IPOH 5 Ogos - Sekumpulan 20 pemandu yang juga pemilik bas sekolah memulaukan perkhidmatan mengambil dan menghantar kira-kira 2,000 pelajar sebuah kolej kejururawatan di Pusat Perindustrian Klebang dekat sini hari ini.
Tindakan itu diambil setelah mereka mendakwa pihak pengurusan syarikat pengangkutan yang dilantik kolej berkenaan enggan menaikkan kadar bayaran sewa bas mereka.
Menurut mereka, bayaran sebanyak RM220 sehari yang diterima daripada syarikat terbabit adalah tidak mencukupi bagi menampung antara empat hingga lima kali perjalanan sehari.
Seorang pemandu, S. Munusamy, 61, berkata, bayaran tersebut hanya boleh menampung perjalanan pergi dan balik pelajar sebanyak dua atau tiga kali sahaja dalam sehari.
''Pada mulanya syarikat itu hanya hendak membayar RM180 sehari tetapi menaikkan RM220 setelah kami meminta ia ditimbang semula.
''Bayaran itu sebenarnya tidak cukup kerana saya menanggung kos membaiki bas dan kos minyak terlalu rendah dan rugi," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Munusamy yang memulakan perkhidmatan bas itu sejak Mei tahun lalu berkata, pihaknya menyediakan pengangkutan meliputi kawasan penginapan pelajar di Bandar Sunway, Jelapang dan Klebang yang agak jauh dari kolej.
Katanya, syarikat terbabit juga didakwa bertindak agak keterlaluan apabila memberhentikan empat pengusaha bas yang tidak berpuas hati dengan bayaran yang diberi.
Seorang lagi pemandu, A. Steven, 43, berkata, mereka tidak mahu mengambil pelajar di sini sehingga tuntutan mereka dipenuhi oleh syarikat tersebut.
''Kami tidak akan mengambil dan menghantar pelajar hari ini selagi syarikat tidak mahu menimbang permintaan kami iaitu bayaran setimpal ke atas perkhidmatan kami," katanya.
Sementara itu, jurucakap pengurusan syarikat tersebut, K. Edmund ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak bimbang dengan tindakan pemulauan perkhidmatan tersebut.
No comments:
Post a Comment