Monday, July 6, 2009

Guru besar beri arahan ugutan

SAYA ingin mengadu mengenai tindakan guru besar sebuah sekolah di Batu Gajah, Perak yang meminta guru supaya memberi sumbangan secara ‘paksa’ sebanyak RM20 untuk pembelian perabot sekolah.

Arahan pada mulanya berbunyi secara ikhlas, namun pada akhirnya, ia bertukar kepada satu arahan.

Setiap guru dimestikan membayar wang itu dan setiap pembayaran akan disemak untuk mengetahui mana-mana guru yang tidak membayarnya.

Guru besar itu juga memberi arahan supaya kami tidak menghebahkannya kepada pihak atasan kerana menurutnya, Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri adalah ‘orangnya’.

Semua guru tidak berani membantah dan menurut perintah. Takut jika dibantah, mereka akan menjadi mangsa ugutan seperti ditukar sekolah.

Cuti Sabtu juga diganggu beliau yang suka membuat banyak aktiviti sehinggakan guru tiada masa untuk bersama keluarga dan merancang aktiviti luar.

Sebagai contoh, baru-baru ini diadakan aktiviti membaiki kerusi rosak di sekolah.

Beliau gemar menggunakan ugutan setiap kali mengarahkan guru menjalankan tugas. Berikutan itu, guru berasa seolah-olah tertekan ketika bekerja.

Tujuan saya mengadu di ruangan ini kerana kami sebagai pendidik tiada saluran tertentu untuk mengadu.

Sekiranya mengadu di Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri, akibatnya kami akan dipersalahkan juga.

GURU BERANI,
Batu Gajah, Perak.

No comments:

Post a Comment