Thursday, July 9, 2009

Bakal guru pendidikan khas perlu perluas ilmu

KOTA BHARU: Bakal guru Pendidikan Khas negara ini, disaran mencontohi iltizam yang ditunjukkan rakan sejawat mereka di Thailand dalam usaha memastikan pelajar kurang upaya mendapat pendidikan sempurna.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata bakal guru Pendidikan Khas juga perlu melipatgandakan usaha memantapkan pengetahuan dan melengkapkan diri dengan ilmu.

"Saya pernah melawat Thailand tahun lalu, bagi meninjau beberapa buah sekolah pendidikan khas dan saya melihat mereka begitu komited dalam mendidik pelajar kurang upaya itu.

"Di rantau ini, Thailand berada di depan dalam penyediaan prasarana dan pendidikan bagi anak berkeperluan khas dan diajar dengan pelbagai kemahiran di sekolah masing-masing dan peluang itu disediakan sehingga ke peringkat universiti.

"Malah, ada sebuah universiti di Thailand, menyediakan kampus untuk golongan cacat penglihatan dan radio khusus untuk mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Pendidikan Khas 2009 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kota Bharu di sini semalam. Turut hadir Pengarah IPGM Kampus Kota Baharu, Hashim Deraman.

Seramai 286 guru pelatih sedang mengikuti Latihan Pendidikan Khas di kampus itu di bawah Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), pra-Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), unit PISMP dan selebihnya Program Guru Sandaran Tidak Terlatih (PGSTT).

Alimuddin berkata, ketika ini jumlah pelajar Pendidikan Khas negara ini berjumlah 35,159 orang berbanding 28,591 orang pada 2007 dan jelas menunjukkan betapa pentingnya usaha meningkatkan tahap pendidikan khas di negara ini.

"Peningkatan jumlah pelajar ini membayangkan ibu bapa kini mula mengambil berat terhadap sistem pendidikan anak-anak berkeperluan khas itu. Sehingga kini kementerian sudah melaksanakan pelbagai aktiviti untuk menjaja pendidikan khas yang lebih sempurna sama ada di peringkat kementerian itu, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mahupun IPGM.

"Antaranya, melaksanakan program outreach di kawasan pedalaman, dan program ini menepati teras empat dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu merapatkan jurang pendidikan.

"Contohnya, program itu yang pernah diadakan di Sabah pada 20 hingga 25 April lalu berjaya dan merupakan usaha berkesan dalam mengesan murid-murid yang tidak dapat menguasai 2M iaitu membaca dan menulis sebelum menempatkan mereka di kelas yang bersesuaian," katanya.


No comments:

Post a Comment