Thursday, July 9, 2009

Tokoh akademik mahu PPSMI dimansuhkan segera

TANJUNG MALIM 8 Julai - Tokoh akademik mendesak kerajaan supaya memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dengan segera dan bukannya menunggu sehingga 2012.

Pemegang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, dasar itu perlu dimansuhkan dengan segera kerana PPSMI terbukti satu kesilapan.

'''Kenapa hendak tunggu sehingga 2012 baru nak dimansuhkan. Sesuatu dasar yang silap perlu ditamatkan dengan segera.

''Tidak timbul soal penganiayaan kepada pelajar dan guru yang telah melalui proses pembelajaran dan pengajaran dalam PPSMI kerana ilmu itu adalah kelebihan bagi mereka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas seminar Integrasi Nasional di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI selepas tujuh tahun dasar itu dilaksanakan sehingga menimbul pelbagai polimik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing.

Tambah Zainal, pelajar dan guru yang telah mengikuti PPSMI tidak akan menghadapi sebarang masalah jika keputusan memansuhkan dasar itu dilaksanakan serta-merta.

Tegas beliau, langkah kerajaan melambatkan tempoh memansuhkan PPSMI hanya akan merendahkan lagi nilai ekonomi bahasa Melayu.

Turut bersetuju dengan desakan itu ialah Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin.

Katanya, pelaksanaan dasar PPSMI adalah satu kesilapan besar kerajaan kerana membuat keputusan tanpa menimbang pandangan rakyat terlebih dahulu.

''Ini adalah pengajaran kepada kerajaan supaya tidak meminggirkan rakyat dalam membuat keputusan berhubung sesuatu dasar pada masa hadapan.

''Apatah lagi PPSMI mempunyai kaitan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Namun, saya tetap memuji kerajaan kerana berani mengakui kesilapan lalu," jelasnya.

Menurut Shamsul, langkah menguatkuasakan PPSMI dalam tempoh tiga tahun lagi adalah sesuatu yang merugikan pelajar Melayu terutamanya di kawasan luar bandar.]


12 langkah mantapkan bahasa Inggeris

PUTRAJAYA 8 Julai - Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan 12 langkah untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

Ia diluluskan Kabinet hari ini selaras dengan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikut langkah-langkah tersebut:

- Menambah seramai 13,933 guru Bahasa Inggeris (BI) termasuk 1,000 dari luar negara, 600 guru bersara dan 12,333 guru tambahan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

- Menyediakan guru penolong BI gred DG41 bagi kelas besar melebihi 35 murid dalam tahun satu dan dua untuk meningkatkan masa perhubungan guru dan murid.

- Menambah waktu BI bagi sekolah kebangsaan (SK) tahap satu sebanyak 90 minit kepada 330 minit seminggu manakala tahap dua daripada 210 minit kepada 300 minit seminggu.

- Waktu BI bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) tahap satu pula ditambah daripada 60 minit kepada 120 minit seminggu manakala tahap dua ditambah daripada 90 minit kepada 120 minit seminggu.

- Menambah waktu BI bagi tingkatan satu hingga lima daripada 200 minit kepada 280 minit seminggu.

- Peruntukan waktu BI bagi Malaysian University English Test (MUET) tingkatan enam ditambah daripada 320 minit kepada 400 minit seminggu.

- Waktu BI bagi matrikulasi ditambah 100 peratus iaitu daripada tiga jam kepada enam jam seminggu.

- Program Sastera Kontemporari bahasa Inggeris Kanak-Kanak diperkenalkan kepada semua murid sekolah rendah tahap dua untuk mengukuhkan minat membaca dan memperkenalkan unsur-unsur sastera.

- Mewujudkan makmal bahasa Inggeris di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa itu dengan berkesan.

- Teknologi maklumat dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran BI melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.

- Pelajaran tatabahasa Inggeris diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI.

- Menyerapkan elemen sains dan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran BI untuk mendedahkan murid dengan istilah berkaitan dalam bahasa Inggeris.


Transformasi kurikulum B. Malaysia

PUTRAJAYA 8 Julai - Berikutan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Kementerian Pelajaran akan mula melaksanakan transformasi kurikulum Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia akan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik.

"Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.

"Pada masa sama, pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum Bahasa Malaysia sekolah rendah," kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, di peringkat sekolah menengah pula, transformasi kurikulum Bahasa Malaysia akan memberi penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu.

Selain itu katanya, ia juga memberi penekanan kepada soal memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.

Kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, percaya dengan pendekatan baru itu negara akan dapat memartabatkan Bahasa Malaysia, memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dan meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai ilmu sains dan teknologi yang amat penting demi masa depan negara.


Keputusan tepat - Ungku Aziz

KUALA LUMPUR 8 Julai - Langkah kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah satu keputusan yang amat tepat dan mampu memuaskan hati semua pihak di negara ini.

Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid berkata, sepatutnya tidak ada lagi mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang telah kerajaan lakukan itu kerana ia mengambil kira kepentingan negara dan kemahuan majoriti rakyat.

Katanya, langkah itu memperlihatkan bahawa kedudukan dan martabat bahasa Melayu sudah dikembalikan ke tempatnya yang wajar.

''Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membuat kenyataan yang hampir boleh memuaskan hati semua pihak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Keputusan memansuhkan PPSMI diambil oleh kerajaan selepas kajian mendalam mendapati keputusan pelajar dalam subjek Sains dan Matematik memperlihatkan penurunan sejak beberapa tahun ini.

Dasar PPSMI diperkenalkan pada tahun 2003 dan mendapat penentangan dari pelbagai pihak.

Tambah Ungku Aziz, pemansuhan dasar PPSMI adalah sesuatu yang sangat baik bagi perkembangan bahasa Melayu di negara ini.

Beliau berharap, kerajaan selepas ini akan memberikan penumpuan yang lebih meluas terhadap aspek memperkukuhkan pengunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan di negara ini.

''Perpaduan adalah asas kepada segala-galanya, tanpa perpaduan tidak ada apa pun yang boleh dicapai di negara ini," katanya.

Jelas beliau, pengukuhan bahasa Melayu itu hendaklah merangkumi aspek-aspek seperti memastikan penggunaan bahasa itu dilakukan dengan nahu dan tatabahasa yang tepat.

Beliau juga menyarankan kepada masyarakat agar bahasa Inggeris tidak dilupakan terus tetapi turut diberikan perhatian yang sewajarnya.

