KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi berkata, penguasaan ilmu lebih berkesan dengan menggunakan Bahasa Melayu atau pun bahasa ibunda di kalangan pelajar di negara ini.
Kataya, ia bukan bertujuan untuk menafikan keperluan bahasa Inggeris, cuma ia hendak memperbetulkan cara penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar dengan memperkukuhkan cara pengajarannya.
Menurutnya, penguasaan Bahasa Inggeris tidak boleh ditingkatkan melalui Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tetapi ia mestilah dengan kaedah yang lain.
“Sebab itu, kita akan berbelanja dengan jumlah yang besar iaitu RM5 bilion untuk memperbetulkan pengajarannya dalam memastikan guru-guru Bahasa Inggeris mencukupi khususnya di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Profesionalisme Pengelola Sekolah-Sekolah Malaysia (PPSSM) di sini, kelmarin.
Dr. Puad berkata, dengan peruntukan yang besar, ia bukanlah pembaziran, sebaliknya kementerian akan meningkatkan jumlah guru Bahasa Inggeris dengan mengambil seramai13,933 guru bahasa itu yang akan bermula pada tahun depan.
Katanya, 1,000 guru Bahasa Inggeris daripada luar negara akan diambil, manakala 600 orang guru lagi akan diambil daripada guru Bahasa Inggeris yang sudah bersara.
Selain itu, katanya, kementerian itu juga akan menwujudkan makmal bahasa di sekolah-sekolah yang sebelum ini hanya ada di universiti dan menggunakan Teknologi Maklumat Komunikasi (ICT) untuk pengajaran Bahasa Inggeris.
Dalam pada itu, beliau juga berkata, pihaknya juga akan mempertimbangkan cadangan supaya diajar mata pelajaran bahasa lain di sekolah menengah sebagai mata pelajaran elektif.
“Pengajaran bahasa lain memang ada di sekolah berasrama penuh dan matrikulasi tetapi tidak ada di sekolah menengah biasa,” katanya.
Katanya, antara mata pelajaran bahasa asing yang boleh dipertimbangkan untuk diajar seperti Bahasa Jepun, Jerman dan Sepanyol yang semakin popular.
“Dengan adanya pengajaran mata pelajaran bahasa asing itu ia akan meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini,” ujarnya.
Terdahulu itu, dalam ucapannya pada majlis itu, Dr. Puad berkata, pengelola sekolah boleh memainkan peranan sebagai “mediator” untuk membantu kerajan dalam melaksanakan sistem penyampaiannya khususnya mengenai keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI yang akan berkuatkuasa pada 2012 yang bertujuan memartabatkan bahasa Melayu dan mengukuhkan Bahasa Inggeris.
Ini kerana, pihaknya melihat ada segolongan masyarakat yang mungkin tidak faham kenapa keputusan pemansuhan itu dibuat.
“Sebenarnya tujuan kita membuat keputusan itu (pemansuhan PPSMI) adalah usaha kita memperbaiki tujuan asal PPSMI itu sendiri iaitu penguasaan ilmu dengan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh, Yang Dipertua Persatuan Pengelola Sekolah-Sekolah Malaysia, Hussein Mustaffa dan pengelola sekolah dari seluruh negara.
No comments:
Post a Comment