Monday, August 3, 2009

Lajim puji usaha Kumpulan YS beri peluang pelajaran semua lapisan masyarakat

2nd August, 2009

BEAUFORT: Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Haji Lajim Haji Ukin memuji usaha Kumpulan Yayasan Sabah memberi peluang pembelajaran kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini khususnya golongan miskin.

Beliau berkata, ia selaras dengan gagasan ‘1Malaysia’ yang memberikan peluang pendidikan sama rata kepada rakyat khususnya di kawasan pedalaman.

“Saya berharap pemberian biasiswa oleh Yayasan Sabah ini akan mendorong para pelajar untuk terus belajar seterusnya mencapai kejayaan dalam hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyampaian Biasiswa Harian Menengah Kumpulan Yayasan Sabah di Dewan Pa’Musa, di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu lebih kurang 200 penerima baru dari 17 buah sekolah menengah daerah Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu, Menumbok dan Membakut menerima Biasiswa Harian Yayasan Sabah. Jumlah ini tidak termasuk penerima awal seramai 300 orang.

Sementara itu, Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan, Zulkhairi Haji Ismail berkata, biasiswa harian yang diberi itu adalah sebahagian daripada usaha murni Kumpulan Yayasan Sabah untuk merangsang proses pembelajaran dan pencapaian prestasi pelajar khususnya dari kalangan kurang mampu.

Katanya, selain pemberian biasiswa harian, Yayasan Sabah juga menyediakan skim bantuan pelajaran yang lain dalam usaha meningkatkan pembelajaran rakyat di negeri ini.

“Oleh itu saya berharap para pelajar dan ibu bapa tidak mensia-siakan bantuan yang diberikan,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah Beaufort Salleh Haji Edris; Pengurus AgroBank Negeri Sabah Zainal Azhar Uda Kamis; Pengurus Cawangan AgroBank Beaufort Haslin Hassan; Para Pengetua sekolah, ibubapa dan warga pendidik.

Pameran dan temuduga terbuka oleh Kolej Yayasan Sabah, turut diadakan pada majlis itu.


No comments:

Post a Comment