Penggunaan bahasa mudah difahami bantu proses pembelajaran

PERANCIS, Jepun dan China antara negara yang begitu bangga dengan bahasa kebangsaan masing-masing. Ia menjadi prasyarat penting dalam apa juga urusan yang membabitkan kepentingan negara sama ada dalam bidang perdagangan, perindustrian, bisnes, pendidikan sosial dan sebagainya, malah ia adalah bahasa komunikasi terpenting di negara-negara berkenaan. Pelajar asing juga wajib mempelajari bahasa mereka jika mahu mencari ilmu dalam sistem pendidikan negara berkenaan. Namun, mereka tidak memandang ringan kepentingan bahasa lain, khasnya Inggeris kerana sedar ia adalah bahasa komunikasi penting dunia dan bahasa ilmu. Di Malaysia, apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mula dikuatkuasakan di sekolah pada sesi 2003, ia menimbulkan banyak reaksi. Matlamat kerajaan ialah untuk meningkatkan penguasaan bahasa asing itu dalam kedua-dua subjek penting terbabit. Secara keseluruhannya, kajian mendapati bahasa Malaysia lebih relevan dijadikan bahasa penghantar untuk kedua-dua mata pelajaran berkenaan. Banyak kelemahan, termasuk kekurangan guru yang mahir berbahasa Inggeris untuk menjayakan PPSMI yang memaksa ia dikaji semula. Selepas enam tahun, PPSMI gagal menunjukkan kejayaan, khasnya pencapaian murid dan pelajar di luar bandar.

Paling nyata, pelaksanaan PPSMI menjejaskan prestasi pelajar, terutama apabila mereka berada di Tingkatan Dua yang menjadi sampel kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat. Berdasarkan kajian 59 negara itu, menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot. Hakikatnya ialah menggunakan bahasa yang mudah difahami adalah penting dalam proses menguasai sesuatu ilmu kerana kemahiran kognitif (berfikir) setiap individu bergantung kepada kefasihan serta kefahaman mereka dalam bahasa. Oleh itu, kita mengalu-alukan keputusan Kabinet semalam untuk mengembalikan penggunaan bahasa Malaysia dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik yang dilihat sebagai keputusan adil kepada semua, bukan saja murid luar bandar dan pedalaman, malah murid yang bahasa pertuturan mereka bukan bahasa Inggeris. Kita yakin kerajaan membuat keputusan drastik itu bukan semata-mata atas desakan pejuang bahasa, sebaliknya selepas meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan berhubung PPSMI, sama ada yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran atau badan bebas sejak dasar itu diperkenalkan. Kita juga menyambut baik langkah kerajaan yang turut memutuskan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris pada semua peringkat persekolahan dimantapkan lagi. Ini bermakna instrumen serampang dua mata itu menepati matlamat memperkasakan sistem pendidikan negara, sekali gus memastikan kepentingan pelajar sentiasa diberi keutamaan melebihi desakan politik dan pihak tertentu.

Penggunaan bahasa mudah difahami bantu proses pembelajaran

PERANCIS, Jepun dan China antara negara yang begitu bangga dengan bahasa kebangsaan masing-masing. Ia menjadi prasyarat penting dalam apa juga urusan yang membabitkan kepentingan negara sama ada dalam bidang perdagangan, perindustrian, bisnes, pendidikan sosial dan sebagainya, malah ia adalah bahasa komunikasi terpenting di negara-negara berkenaan. Pelajar asing juga wajib mempelajari bahasa mereka jika mahu mencari ilmu dalam sistem pendidikan negara berkenaan. Namun, mereka tidak memandang ringan kepentingan bahasa lain, khasnya Inggeris kerana sedar ia adalah bahasa komunikasi penting dunia dan bahasa ilmu. Di Malaysia, apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mula dikuatkuasakan di sekolah pada sesi 2003, ia menimbulkan banyak reaksi. Matlamat kerajaan ialah untuk meningkatkan penguasaan bahasa asing itu dalam kedua-dua subjek penting terbabit. Secara keseluruhannya, kajian mendapati bahasa Malaysia lebih relevan dijadikan bahasa penghantar untuk kedua-dua mata pelajaran berkenaan. Banyak kelemahan, termasuk kekurangan guru yang mahir berbahasa Inggeris untuk menjayakan PPSMI yang memaksa ia dikaji semula. Selepas enam tahun, PPSMI gagal menunjukkan kejayaan, khasnya pencapaian murid dan pelajar di luar bandar.

Paling nyata, pelaksanaan PPSMI menjejaskan prestasi pelajar, terutama apabila mereka berada di Tingkatan Dua yang menjadi sampel kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat. Berdasarkan kajian 59 negara itu, menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot. Hakikatnya ialah menggunakan bahasa yang mudah difahami adalah penting dalam proses menguasai sesuatu ilmu kerana kemahiran kognitif (berfikir) setiap individu bergantung kepada kefasihan serta kefahaman mereka dalam bahasa. Oleh itu, kita mengalu-alukan keputusan Kabinet semalam untuk mengembalikan penggunaan bahasa Malaysia dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik yang dilihat sebagai keputusan adil kepada semua, bukan saja murid luar bandar dan pedalaman, malah murid yang bahasa pertuturan mereka bukan bahasa Inggeris. Kita yakin kerajaan membuat keputusan drastik itu bukan semata-mata atas desakan pejuang bahasa, sebaliknya selepas meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan berhubung PPSMI, sama ada yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran atau badan bebas sejak dasar itu diperkenalkan. Kita juga menyambut baik langkah kerajaan yang turut memutuskan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris pada semua peringkat persekolahan dimantapkan lagi. Ini bermakna instrumen serampang dua mata itu menepati matlamat memperkasakan sistem pendidikan negara, sekali gus memastikan kepentingan pelajar sentiasa diberi keutamaan melebihi desakan politik dan pihak tertentu.

Pemansuhan PPSMI kembalikan kebudayaan Melayu

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com,my

Peredaran masa, usia pupuk minat serta kesungguhan pelajar dalam kuasai apa jua bahasa

RAMAI anak Melayu, Cina dan India berjaya dalam hidup, walaupun sebelum ini mereka mendapat pendidikan dengan pengantar bahasa Melayu, termasuk bagi subjek Sains dan Matematik. Bagi mereka, asalkan ada minat dan kesungguhan, tiada masalah untuk memahirkan diri menggunakan bahasa antarabangsa itu.

Oleh itu, mereka berpendapat peredaran masa dan usia akan menyebabkan pelajar itu sendiri semakin matang dalam penguasaan apa juga bahasa termasuk bahasa asing seperti Inggeris atau Perancis.


Terbukti ramai kalangan teknokrat, ahli akademik, usahawan, peguam, doktor dan banyak lagi yang berjaya dalam pendidikan serta kerjaya masing-masing meskipun bermula daripada pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya dalam bahasa Malaysia pada peringkat awal persekolahan.

Apabila kerajaan mula melaksanakan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada sesi persekolahan 2003, pelbagai reaksi timbul. Malah kajian demi kajian dilakukan, yang akhirnya lebih banyak menjurus kepada keperluan penggunaan bahasa Malaysia untuk mengajar dua subjek berkenaan.

