama individu berkenaan juga berpeluang menceburi bidang kejurulatihan atau perniagaan. Saya yakin jika kajian yang dibuat nanti bersesuaian, amalan sistem persekolahan di sini kemungkinan besar boleh diterapkan di sekolah-sekolah kita,” katanya.

Terdahulu Muhyiddin yang mengunjungi Ibu Pejabat akhbar West Australian dekat sini berkata, akhbar The New Straits Times dan The West Australian bersetuju mengadakan program pertukaran wartawan.

Turut bersama mengunjungi ibu pejabat akhbar itu ialah Ketua Pengarang Kumpulan The West Australian, Bob Cronin dan Canselor Emeritus Curtin University Dr. Eric Tan.

Beliau yang menyaksikan pemeteraian persetujuan itu yakin program seumpama itu dapat meningkatkan pemahaman antara kedua-dua negara dan merapatkan lagi hubungan di antara rakyat.

– Utusan


Sekolah diarah ambil suhu badan murid setiap pagi

KUALA LUMPUR: Sekolah diarah mengambil suhu badan murid setiap pagi dan mengasingkan serta membawa mereka ke klinik jika didapati demam dengan suhu badan melebihi 38 darjah celsius.

Pada masa sama, sekolah diminta peka dan mengambil tindakan sewajarnya jika ada murid mengalami sebarang simptom jangkitan selesema babi atau Influenza A (H1N1) seperti batuk dan selesema.

Untuk tujuan itu, sekolah di seluruh negara sudah dibekalkan dengan termometer dan topeng muka membabitkan perbelanjaan RM2.5 juta.

Bercakap kepada Berita Harian, semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pandemik H1N1 yang dipengerusikan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rabu lalu.


"Pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan kebersihan kawasan sekolah, termasuk tandas, bilik darjah, kantin dan asrama, selain terus menggesa pelajar untuk mengelak berada di kawasan tumpuan ramai," katanya.

Bagaimanapun, Alimuddin berkata, kementerian belum mewajibkan penggunaan topeng muka kepada pelajar sekolah kerana penggunaannya sedikit sebanyak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Selain itu, beliau meminta ibu bapa tidak panik dengan keputusan kerajaan tidak menangguhkan lima peperiksaan utama di negara ini kerana kerajaan akan melaksanakan tindakan yang perlu sepanjang tempoh peperiksaan berkenaan.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta kerajaan supaya tidak menutup sekolah yang dijangkiti H1N1 kerana bimbang ia akan menjejaskan sesi persekolahan pelajar terutamanya menjelang peperiksaan utama sebaliknya mahu langkah pencegahan di sekolah dipertingkatkan, selain mengkuarantin pelajar yang dijangkiti H1N1.

Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN) pula meminta ibu bapa memantau anak-anak yang terjejas sesi persekolahan mereka ekoran H1N1, supaya tidak mengabaikan pelajaran walaupun di rumah.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pengajian Tinggi menyerahkan kepada pusat pengajian tinggi menggunakan kuasa autonomi melaksanakan tindakan mencegah penularan H1N1 di institusi masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya tidak akan mengeluarkan arahan membatalkan program membabitkan pelajar, termasuk aktiviti menjelang sambutan Hari Kemerdekaan akhir bulan ini.

"Jika pelajar sudah membuat perancangan awal dengan pelbagai aktiviti berkaitan hari berkenaan dan keadaan setempat selamat tanpa sebarang gangguan, tidak ada alasan program berkenaan terpaksa dibatalkan," katanya selepas menyaksikan Pertukaran Dokumen Pengambilalihan Teknologi oleh Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) kepada Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.



Thursday, August 6, 2009

Three more schools closed in Labuan

6th August, 2009

LABUAN: Two national primary schools and a fully residential secondary school have been ordered to be closed for a week effective yesterday after six students were found positive of the A H1N1 virus.

SK Pantai and SK Pekan Dua have been ordered by the State Health Department to be closed until August 12 while all students of SM Sains placed under quarantine for the same length of period.

In the mean time, parents or relatives of the quarantined students have been advised to refrain from visiting.

Labuan Health Department Director, Dr Zaini Hussin, said that the order was issued to prevent spread of the disease.

“Until yesterday, nine cases had been detected out of which seven of them were students and two members of the public including a UMS-KAL (Universiti Malaysia Sabah Labuan International Campus) staff,” he told the media after attending a briefing on the cases at SMK Pantai yesterday.

He said of the seven students, three were from SK Pantai and two each from SK Pekan Dua and SM Sains.

According to Zaini, the student from SK Pantai who was detected to be positive of the virus two weeks ago has fully recovered while the six others have been reported to be in stable condition and discharged from hospital.

“However, they’re to be quarantined at home,” he said.

In giving the breakdown of suspected cases checked by the department since July 31, Zaini disclosed that 83 of them were from Institut Latihan Perindustrian, 52 from SK Pantai, 32 from SK Pekan Dua, 14 from SM Teknik, 25 from SM Sains and 38 from UMS-KAL.


