Tuesday, August 4, 2009

Cara mudah pelajar dapat bahan bacaan

TUMPAT 3 Ogos - Bagi menerapkan budaya membaca di kalangan pelajar, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Pekan mengambil pendekatan baru dengan menempatkan kira-kira 16,000 buah buku termasuk akhbar Utusan Malaysia di beberapa lokasi strategik di sekolah berkenaan.

Guru Besar sekolah itu, Khairul Annuar Jamaluddin berkata, langkah itu diambil bagi memudahkan para pelajar mendapatkan bahan bacaan di mana saja mereka berada dan menigisi masa kosong dengan membaca buku.

Beliau berkata, budaya membaca perlu dipupuk sejak awal dan langkah itu diambil bagi memastikan ia dapat diterap ke dalam setiap pelajar di sekolah ini.

''Kita mahu pelajar ini menambahkan maklumat bukan saja dalam bidang akademik tetapi dalam semua aspek, oleh sebab itu kita menempatkan akhbar Utusan Malaysia di beberapa tempat strategik dan pada hari Ahad, jumlah Mingguan Malaysia ditambah kerana terdapat banyak maklumat yang boleh dimanfaatkan.

''Untuk menggalakkan pelajar membaca, kita juga mengadakan pelbagai program seperti choral speaking, pertandingan bercerita, kuiz, membaca, menulis cogan kata dan melukis poster,'' katanya pada majlis penutup Program Bulan Pusat Sumber Sekolah (PSS) di sini semalam.

Hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Negeri Kelantan, Masdiyah Jemain, Penyelia Pendidikan (Sekolah Rendah) Pejabat Pelajaran Daerah Tumpat, Azhari Mat dan Penolong Kanan 1, SK Pasir Pekan, Wan Sahimi Wan Ismail.

Program selama sebulan itu diadakan bagi memupuk sifat membaca selama sebulan dengan memudahkan mencapai bahan bacaan yang disediakan oleh PSS di beberapa lokasi strategik.

Khairul Annuar berkata, murid-murid juga terlibat dalam projek fail tegak untuk koleksi risalah, keratan akhbar serta majalah untuk pembelajaran.

Bagi pameran buku dan rak bergerak pula, katanya, bertujuan menggalakkan murid membuat penyelidikan melalui buku-buku yang dibaca seterusnya mengembangkan kemahiran pembelajaran kendiri.

''Usaha ini juga sekali gus mampu menarik penyertaan murid dalam program 'Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM)' yang berteraskan bacaan pelbagai jenis buku bermula dari tahun satu,'' katanya.


No comments:

Post a Comment