Ada yang berpendapat biar sistem pendidikan memantapkan lagi pengajian subjek bahasa Inggeris itu sendiri dan subjek Sains dan Matematik kembali diajar dalam bahasa Malaysia. Berdasarkan hasil kajian, menggunakan bahasa yang mudah difahami adalah penting dalam proses menguasai sesuatu ilmu kerana kemahiran berfikir setiap pelajar bergantung kepada kefasihan serta kefahaman mereka dalam bahasa.

Keputusan Kabinet semalam untuk mengembalikan penggunaan bahasa Malaysia dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dilihat sebagai keputusan bijak serta berpandangan jauh, di samping penekanan terus diberi untuk memantapkan bahasa Inggeris.

Dengan itu juga, polemik mengenai PPSMI bagi sekolah kebangsaan dan menengah yang diperdebatkan sejak pelaksanaannya pada 2003, berakhir dengan keputusan jemaah menteri itu. Sesungguhnya keputusan itu dapat mengembalikan semula identiti bangsa, semangat patriotik dan kebudayaan Melayu sebagai bahasa ilmu serta memperkasakan modal insan pelajar.

Malah ia melegakan banyak pihak khususnya, pejuang bahasa Malaysia, ahli akademik, guru, dan ibu bapa yang percaya bahasa Malaysia mampu membentuk jati diri anak bangsa dan pada masa sama, bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa masih mampu dikuasai apabila tiba masanya.

Ramai cendekiawan dan pakar dalam pelbagai bidang di negara ini yang mendapat pendidikan aliran Melayu sejak daripada awal dan berada dalam persekitaran Melayu mampu menjadi insan cemerlang dalam bidang masing-masing serta menguasai bahasa Inggeris.

Seorang daripadanya ialah Prof Madya Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Sahandri Ghani Hamzah, yang berpendapat peredaran masa dan usia akan menyebabkan pelajar semakin matang dalam penguasaan apa juga bahasa, termasuk bahasa Inggeris.

Katanya, secara automatik mereka dapat menguasai bahasa Inggeris apabila mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sama ada pada peringkat kolej atau universiti.

Beliau berkata, kekuatan dan kecemerlangan seseorang pelajar, khususnya pada peringkat sekolah rendah dan menengah dapat dicapai jika mereka belajar dalam bahasa ibunda.

Katanya, pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sudah wujud kandungan yang kuat dan perjalanan pembelajaran boleh merentasi kurikulum itu sendiri yang akhirnya menjadikan murid mampu menguasai bahasa lain, termasuk Inggeris.

PPSMI dianggap gagal kerana ramai tidak memahami bahasa Inggeris dengan baik khususnya di luar bandar seperti kampung tradisional, Felda, Pulau dan Orang Asli serta murid di bandar yang tidak terdedah kepada bahasa Inggeris.

"Peringkat awal adalah masa untuk penerimaan, penguasaan dan kemahiran sesuatu bahasa. Jika pelajar tidak faham, ia akan menyebabkan mereka hilang minat untuk belajar.

"Kemahiran menguasai bahasa Inggeris sama ada menulis, membaca atau berkomunikasi masih dapat dicapai apabila pelajar meningkat usia dan tahap persekolahannya," katanya yang terdedah kepada aliran sekolah Melayu sejak awal persekolahan, tetapi masih dapat menguasai dengan baik bahasa Inggeris selepas memasuki universiti.

Sementara itu, Pegawai Penyelidikan dan Inovasi Kementerian Pengajian Tinggi, Saifuddin Kumar Abdullah mengakui pendedahan awal pendidikan di sekolah rendah dan menengah dalam aliran Melayu tidak akan menghalang seseorang untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Katanya, minat, pendedahan dan persekitaran adalah faktor penting yang membolehkan seseorang itu menguasai sesuatu bahasa dengan baik, termasuk bahasa Inggeris.

"Saya yang menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa percakapan setiap hari serta belajar di aliran sekolah Melayu di Jitra, Kedah, sejak di sekolah rendah dan menengah, masih mampu bercakap bahasa Inggeris kerana ada minat untuk mendalami bahasa itu.

"Malah saya adalah pelajar pertama bukan Bumiputera yang mengambil Diploma Pengajian Melayu di Maktab Perguruan Kinta dan Pengajian Bimbingan dan Kaunseling di UPM dan hasilnya, saya menjadi pelajar cemerlang dalam kedua-dua kursus berkenaan.

"Walaupun keseluruhan pendidikan saya dalam aliran Melayu, saya juga mampu menjadi pelajar cemerlang dengan mendapat Kepujian Kelas Dua Atas ketika mengambil ijazah Pendidikan Bahasa Inggeris di Universiti Malaya (UM)," katanya.

Justeru, katanya, tiada alasan atau pertikaian perlu diperdebatkan kononnya pelaksanaan PPSMI dalam bahasa Inggeris akan meningkatkan kefahaman pelajar dalam bahasa itu.

Dalam konteks ini, Saifuddin berkata, kajian berkaitan PPSMI juga menunjukkan ramai pelajar yang gagal serta prestasi menurun dengan drastik apabila mereka terpaksa mengikuti PPSMI dalam bahasa Inggeris dan menunjukkan ia tidak sesuai dilaksanakan.

Sebenarnya, di situ adalah petunjuk Malaysia belum bersedia dan ramai masih tidak dapat menerima pelaksanaan itu.

"Masih banyak kelemahan perlu diperbaiki kerana ramai guru dan murid sendiri tidak mahir bahasa Inggeris.

"Jika ia terus dilaksanakan, pasti akan merugikan mereka. Sudah tiba masanya kita berhenti menuding jari menyalahi pihak lain berkaitan isu ini, sebaliknya perlu perbetulkan sebarang kelemahan supaya tidak semakin parah dalam melahirkan pelajar cemerlang," katanya.

Pakar Bedah Hospital Pakar Johor, Dr Mohamad Ismail Ali, yang dilahirkan sebagai anak Felda dan persekitaran Melayu dan bersekolah rendah dan menengah di aliran Cina iaitu di SJKC Chung Ching, Raub, Pahang pula, mendapati memang agak sukar dan janggal berbahasa Inggeris apabila dapat diterima masuk di Methodist Boys School, Kuala Lumpur.

Namun, katanya, persekitaran Methodist yang mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, akhirnya beliau dapat menguasai bahasa itu dengan baik dalam tempoh tiga bulan selepas membiasakan diri bercakap, membaca dan mengikut tuisyen dalam bahasa Inggeris.