Usaha penting capai keputusan cemerlang

6th August, 2009

MEMBAKUT: Golongan pelajar diingatkan tentang pentingnya usaha bagi mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif, berkata pelajar yang mempunyai kesungguhan dan sentiasa berusaha gigih berupaya mencapai kejayaan serta kecemerlangan.

“Jika ingin berjaya perlulah ada kesungguhan dan sentiasa berusaha,” katanya pada majlis perasmian penutupan Klinik UPSR Zon Membakut di Sekolah Kebangsaan Saga-Saga dekat sini, kelmarin.

Klinik selama dua hari itu dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sk Saga-Saga bersama Kumpulan Yayasan Sabah Pendalaman Selatan.

Mohd Arifin mentafsirkan makna U dalam UPSR sebagai usaha di mana setiap pelajar perlu berusaha untuk mencapai kejayaan.

P pula membawa maksud perhatian di mana setiap pelajar yang mahu mencapai kejayaan dan kecemerlangan perlu memberi perhatian terhadap pelajaran masing-masing.

Sementara S membawa maksud sihat yang merujuk pelajar agar sentiasa memastikan kesihatan berada dalam keadaan baik bagi memastikan mereka dapat membuat persediaan dengan lebih baik.

R pula, katanya bermaksud rakan di mana pelajar perlu memilih dan memiliki rakan yang baik dan mempunyai kesungguhan untuk berjaya dalam pelajaran.

“Pilihan rakan yang membawa kebaikan kepada kita dan tolaklah mereka yang bersikap sebaliknya,” katanya lagi.

Bagi memberi dorongan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR, Mohd Arifin turut mengumumkan hadiah yang bakal diterima oleh pelajar yang mencatatkan keputusan terbaik.

Pelajar yang berjaya mendapat 5 A akan menerima RM200 manakala pelajar yang memperolehi 4 A pula akan menerima RM100.

Sebelum ini hadiah yang sama juga diberikan kepada pelajar yang mengambil peperiksaan Sekolah Rendah Ugama (sekolah agama Majlis Ugama Islam Sabah) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Bagi hadiah itu, pelajar yang mendapat markah 80 ke atas mendapat RM100 dan hadiah tersebut telahpun diperkenalkan sejak tiga tahun lalu.

Selain menyediakan hadiah, Mohd Arifin juga mengumumkan bahawa beliau akan menampung separuh perbelanjaan bagi memastikan klinik seumpama itu dapat dilaksanakan pada masa-masa akan datang.

“Kita akan membantu menyediakan peruntukan kerana klinik seumpama ini amat bermanfaat kepada golongan pelajar,” katanya lagi.


20 pemilik bas pulau perkhidmatan mengangkut pelaja

IPOH 5 Ogos - Sekumpulan 20 pemandu yang juga pemilik bas sekolah memulaukan perkhidmatan mengambil dan menghantar kira-kira 2,000 pelajar sebuah kolej kejururawatan di Pusat Perindustrian Klebang dekat sini hari ini.

Tindakan itu diambil setelah mereka mendakwa pihak pengurusan syarikat pengangkutan yang dilantik kolej berkenaan enggan menaikkan kadar bayaran sewa bas mereka.

Menurut mereka, bayaran sebanyak RM220 sehari yang diterima daripada syarikat terbabit adalah tidak mencukupi bagi menampung antara empat hingga lima kali perjalanan sehari.

Seorang pemandu, S. Munusamy, 61, berkata, bayaran tersebut hanya boleh menampung perjalanan pergi dan balik pelajar sebanyak dua atau tiga kali sahaja dalam sehari.

''Pada mulanya syarikat itu hanya hendak membayar RM180 sehari tetapi menaikkan RM220 setelah kami meminta ia ditimbang semula.

''Bayaran itu sebenarnya tidak cukup kerana saya menanggung kos membaiki bas dan kos minyak terlalu rendah dan rugi," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Munusamy yang memulakan perkhidmatan bas itu sejak Mei tahun lalu berkata, pihaknya menyediakan pengangkutan meliputi kawasan penginapan pelajar di Bandar Sunway, Jelapang dan Klebang yang agak jauh dari kolej.

Katanya, syarikat terbabit juga didakwa bertindak agak keterlaluan apabila memberhentikan empat pengusaha bas yang tidak berpuas hati dengan bayaran yang diberi.

Seorang lagi pemandu, A. Steven, 43, berkata, mereka tidak mahu mengambil pelajar di sini sehingga tuntutan mereka dipenuhi oleh syarikat tersebut.

''Kami tidak akan mengambil dan menghantar pelajar hari ini selagi syarikat tidak mahu menimbang permintaan kami iaitu bayaran setimpal ke atas perkhidmatan kami," katanya.

Sementara itu, jurucakap pengurusan syarikat tersebut, K. Edmund ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak bimbang dengan tindakan pemulauan perkhidmatan tersebut.