Tuesday, August 4, 2009

Vaksin percuma untuk kanak-kanak, pelajar

NAMPAKNYA penularan virus maut Influenza A (H1N1) atau selesema babi semakin serius di negara ini sejak ia mula dikesan April lalu. Persoalannya, adakah masyarakat kita ambil berat atau terus tidak peduli dengan penularan virus ini?

Berdasarkan pengamatan, sebenarnya masih tidak ramai yang ambil peduli untuk melakukan pelbagai langkah pencegahan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

Walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak awal-awal lagi telah memberi amaran H1N1 merupakan pandemik, namun masih ramai yang tidak kisah.

Contoh yang paling mudah, berapa ramai yang menggunakan penutup mulut dan hidung ketika keluar bekerja?

Hakikatnya, amat jarang melihat ahli masyarakat kita yang berbuat demikian kecuali petugas di bahagian depan seperti di lapangan terbang atau hospital.

Malah, institusi dan sekolah yang sebelum ini telah ditutup kerana ada pelajar yang disahkan dijangkiti H1N1 pun ramai yang tidak menggunakan penutup mulut dan hidung.

Memang penggunaan penutup mulut dan hidung tidak menjamin seseorang itu terhindar daripada jangkitan berkenaan. Tetapi sekurang-kurangnya ia mengurangkan kadar jangkitan dan membuktikan kesedaran masyarakat.

Jika diamati, setiap hari media massa menyiarkan mengenai tahap penularan H1N1 di negara ini. Malah, pelbagai tips mengenai pencegahan juga disebarkan agar menjadi panduan kepada masyarakat untuk mengelakkan jangkitan berkenaan.

Adakah kita terus ingin dikaitkan dengan perumpamaan yang sinonim dengan masyarakat Malaysia, "sudah terhantuk baru terngadah"? Lebih menyedihkan, ada juga golongan yang dikuarantin masih 'merayaurayau' ke tempat awam sedangkan mereka sepatutnya hanya tinggal di rumah seperti yang diarahkan.

Mungkin perlu ada peraturan ketat, andai ada golongan yang dikuarantin didapati berada di tempat awam semasa tempoh itu, mereka boleh dikenakan tindakan tegas.

Mungkin hukuman melakukan kerja sosial boleh dipertimbangkan selepas tempoh 'berkabung' mereka tamat supaya memberi pengajaran kepada golongan lain.

Ia bukan untuk menghukum tetapi sebagai ingatan dan didikan untuk memberi kesedaran!

Ini kerana tindakan golongan berkenaan berada sewenang-wenangnya di tempat awam pasti mampu menyebabkan penularan yang lebih serius kepada lebih ramai orang seandainya mereka merupakan pembawa virus maut itu.

Perkara itu tidak seharusnya dipandang enteng kerana ia melibatkan faktor kesihatan yang boleh dianggap sebagai aspek keselamatan masyarakat dan negara.

Tanggapan atau persepsi silap yang mengatakan "tempat kita tiada lagi jangkitan atau masih jauh daripada wabak itu" tidak harus ada dalam diri masyarakat.

Kesedaran perlu ada bahawa apabila tercetus sesuatu penyakit maut, semua pihak harus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan dengan cara terbaik sebelum ia menular ke tempat atau negara kita.

Walaupun lokasi virus itu mula dikesan iaitu Mexico beribu kilometer jauh dari Malaysia, namun penyakit itu tidak mengambil masa yang lama untuk sampai ke sini kerana faktor 'pengimport' hanya mengambil masa beberapa jam sahaja menerusi hubungan pengangkutan serba moden.

Memandang virus tersebut semakin menular di negara ini, mungkin sudah sampai masanya golongan pelajar, bayi dan warga emas dipertimbangkan untuk diberi suntikan vaksin secara percuma bagi mencegah mereka daripada jangkitan virus itu.

Pada permulaannya, suntikan vaksin itu mungkin boleh didahulukan bagi bayi dan pelajar kerana golongan ini amat memerlukan sistem pertahanan badan yang kuat untuk menentang serangan virus itu.

Rasanya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran boleh membincang dan mempertimbangkan perkara ini kerana ia dilihat semakin 'mendesak'.

Selain itu, Kementerian Pelajaran turut boleh membekalkan penutup mulut dan hidung kepada semua pelajar dan guru serta kakitangan sekolah. Berdasarkan trend penularan virus tersebut, sekolah dan institusi pengajian tinggi serta institut latihan menjadi lokasi 'kegemaran' virus H1N1 merebak.

Dalam keadaan sekarang, komitmen pihak swasta juga dituntut untuk 'menaja' pengedaran penutup mulut dan hidung kepada orang ramai.

Sudah menjadi kebiasaan apabila ramai yang memakainya, yang lain secara tidak langsung turut terdorong untuk menggunakannya.

Anggap juga ia sebagai salah satu komitmen atau tanggungjawab sosial syarikat dalam situasi rakyat dan negara amat memerlukannya.

Selain peranan pihak berkuasa, komitmen ibu bapa juga amat dituntut. Andai ada ahli keluarga yang mengalami demam, batuk atau selesema, jangan tangguh bawa terus mereka menjalani pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital.

Tindakan pantas ini mampu mengawal serangan dan menyelamatkan nyawa orang yang tersayang. Perlu ditanam dalam fikiran, demam bukan lagi demam biasa, tetapi harus dirawat segera!

Kesedaran mengenai pentingnya kebersihan diri juga harus diberi penekanan kerana ia dikatakan mampu menghindari jangkitan virus berkenaan.

Justeru, komitmen dan kerjasama semua pihak amat dituntut kini untuk bersama-sama mengekang penularan jangkitan virus maut, H1N1 yang telah membunuh lebih 1,000 orang di 163 negara setakat ini.

Di Malaysia H1N1 telah menyebabkan tujuh kematian dan jumlah itu dikhuatiri bertambah jika langkah pencegahan tidak ditingkatkan dan golongan yang menghidapi demam, batuk atau selesema memandang mudah perkara itu.

PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Malaysia Johor


No comments:

Post a Comment