Friday, July 10, 2009

Pemansuhan PPSMI selaras semangat 1Malaysia

TARIKH 8 Julai 2009 tercatat dalam sejarah bahasa dan pendidikan kebangsaan negara ini apabila kerajaan mengambil keputusan bijak dengan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Pujian dan ucapan terima kasih patut diberikan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang akan genap menerajui negara selama 100 hari pada 11 Julai ini kerana benar-benar melunaskan semangat 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.'

Begitu juga kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang prihatin dengan permasalahan dan masa depan rakyat dan tanah air ini.


Selepas enam tahun PPSMI menjadi 'duri' dalam hati sebilangan besar ahli akademik, golongan budayawan, pejuang bahasa, malah paling kuat yang menerima kesannya ialah kumpulan pelajar dan guru, akhirnya Sains dan Matematik dikembalikan kepada bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.

Memang sesuatu keputusan yang diambil tidak akan memuaskan hati semua pihak.

Bagi yang masih mempersoalkan mengapa tindakan itu diambil sepatutnya merenung dan memikirkan kesan jangka panjang serta kepentingan bangsa dan negara mengatasi kepentingan diri.

Hakikatnya, anggapan PPSMI masih wajar diteruskan meskipun banyak hasil kajian ilmiah menunjukkan lebih banyak impak buruk daripada dasar itu samalah seperti kita tidak menghiraukan majoriti anak bangsa kita yang sebenarnya lebih berjaya jika didedahkan ilmu dalam bahasa milik kita sendiri.

Mereka yang tegar mendakwa PPSMI itu lebih baik juga seharusnya mengemukakan hasil kajian ilmiah untuk membuktikan dakwaan mereka itu.

Kenyataan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohamad Nasir Mohamed Nazri dalam akhbar ini amat mengecewakan.

Nasir sedih dengan keputusan itu kerana percaya ramai pelajar sekolah setuju jika PPSMI diteruskan, bertentangan dengan pendapat pemimpin pelajar dari institusi pengajian tinggi lain.

Kenyataannya itu mungkin memberi tamparan kepada UKM sebagai universiti yang sebelum ini ditubuhkan atas semangat memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu untuk semua disiplin ilmu termasuklah Sains, Matematik dan Teknologi.

Malah, hujah beliau hanya bersandarkan pendapat pelajar bukan pensyarah dan ilmuwan.

Jika hanya pendapat pelajar dari sekolah elit di bandar, itu bukan suara pelajar yang menyeluruh untuk menyatakan PPSMI masih relevan!

Pandangan murid di SMK Dabong atau di Gerik atau di sekolah pedalaman, sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak juga perlu diambil kira.

Semua pihak harus jelas. Keputusan sudah diambil. Tindakan semua pihak sekarang bukan saja sekadar mengkritik tanpa cadangan penambahbaikan.

Gunakanlah kepakaran, latar belakang atau kelebihan yang ada untuk bersama-sama menggembleng agar bahasa Malaysia yang juga bahasa kebangsaan milik semua rakyat Malaysia tanpa berbilang kaum benar-benar dimartabatkan.

Bagi bahasa Inggeris pula, kaedah pengajaran perlu dirombak sama sekali memandangkan Malaysia adalah satu-satunya negara yang memperuntukkan masa pengajaran bahasa asing yang paling panjang.

Oleh itu, tiada sebab pelajar masih lemah dalam penguasaan bahasa itu melainkan kaedah pengajaran bahasa itu tidak 'dibedah siasat' untuk hasil pemahaman dan kualiti penguasaan yang berkesan.

ARIF ATAN,
Tanah Merah,
Kelantan.

No comments:

Post a Comment