"Saya fikir jika pada peringkat sekolah rendah dan menengah tidak mahir bahasa Inggeris, ia tidak bererti akan menyebabkan kita kecundang dan gagal dalam hidup. Ia akan dapat diperbaiki apabila mereka mengikuti pengajian lebih tinggi," katanya yang berasal dari Felda Mempaga 1, Bentong, Pahang yang kemudian melanjutkan pengajian dalam jurusan Perubatan di UM; Kepakaran Pembedahan di UM (Sarjana); Kepakaran Usus (Kolej School of Medical, London).


Bapa pelajar pukul guru disiplin guna batang paip

SEMPORNA: Guru disiplin sebuah sekolah menengah di sini, mendakwa cedera ditumbuk dan dipukul dengan batang paip oleh bapa seorang pelajar Tingkatan Tiga, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, bapa pelajar itu dikatakan datang ke sekolah ditemani seorang lelaki dipercayai datuk pelajar berkenaan untuk menemui mencari guru disiplin terbabit.

Sebaik ditemui, suspek dikatakan terus menumbuk dan memukul mangsa sebelum seorang guru lain datang meleraikan pergaduhan.


Bapa pelajar itu kemudiannya menjerit memanggil anaknya yang berada di blok bersebelahan dan membawanya pulang tanpa memaklumkan kepada pihak sekolah.

Difahamkan, kejadian berpunca akibat daripada rasa tidak puas hati bapa pelajar itu selepas anaknya dikenakan tindakan displin oleh guru terbabit, minggu lalu.

Sumber sekolah itu berkata, pelajar berkenaan pernah dikenakan tindakan disiplin sebelum kejadian itu.

Mangsa dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan akibat pendarahan teruk di kepala sebelum dibenarkan pulang.

Beliau turut membuat laporan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Jurucakap IPD itu berkata, suspek berumur 30-an sudah ditahan untuk membantu siasatan.


Pemimpin pelajar IPTA sokong mansuh PPSMI

PERTUBUHAN berkaitan pendidikan dan pemimpin pelajar universiti awam tempatan menyatakan sokongan kepada langkah memansuhkan PPSMI dan kembali kepada penggunaan bahasa Malaysia.

Mereka menyifatkan keputusan itu akan memartabatkan bahasa Malaysia dan diletakkan pada tahap sepatutnya, manakala penguasaan bahasa Inggeris dimantapkan sebagai bekalan untuk rakyat lebih maju.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyarankan usaha lebih agresif dilaksanakan bagi memastikan perubahan dasar itu mencapai matlamat termasuk menyediakan bajet besar serta memastikan pihak berkaitan menjalankan peranan dengan penuh komitmen.

Presidennya, Datuk Reezal Merican Naina Merican, berkata Institut Terjemahan Negara antara agensi yang perlu memperkasa fungsinya terutama dalam penyediaan bahan rujukan mencukupi dan terkini bagi menyokong pelaksanaan strategi baru itu.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata walaupun sebelum ini kesatuan lantang menyokong PPSMI, pihaknya akur dengan ketetapan kerajaan.

"Kami akur tetapi meminta penguasaan bahasa Inggeris terus diberi tumpuan termasuk dengan membawa semula guru lama untuk kembali berkhidmat bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar dalam subjek berkenaan," katanya.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Mohamad Ridzuan Mohamad berkata, ia kerana dasar itu sangat terasa di luar bandar dengan kebanyakan pelajar tidak dapat menguasai dua mata pelajaran itu kerana diajar dalam bahasa Inggeris.

"Kita tidak nampak permasalahan ini pada peringkat pengajian tinggi kerana pelajar berjaya melangkah ke menara gading adalah mereka yang terpilih.

"Jika dikekalkan ia akan menyebabkan bilangan pelajar dari pedalaman yang tidak begitu baik dalam Matematik dan Sains berkurangan seterusnya peluang ke universiti menjadi semakin kecil," katanya.

YDP Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Muhammad Sofiyussalam Mohamad Johari, berkata selepas PPSMI dilaksanakan prestasi dua mata pelajaran itu kurang memberangsangkan terutama di luar bandar.

"Pencapaian mereka terjejas dan adalah lebih baik jika dimansuhkan. Namun, satu mekanisme untuk pengukuhan bahasa Inggeris perlu difikirkan termasuk memberi galakan kepada pelajar menyertai program berteraskan bahasa kedua itu di luar kelas.

"Pendekatan menarik seperti penggunaan teknologi terkini seperti internet dan video yang lebih bersifat interaktif perlu untuk menarik minat belajar bahasa Inggeris.

YDP MPP Universiti Putra Malaysia, Mohd Syamsul Salleh, berkata PPSMI baik untuk penguasaan dua mata pelajaran itu sebagai bahasa ilmu antarabangsa, namun pemansuhan dasar itu tidak mendatangkan banyak masalah kepada mereka yang akan masuk ke IPT jika negara ini mempunyai sistem pengajaran dan pembelajaran yang baik untuk membangunkan pembelajaran bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohamad Nasir Mohamed Nazri sedih dengan keputusan itu kerana percaya ramai pelajar sekolah setuju jika PPSMI diteruskan.

"Tanyalah bekas pelajar sekolah seperti saya yang cemburu apabila pelajar kini lebih terdedah dengan bahasa Inggeris. Pejuang bahasa kebangsaan perlu membuktikan dengan nyata (hasil mansuhkan PPSMI) selepas kerajaan memenuhi permintaan mereka," katanya.

Pembangkang puji langkah

PEMIMPIN pembangkang memuji langkah kerajaan menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada usaha memartabatkan bahasa Malaysia dan memantapkan bahasa Inggeris.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, berkata langkah itu sesuatu yang ditunggu semua lapisan masyarakat.

"Ia menunjukkan kerajaan peka terhadap tuntutan rakyat termasuk pejuang bahasa supaya dua subjek itu diajar dalam bahasa Melayu semula," katanya.

Beliau berkata, langkah itu bukan bermakna bahasa Inggeris tidak penting kerana pembelajaran bahasa itu perlu dipertingkatkan dengan kaedah tertentu.

Katanya, PPSMI terbukti gagal kerana tidak dapat mengembangkan bahasa Inggeris dan gagal meningkatkan pengetahuan dalam pembelajaran Sains dan Matematik.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, berkata partinya bersyukur dengan keputusan itu kerana murid menghadapi kesukaran belajar dalam bahasa Inggeris dan dasar itu dilihat seperti tergesa-gesa ketika dilaksanakan.

"Kerajaan perlu peka kehendak rakyat sebelum sesuatu dasar itu diumumkan," katanya.

Bagaimanapun, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata beliau terperanjat dengan keputusan Kabinet yang hanya memansuhkan PPSMI pada 2012.

Katanya, beliau hairan mengapa PPSMI diteruskan lagi dalam tempoh tiga tahun sedangkan kerajaan mendakwa dasar itu tidak begitu berjaya selepas enam tahun dilaksanakan.

