Sunday, July 5, 2009

Pelajar diminta kemuka maklumat pengetua miang

Oleh Khairunnisa Kamarudin, Siti Haliza Yusop dan Ramli Hussin
bhnews@bharian.com.my

Ketua Pengarah mahu siasat dakwaan dianggap serius

KUALA LUMPUR: Pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut, Pasir Puteh, Kelantan, yang mendakwa digantung daripada asrama selepas melaporkan salah laku pengetua diminta memberikan maklumat mengenai dakwaan itu kepada Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Alimuddin berkata, dakwaan dibuat pelajar itu adalah serius dan beliau perlu mendapatkan maklumat lanjut mengenainya sebelum siasatan dapat dilakukan.

"Apa yang penting, pelajar perempuan terbabit perlu menghubungi saya terlebih dulu sebelum siasatan dapat dilakukan kerana setakat ini saya tidak mempunyai sebarang maklumat.

"Ia adalah satu pertuduhan berat dan serius, dan saya mahu menyiasat dakwaan pelajar ini sebelum sebarang tindakan boleh diambil." katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Semalam, akhbar menyiarkan dakwaan seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun yang digantung daripada asrama sejak 17 Mei lalu berikutan pengetuanya tidak berpuas hati dengan tindakan pelajar terbabit membuat laporan mengenai salah lakunya kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar.

Pelajar itu yang dipertanggungjawabkan sebagai ketua asrama berikutan ketiadaan warden wanita, mendakwa beliau sudah lama bersabar melihat pengetua sekolah itu keluar masuk asrama tanpa mengira masa, termasuk menghabiskan hampir empat jam, hingga 1 pagi, untuk berkaraoke bersama pelajar perempuan kesayangannya.

Alimuddin memberi jaminan akan bersikap adil dan menyiasat dakwaan pelajar itu dari segenap aspek.

"Peraturan mengkehendaki setiap asrama perempuan mempunyai seorang warden wanita dan dakwaan ketiadaan warden di situ perlu disiasat.

"Kementerian Pelajaran sudah mengarahkan semua sekolah melakukan kawalan asrama yang ketat dan ia menjadi amalan sebelum ini. Selain itu, asrama juga adalah kawasan larangan dan hanya boleh dimasuki orang tertentu seperti pengetua, pada waktu tertentu," katanya.

Di PASIR PUTEH: Pengetua sekolah itu, Maharom Ahmad, berkata dakwaan pelajar terbabit dibuang asrama kerana kesalahan itu tidak benar, sebaliknya lebih kepada salah faham dan keengganan pelajar itu menerima dan membantah penjelasan diberikan

"Saya mengaku saya ada pergi memantau keadaan asrama pelajar perempuan pada waktu malam, tetapi diiringi warden dan dua pengawal keselamatan bertugas. Saya juga tidak pernah memasuki bilik pelajar perempuan.

"Saya ingin menjelaskan, dakwaan ada lelaki luar bebas keluar masuk dalam kawasan asrama perempuan itu sebenarnya mereka adalah kakitangan sekolah dan pekerja kantin asrama berkenaan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Maharom mendakwa, ketua asrama pelajar itu tidak pernah digantung daripada menghuni asrama, sebaliknya dia bertindak sendiri keluar dari asrama kira-kira jam 6 petang pada 17 Mei lalu.

"Pada petang itu, saya memang ada marah dia di depan pelajar lain, selepas itu dia terus melarikan diri. Apabila warden mencarinya selepas itu, kira-kira jam 8 malam, mendapati pelajar itu sudah berada di rumah keluarganya (kira-kira 10 kilometer dari sekolah itu)," katanya.


No comments:

Post a Comment