Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
ctfa@bharian.com.my
Wanita 30-an alami pendarahan teruk disiasat
SUNGAI PETANI: Mayat bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui dengan keadaan kepalanya terperosok dan tersepit dalam mangkuk tandas di Sekolah Menengah Agama (SMA) Gurun, dekat sini, pagi semalam.
Difahamkan, mayat bayi yang cukup sifat dan lengkap bertali pusat itu ditemui seorang guru wanita kira-kira jam 8 pagi.
Malah, sepasukan anggota bomba juga kelihatan berada di sekolah itu dipercayai untuk membantu memecahkan mangkuk tandas berkenaan bagi mengeluarkan mayat bayi malang itu.
Bayi seberat tiga kilogram itu ditemui dalam keadaan bogel dipercayai dibuang ke dalam mangkuk tandas sejurus dilahirkan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, berkata sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian kira-kira jam 10 pagi selepas pengetua sekolah itu membuat laporan di Balai Polis, Gurun, di sini.
Beliau berkata, pihaknya percaya bayi terbabit sudah dua hari berada dalam lubang mangkuk tandas terbabit berdasarkan keadaannya, termasuk darah dan tali pusat kering yang masih melekat pada badannya ketika ditemui.
"Ketika ditemui bayi itu sudah meninggal dunia dan kami percaya bayi berkenaan dilahirkan kurang tiga hari berdasarkan pada tali pusat yang masih melekat dan kesan darah kering di badannya.
"Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, untuk dibedah siasat. Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang terbabit dengan kes itu," katanya ketika dihubungi, semalam.
Bagaimanapun, Hashim enggan mengulas sama ada wanita terbabit mempunyai kaitan dengan kes berkenaan dan menegaskan pihaknya masih melakukan siasatan.
No comments:
Post a Comment