Beliau berpendapat keputusan itu bukan penyelesaian mengatasi pelbagai isu berbangkit berhubung dasar PPSMI.

"Kerajaan perlu membuat keputusan berani, fleksibel dan ada pendekatan baru jika mahu meningkatkan kemampuan pelajar dalam subjek Matematik dan Sains supaya masa depan mereka tidak tergadai," katanya.

Lim juga berkata, masalah PPSMI di sekolah aliran Cina mungkin tidak begitu besar tetapi mungkin menjadi beban bagi sekolah aliran Tamil dan kebangsaan.

Strategi serampang dua mata mantapkan 2 bahasa

Gapena sedia beri tuisyen percuma kepada pelajar luar bandar

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memartabatkan bahasa Malaysia bagi menggantikan PPSMI dan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris pada semua peringkat persekolahan, disifatkan sebagai strategi serampang dua mata yang mewujudkan situasi menang-menang.

Pelbagai pihak termasuk pejuang bahasa, kesatuan guru serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) yang membantah pelaksanaan dasar itu, mengalu-alukan langkah bijak berkenaan dan lega isu yang berlarutan sejak 2003 diselesaikan.

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata instrumen serampang dua mata itu menepati matlamat memperkasakan sistem pendidikan negara, sekali gus mengutamakan kepentingan pelajar melebihi desakan politik dan pihak tertentu.

Beliau berkata, ia pasti menggembirakan sebahagian besar ibu bapa kerana penggunaan bahasa Melayu serta bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar memudahkan mereka membantu pembelajaran anak dalam dua subjek berkenaan.

"Ia kejayaan semua. Oleh itu, tidak timbul langsung soal pembaziran perbelanjaan yang sudah dikeluarkan selama ini, terutama latihan guru serta penyediaan kemudahan pengajaran dan pembelajaran.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad, menganggap keputusan itu memenuhi kehendak sebahagian besar rakyat pelbagai kaum.

"Ia keputusan bijak walaupun agak terlambat. Kami berharap mulai 2012, pelajar tidak lagi menjadi mangsa dasar yang salah.

"Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membuat keputusan yang diterima semua pihak. Beliau umpama doktor baru yang memberi ubat sebenar dan mujarab kepada penyakit," katanya.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, mengakui lega dengan keputusan itu kerana berpendapat pelaksanaan PPSMI adalah penghinaan kepada bahasa Melayu, selain mendewa-dewakan bahasa Inggeris.

"Bagaimanapun, saya agak terkilan kerana pemansuhan PPSMI tidak dilakukan serta-merta. Apa-apa pun boleh terjadi dalam tempoh tiga tahun lagi. Namun, saya memahami tindakan itu perlu supaya adil kepada pelajar yang sedang mengikuti PPSMI.

"Mengenai strategi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris, tumpuan dan usaha yang sama harus diberikan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan," katanya.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof Emeritus Tan Sri Ismail Hussein menyifatkannya sebagai langkah realistik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Sehubungan itu, beliau berikrar untuk bekerjasama membantu kerajaan memperkasakan bahasa Melayu dan pada masa sama tidak meminggirkan peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa.

"Namun, perjuangan Gapena tidak akan terhenti begitu saja selagi kerajaan tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di IPT," katanya.

Gapena juga bersedia memberi tuisyen percuma kepada pelajar di luar bandar bagi membolehkan mereka menguasai bahasa Inggeris.

Presiden Pertubuhan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Ong Chiaw Chuen menyifatkan ia sebagai langkah bertolak ansur selaras gagasan 1Malaysia.

"Semua rakyat tanpa mengira kaum gembira dengan keputusan kerajaan dan memberi peluang kepada kami menggunakan bahasa Melayu dan bahasa ibunda yang difahami bagi belajar subjek Sains dan Matematik.

"Ia menunjukkan kerajaan Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri) bertolak ansur dan boleh berunding dengan semua pihak. Ia melambangkan gagasan IMalaysia yang dilaungkannya sebelum ini," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT), M Muthiah turut gembira kerana membantu pelajar luar bandar terutama bagi meningkatkan pencapaian dalam subjek kritikal.

"Satu langkah yang bijak dan sebanyak 521 SJKT seluruh negara menyambut baik langkah kerajaan menggunakan semula bahasa ibunda berbanding bahasa Inggeris.

Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah Conforming, Phang Yoon Ming, bagaimanapun berpendapat dasar PPSMI harus dikekalkan pada peringkat sekolah menengah bagi membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.


Mahathir kecewa tetapi sokong tambah guru BI

Oleh Saufi Hamzah dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my


DR MAHATHIR mengadakan pertemuan dengan sukarelawan dari Free Gaza Movement, Huwaida Arraf (kiri) dan Ramzi Kysia.

Langkah ganti PPSMI jejas masa depan generasi muda

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) boleh menjejaskan masa depan generasi muda.

Beliau yang kecewa dengan keputusan itu bagaimanapun mengalu-alukan langkah Kementerian Pelajaran menambah bilangan guru bahasa Inggeris dalam usaha memantapkan lagi mata pelajaran berkenaan.

"Usaha menambah guru bahasa Inggeris itu baik dan kita perlu belanja wang yang cukup kerana pelajaran adalah penting bagi masa depan negara.

"Pada masa sama saya sedih kerana yang menjadi mangsa adalah masa depan anak kita dan keputusan ini menyukarkan mereka untuk belajar dan mengetahui perkembangan dalam bidang sains," katanya kepada media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini semalam.

Mengulas pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung PPSMI, Dr Mahathir berkata:

"Memang mereka ada menemui saya tetapi ia dibuat selepas kerajaan membuat keputusan.

"Sebenarnya, saya hanya menerima taklimat dan bukannya untuk mendapatkan pandangan ...selepas itu saya ada mengemukakan beberapa cadangan termasuk meminta kalau tidak boleh dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah, sekurang-kurangnya laksanakan pada peringkat sekolah menengah tetapi itu juga ditolak."

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau akan mengunjungi Cyprus pada 16 Julai ini untuk mengadakan pertemuan dengan sukarelawan dari Free Gaza Movement.

Katanya, kunjungan itu sebagai tanda sokongannya dan rakyat Malaysia terhadap usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu membantu mangsa kezaliman Israel di Gaza.


Keputusan PPSMI hasil perbincangan

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata semua pihak perlu sedar keputusan kerajaan berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukan proses yang mudah dan mustahil untuk memuaskan hati semua.

Bekas Menteri Pelajaran itu berkata, jika semua pihak melihat keputusan itu dalam konteks lebih luas berdasarkan kajian, fakta dan angka, mereka akan menganggap strategi baru memartabatkan bahasa Malaysia dan memantapkan bahasa Inggeris adalah wajar dalam konteks PPSMI.

