Monday, July 13, 2009

Terjemahan: Peranan DBP, ITNM diperkukuh

KUALA LUMPUR 11 Julai - Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta tanggungjawab Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) akan ditingkatkan bagi mempercepatkan terjemahan dan penerbitan mengenai sains, teknologi dan matematik ke bahasa Melayu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses terjemahan tersebut akan memperluaskan lagi perbendaharaan kata bahasa Melayu dalam bidang terbabit.

Menurutnya, antara penerbitan mengenai sains, teknologi dan matematik yang akan diterjemah ialah penulisan serta buku-buku yang menjadi bahan rujukan.

"Ini langkah susulan bagi memperkukuh pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menjelang 2012 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

"Ia salah satu daripada perkara yang akan diberi tumpuan. Tentulah ia melibatkan belanjawan dan bajet yang lebih besar. Dalam Kabinet pun ada diputuskan supaya perkara ini (terjemahan) diberi tumpuan," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan gagasan 1Malaysia peringkat Kementerian Pelajaran di Stadium Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Majlis itu disertai lebih 3,000 pelajar sekolah menengah dan rendah dari sekitar ibu negara dan Selangor.

Antara acara yang diadakan ialah sesi senam seni 1Malaysia, segmen budaya 1Malaysia melibatkan paluan gendang Cina 24 musim serta tarian budaya 1Malaysia.

Mengulas mengenai majlis itu, Muhyiddin menjelaskan, pelancaran gagasan 1Malaysia peringkat kementerian merupakan program penting yang akan dilaksanakan di seluruh negara dan akan melibatkan semua pelajar sekolah.

"Ia bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai konsep 1Malaysia yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pastinya kita mahu anak-anak di sekolah bukan setakat memahami tetapi juga menghayati betapa pentingnya semangat perpaduan yang erat antara pelbagai bangsa dan kaum di negara ini," tambah beliau.

Jelas Muhyiddin, program yang diatur oleh kementeriannya lebih berbentuk kokurikulum seperti yang berlangsung pada hari ini yang mana pelbagai aktiviti berasaskan seni, kebudayaan dan kegiatan kokurikulum di sekolah disatukan.

"Saya harap dengan inisiatif ini hubungan antara kaum yang diasaskan di sekolah akan sentiasa menjadi pegangan dan keutamaan masyarakat," katanya.


No comments:

Post a Comment