Monday, August 3, 2009

MoU punca bantuan SAR lewat

PARIT BUNTAR 2 Ogos - Kelewatan dalam proses menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan Kementerian Pelajaran merupakan punca bantuan modal kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) menerusi pakej rangsangan ekonomi kedua tidak dapat disalurkan dengan segera.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, antara kerajaan negeri yang lambat menyelesaikan MoU itu ialah Pahang dan Johor.

''Kita minta kerajaan negeri segera menyelesaikan MoU tersebut bagi membolehkan bantuan disalurkan segera.

''Pihak kementerian tidak ada tujuan untuk mengambil alih SAR, tetapi mesti ada MoU bagi membolehkan bantuan itu diagihkan,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan modal RM40,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wai Sin dekat sini hari ini.

Mohd. Puad berkata, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM100 juta menerusi pakej tersebut untuk SAR di seluruh negara tahun ini dan setakat ini sebanyak 19 buah sekolah telah menerima bantuan.

Katanya, sebelum ini, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM50 juta dalam pakej rangsangan pertama bagi SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Jelasnya, ekoran itu pihak sekolah yang terlibat dikehendaki membelanjakan segera peruntukan tersebut agar memberi manfaat kepada semua pihak khususnya pelajar.

''Kita tidak mahu semua sekolah yang menerima bantuan itu menyimpan peruntukan itu sebaliknya ia perlu dibelanjakan segera,'' katanya.


No comments:

Post a Comment