"Jadi, saya berasa lega keputusan dibuat selepas enam tahun kumpulan pertama melalui PPSMI. Pendekatan yang kita buat pun bersandar kepada realiti yang berlaku," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasca Kabinet peringkat kementeriannya, semalam.

Hishammuddin berkata, beliau bersetuju dengan keputusan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi berpendapat banyak tugas perlu dilakukan, khususnya dalam konteks memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris.

Katanya, ia perlu mengambil kira aspek pembelajaran dan pengajaran, memastikan peralatan di bawah PPSMI disesuaikan dengan dasar baru itu dan kedudukan guru.

"Percayalah ia (keputusan) itu tidak bersandarkan kepada polemik pertimbangan politik, sebaliknya hasil kajian dan perbincangan yang bermula ketika saya Menteri Pelajaran dulu.

"Saya terbabit dalam perbincangan tadi (semalam) dan ucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri bahawa hujah dibentangkan kepada jemaah menteri adalah bersandarkan fakta dan angka yang saya sedia maklum," katanya.

Bukan soal untung politik

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencatat �posting� mereka dalam laman web www.myideas.my pada majlis ringkas pelancaran laman berkenaan di Pejabat Perdana Menteri, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Laman web dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bertemakan �1 Malaysia 1 Million Ideas� itu adalah satu platform khusus menyemai, memupuk dan menggalakkan budaya perkongsian idea, kreativiti dan inovasi di kalangan masyarakat sempena Tahun Kreativiti dan Inovasi Malaysia 2010.

Strategi ganti PPSMI utama masa depan pelajar: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Langkah kerajaan menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan strategi memartabatkan bahasa Malaysia dan memantapkan bahasa Inggeris mulai 2012 bukan untuk mendapatkan keuntungan politik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan mengutamakan masa depan pelajar berbanding keuntungan politik, termasuk pada pilihan raya kecil Manek Urai, Kelantan.

"Ini bukan (soal) politik... saya tidak mahu mendapatkan keuntungan politik. Ia bukan menjadi pertimbangan. Apalah Manek Urai berbanding) masa depan rakyat dan negara.


"Ini soal masa depan anak kita. Kita mengambil keputusan secara objektif bukan kerana politik, walaupun pembangkang kata kita putuskan kerana mereka (pembangkang)," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan membuat keputusan itu berdasarkan kajian empirikal dan saintifik serta sejajar kajian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang menunjukkan pelajar lebih mudah menguasai ilmu pada peringkat awal persekolahan dengan menggunakan bahasa ibunda.

Menjawab soalan, Muhyiddin berkata, PPSMI perlu diteruskan sehingga selesai pusingan enam tahunnya sebelum ditukar.

Beliau berkata, kerajaan menyedari kelemahannya lebih awal, tetapi tidak boleh menukarnya kerana ketika itu masih terlalu awal dan bagi mengelakkan kekeliruan.

"Kerajaan bertindak wajar... kita perlu menghabiskan pusingan (tempoh pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris) dan membuat keputusan yang betul," katanya.

Namun, Muhyiddin menolak andaian kononnya PPSMI yang dilaksanakan sejak 2003 itu satu kegagalan, sebaliknya hanya tidak mencapai matlamat yang disasarkan.

"Ia bukan kegagalan sepenuhnya (tetapi) proses yang perlahan untuk mencapai matlamat yang sepatutnya dicapai dan untuk bidang pendidikan ia tidak bagus," katanya.

Muhyiddin juga berkata, beliau bersama pegawai kanan kementerian berbincang lebih tiga jam dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung perkara itu kerana menghormati Dr Mahathir yang mengilhamkan PPSMI.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu, mereka menerangkan mengenai kesukaran untuk meneruskan PPSMI, masalah keupayaan guru dan murid menguasai bahasa Inggeris serta jurang pencapaian sekolah bandar dan luar bandar serta antara sekolah kebangsaan dan bukan kebangsaan.

"Dr Mahathir umumnya menerima hakikat ini," katanya.

Malah, katanya, beberapa idea Dr Mahathir digunakan dalam strategi baru itu seperti penggunaan komputer interaktif untuk meningkatkan penguasaan bahasa dan mewujudkan makmal bahasa.

Bakal guru pendidikan khas perlu perluas ilmu

KOTA BHARU: Bakal guru Pendidikan Khas negara ini, disaran mencontohi iltizam yang ditunjukkan rakan sejawat mereka di Thailand dalam usaha memastikan pelajar kurang upaya mendapat pendidikan sempurna.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata bakal guru Pendidikan Khas juga perlu melipatgandakan usaha memantapkan pengetahuan dan melengkapkan diri dengan ilmu.

"Saya pernah melawat Thailand tahun lalu, bagi meninjau beberapa buah sekolah pendidikan khas dan saya melihat mereka begitu komited dalam mendidik pelajar kurang upaya itu.

"Di rantau ini, Thailand berada di depan dalam penyediaan prasarana dan pendidikan bagi anak berkeperluan khas dan diajar dengan pelbagai kemahiran di sekolah masing-masing dan peluang itu disediakan sehingga ke peringkat universiti.

"Malah, ada sebuah universiti di Thailand, menyediakan kampus untuk golongan cacat penglihatan dan radio khusus untuk mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Pendidikan Khas 2009 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kota Bharu di sini semalam. Turut hadir Pengarah IPGM Kampus Kota Baharu, Hashim Deraman.

Seramai 286 guru pelatih sedang mengikuti Latihan Pendidikan Khas di kampus itu di bawah Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), pra-Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), unit PISMP dan selebihnya Program Guru Sandaran Tidak Terlatih (PGSTT).

Alimuddin berkata, ketika ini jumlah pelajar Pendidikan Khas negara ini berjumlah 35,159 orang berbanding 28,591 orang pada 2007 dan jelas menunjukkan betapa pentingnya usaha meningkatkan tahap pendidikan khas di negara ini.

"Peningkatan jumlah pelajar ini membayangkan ibu bapa kini mula mengambil berat terhadap sistem pendidikan anak-anak berkeperluan khas itu. Sehingga kini kementerian sudah melaksanakan pelbagai aktiviti untuk menjaja pendidikan khas yang lebih sempurna sama ada di peringkat kementerian itu, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mahupun IPGM.

"Antaranya, melaksanakan program outreach di kawasan pedalaman, dan program ini menepati teras empat dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu merapatkan jurang pendidikan.

"Contohnya, program itu yang pernah diadakan di Sabah pada 20 hingga 25 April lalu berjaya dan merupakan usaha berkesan dalam mengesan murid-murid yang tidak dapat menguasai 2M iaitu membaca dan menulis sebelum menempatkan mereka di kelas yang bersesuaian," katanya.


