Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, berkata langkah itu sesuatu yang ditunggu semua lapisan masyarakat.
"Ia menunjukkan kerajaan peka terhadap tuntutan rakyat termasuk pejuang bahasa supaya dua subjek itu diajar dalam bahasa Melayu semula," katanya.
Beliau berkata, langkah itu bukan bermakna bahasa Inggeris tidak penting kerana pembelajaran bahasa itu perlu dipertingkatkan dengan kaedah tertentu.
Katanya, PPSMI terbukti gagal kerana tidak dapat mengembangkan bahasa Inggeris dan gagal meningkatkan pengetahuan dalam pembelajaran Sains dan Matematik.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, berkata partinya bersyukur dengan keputusan itu kerana murid menghadapi kesukaran belajar dalam bahasa Inggeris dan dasar itu dilihat seperti tergesa-gesa ketika dilaksanakan.
"Kerajaan perlu peka kehendak rakyat sebelum sesuatu dasar itu diumumkan," katanya.
Bagaimanapun, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata beliau terperanjat dengan keputusan Kabinet yang hanya memansuhkan PPSMI pada 2012.
Katanya, beliau hairan mengapa PPSMI diteruskan lagi dalam tempoh tiga tahun sedangkan kerajaan mendakwa dasar itu tidak begitu berjaya selepas enam tahun dilaksanakan.
Beliau berpendapat keputusan itu bukan penyelesaian mengatasi pelbagai isu berbangkit berhubung dasar PPSMI.
Lim juga berkata, masalah PPSMI di sekolah aliran Cina mungkin tidak begitu besar tetapi mungkin menjadi beban bagi sekolah aliran Tamil dan kebangsaan.
No comments:
Post a Comment