Strategi martabat bahasa Malaysia

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my


MUHYIDDIN menunjukkan laporan strategi memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Sains, Matematik kembali diajar dalam BM pada 2012

PUTRAJAYA: Kabinet semalam meluluskan strategi baru untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Ini selaras dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia, berkuat kuasa pada 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil pula dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Pada sidang medianya di sini, beliau yang juga Menteri Pelajaran, bagaimanapun berkata penguasaan bahasa Inggeris akan terus ditingkatkan dengan me-nambah baik pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan.


Pada 2003, kerajaan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), tetapi mendapat bantahan pelbagai pihak terutama pejuang bahasa yang mahu dasar itu dikaji semula.

Muhyiddin menjelaskan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia akan bermula secara bertahap bagi Tahun Satu dan Empat di sekolah rendah serta Tingkatan Satu dan Empat di sekolah menengah pada 2012, tetapi tidak membabitkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi.

"Untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan pembelajaran untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014," katanya.

Sambil menolak andaian keputusan itu dibuat akibat tekanan mana-mana pihak, Muhyiddin menegaskan:

"Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan.

"Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, iaitu guru mengajar subjek Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris."

Pemantauan kementerian pada 2008, katanya, mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Selain pemantauan kementerian, Laporan Trends in Mathematics and Sciences Study 2007 juga menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam subjek Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke-21 pada 2007.

Bagi subjek Matematik pula, laporan sama menyatakan kedudukan murid Malaysia merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 kepada ke-20 pada 2007.

Kajian universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah di tahap nominal, iaitu tidak melebihi tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI yang bermula sejak 2003.

"Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid, iaitu Melayu di sekolah kebangsaan dan menengah dan bahasa Cina dan Tamil di SJK Cina dan Tamil," katanya.

Mengenai langkah untuk memartabatkan bahasa Malaysia, beliau berkata, kementerian akan melaksanakan transformasi kurikulum bahasa itu di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada asas kemahiran berbahasa menerusi pendekatan modular bersepadu meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.

"Pada peringkat sekolah menengah, transformasi kurikulum bahasa Malaysia akan memberikan penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu di samping memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca membaca, menulis, penguasaan tatabahasa dan seni bahasa," katanya.

INFO: Kelemahan PPSMI

  • Peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi subjek Sains dan Matematik.

  • Hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada 2008 mencapai tahap profisiensi.

  • Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus sekolah luar bandar.

  • Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR 2008 untuk subjek Matematik bagi murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus, luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

  • Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam subjek Sains dan Matematik semakin melebar.
  • Wednesday, July 8, 2009

    50 SJK Cina tanpa pelajar dipindah

    NILAI 7 Julai – Sebahagian daripada 75 buah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina di seluruh negara yang kekurangan pelajar telah berpindah ke lokasi lebih strategik supaya pendidikan aliran berkenaan dapat terus dipertahankan.

    Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, langkah berkenaan dilaksanakan sejak tahun 2000 dengan 50 buah sekolah telah berpindah.

    Kata beliau, tindakan memindahkan sekolah yang ‘lesu’ itu perlu supaya tidak berlaku pembaziran sekali gus dapat memberi nafas kepada pengurusan sekolah untuk menjadi lebih bertenaga.

    ‘‘Proses perpindahan sekolah ke lokasi baru itu dijalankan berdasarkan beberapa faktor seperti kepadatan penduduk, jumlah permintaan pelajar, lokasi yang strategik dan faktor kemudahan persekitaran,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan bangunan dan kunci SJK (C) Bukit Kledek, Putra Nilai di sini hari ini.

    Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa MCA Negeri Sembilan, Datuk Dr. Yeow Chai Thiam dan Ketua Pegawai Eksekutif PK Resources Berhad, Tan Sri Dr. Gan Kong Seng.

    Dalam perkembangan lain, Ka Siong memberitahu, beliau mengalu-alukan usaha projek perpindahan SJK (C) Bukit Kledek yang merupakan ihsan PK Resources Berhad.

    ‘‘Projek pembinaan dan kawasan tapak sekolah yang mempunyai keluasan 2.4 hektar ini telah didermakan oleh Tan Sri Dr. Gan Kong Seng sendiri,” katanya.


    304,000 Berita Harian, NST di 400 sekolah luar bandar

    Oleh Junita Mat Rasid
    junita@bharian.com.my


    Muhyiddin melancarkan Projek Gerak Bakti UPSR sambil diperhatikan dari kiri Razali, Khairy, Abdul Ghani dan Dusuki di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, semalam.

    16,000 murid dapat manfaat bahan bacaan tambahan

    MUAR: Sebanyak 304,000 akhbar Berita Harian dan News Straits Times (NST) berserta sisipan Didik akan dibekalkan kepada kira-kira 400 sekolah luar bandar dan pedalaman di seluruh negara sebagai bahan bacaan serta rujukan tambahan murid.

    Projek Gerak Bakti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) itu adalah tajaan AmanahRaya dengan kos keseluruhan lebih RM500,000.

    Lebih 16,000 murid sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil akan mendapat manfaat daripada projek berkenaan.

    Pelancaran projek itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di Kompleks Seri Pekembar Pagoh, di sini, semalam.


    Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Pengerusi Kumpulan AmanahRaya, Datuk Dusuki Ahmad; Pengerusi Yayasan Gerak Bakti Kebangsaan, Khairy Jamaluddi; dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

    Muhyiddin dalam ucapannya berkata, langkah AmanahRaya membekalkan akhbar bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris ke sekolah luar bandar itu menunjukkan sikap prihatin organisasi korporat untuk berganding bahu dengan kementerian bagi memperkasa generasi muda.

    Beliau berharap murid sekolah menggunakan sepenuhnya bahan bacaan itu dan memberikan tumpuan 100 peratus penguasaan pelajaran yang diambil dalam UPSR, sekali gus mencatatkan keputusan cemerlang.

    Sementara itu, ketika mengulas kejadian sebuah jeti dan kawasan tebing di tebing Sungai Muar, dekat pekan Panchor di sini, yang siap dibina awal tahun lalu dengan kos kira-kira RM1.3 juta, runtuh pada petang Ahad lalu, Muhyiddin berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta menangani masalah itu segera.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kajian perlu dilakukan sama ada tanah di kawasan itu tidak stabil atau berada di laluan hakisan air yang kuat.

    Muhyiddin berkata, sebelum ini sudah ada kajian untuk memperkukuhkan tebing di sepanjang Sungai Muar termasuk di kawasan Kundang Ulu, Gersik, Panchor dan kampung yang berada berhampiran sungai.

    Ketika berucap pada Program Ramah Mesra Warga Felda Lenga dan Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR), di Felda Lenga, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak meminggirkan generasi kedua Felda bagi memastikan kesinambungan usaha pembangunan di kawasan tanah rancangan dapat dilaksanakan secara berterusan.

    Beliau berkata, kerajaan bukan hanya membela peneroka asal tanah rancangan itu, malah anak mereka yang menjadi generasi seterusnya di Felda juga diberikan perhatian.

    Katanya, antara langkah dilaksanakan kerajaan ialah projek perumahan untuk generasi kedua dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang membina rumah pada harga lebih murah dan dilengkapi kemudahan asas.

    Sabah&Sarawak: Yayasan Sabah sedia RM53,000 biasiswa 161 pelajar

    PAPAR: Yayasan Sabah memperuntukkan RM53,000 kepada 161 pelajar dari 10 sekolah menengah di daerah ini yang terpilih sebagai penerima Biasiswa Harian Sekolah Menengah Yayasan Sabah bagi daerah Papar, tahun ini.

    Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan, Zulkhairi Ismail, berkata peruntukan itu disediakan setiap tahun bagi membantu pelajar sekolah menengah yang datang dari keluarga kurang berkemampuan.

    Katanya, Yayasan Sabah menyediakan biasiswa khas itu sejak kira-kira 40 tahun lalu bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan menanggung persekolahan anak dan meningkatkan semangat pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

    "Pembiayaan biasiswa ini selaras dengan usaha Yayasan Sabah meningkatkan pencapaian rakyat negeri ini dalam bidang pendidikan. Ia penting sebagai pemangkin kepada usaha menyediakan modal insan yang mencukupi untuk semua bidang di negeri ini.

    "Berikutan kepentingan itu, Yayasan Sabah akan meneruskan program ini agar lebih ramai pelajar kurang berkemampuan di negeri ini mendapat pembiayaan biasiswa bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga mereka," katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Harian Menengah Yayasan Sabah 2009 daerah Papar kepada 300 pelajar sekolah menengah, termasuk 161 penerima baru yang mewakili 10 sekolah menengah sekitar daerah ini di sini, kelmarin.

    Penyampaian anugerah disempurnakan Ketua Umno Papar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail.

    Hadir sama Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; Pegawai Pelajaran Daerah Papar, Abidin Marjan; Pengurus AgroBank Cawangan Beaufort, Hazlim Hassan dan Pengerusi Permuafakatan Pengetua Papar, Loh Kok Cheang.


    PPSMI dimansuhkan?

    KUALA LUMPUR 7 Julai – Adakah mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar menggunakan bahasa Melayu?

    Jawapan persoalan yang ditunggu-tunggu itu akan terjawab esok apabila keputusan muktamad mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diumumkan esok.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual membuat pengumuman itu selepas membentangkan laporan hasil kajian PPSMI dalam mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

    Beliau juga akan mengemukakan cadangan yang menjadi kata putus tentang masa depan PPSMI - sama ada diteruskan atau dimansuhkan sama sekali.

    Satu sidang media akan diadakan bagi mengumumkan keputusan Jemaah Menteri itu di Kementerian Pelajaran pukul 2.30 petang.

    Sementara itu, Muhyiddin pada sidang akhbarnya di Pagoh hari ini memberitahu, keputusan mengenai dasar PPSMI tidak dibuat terburu-buru atau atas desakan serta tekanan daripada mana-mana pihak.

    ‘‘Ia berdasarkan kepentingan pelajar dan pentingnya mempertingkatkan sistem pendidikan negara,’’ katanya selepas melancarkan program Gerak Bakti UPSR AmanahRaya.

    Tegas Muhyiddin, apa juga keputusan yang dibuat akan menjadi satu dasar dan tiada sebarang rayuan kerana pihaknya sudah menerima pandangan bertahun-tahun lamanya.

    Pihak kementerian juga, katanya, telah membuat pelbagai kajian dan menemui pelbagai hasil dan pendapat.

    ‘‘Saya akan bentangkan esok di samping itu kita akan melihat ke hadapan bagaimana kita dapat meneruskan usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan dan pada masa sama memperkukuhkan bahasa Inggeris dan itu adalah perkara pokok,’’ katanya.

    Muhyiddin berkata, beliau telah menemui kumpulan berkepentingan dalam soal pendidikan menerusi perbincangan serta meja bulat dan kini mendapat gambaran yang jelas mengenai PPSMI.

    Mengulas pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu itu, Timbalan Perdana Menteri mengakui menemui bekas Perdana Menteri yang disifatkan sebagai satu proses perbincangan atau musyawarah.

    Beliau juga memberitahu telah membentang perkara itu pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO beberapa minggu lalu.

    Kajian pelaksanaan PPSMI dilakukan berikutan reaksi pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), para akademik, pencinta bahasa, persatuan pelajar dan ahli-ahli politik.

    Kebanyakan pandangan tidak bersetuju dasar tersebut diteruskan kerana selepas enam tahun pelaksanaannya, terdapat petunjuk kemerosotan keputusan peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran.

    Bantahan juga menjurus kepada kekhuatiran kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan akan terjejas selain masalah kekurangan guru yang fasih bahasa Inggeris untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran itu.

    Sementara itu, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr. Zainal Kling ketika dihubungi meletakkan harapan yang tinggi terhadap keputusan Kabinet esok.

    ‘‘Diharap keputusan itu akan menjadi penentu kepada kejayaan konsep 1Malaysia dengan kembali memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

    ‘‘Untuk membolehkan hasrat itu menjadi kenyataan, maka PPSMI wajib dimansuhkan dan kembali kepada asal di mana pengajaran di semua peringkat adalah dalam bahasa Melayu,’’ katanya.

    Beliau juga yakin pemansuhan PPSMI akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan memartabatkan bahasa dan membina bangsa melalui penggunaan Bahasa Kebangsaan yang tunggal.

    Zainal juga percaya PPSMI jika dimansuhkan akan memberi keyakinan kepada lulusan universiti untuk mempelajari bahasa asing terutama bahasa Inggeris sebagai nilai tambah bagi menghadapi saingan globalisasi.

    Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein berkata, PPSMI jika diteruskan akan menimbulkan masalah kepada golongan cendekiawan.

    Katanya, pelaksanaan PPSMI hanya memberi keselesaan kepada kelompok bandar manakala pelajar luar bandar akan terus tertekan sehingga mewujudkan ketidakseimbangan bagi bangsa Melayu itu sendiri.

    Beliau juga bimbang PPSMI jika diteruskan akan menjadikan kelompok di bandar yang sebenarnya minoriti menjadi majoriti dan menguasai segalanya.

    “Jika situasi sedemikian berlaku, negara kita akan menjadi negara yang porak peranda akibat bahasa ibunda kita sendiri tidak dimartabatkan tetapi mengagung-agungkan bahasa asing,” jelasnya.