Wednesday, July 8, 2009

40 murid Tahun Empat SK Sungai Pusu keracunan

GOMBAK: Seramai 40 murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pusu, di sini mengalami cirit birit, muntah dan pening dipercayai akibat keracunan makanan, selepas waktu rehat, semalam.

Kejadian disedari pengurusan sekolah apabila murid berkenaan yang semuanya mendakwa memakan nasi lemak ayam mengadu sakit perut dan muntah selepas makan di kantin sekolah itu pada jam 9.30 pagi.

Semua murid itu kemudian dibawa ke Hospital Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (HJHEOA) yang terletak berdekatan sekolah itu, kira-kira jam 11 pagi oleh guru mereka.

Murid Tahun Empat, Nor Anis Syahirah Zainal Abidin, berkata nasi yang dimakannya berasa seperti basi tapi dia terus juga makan kerana fikir tiada apa yang akan berlaku.

“Selepas makan tiada apa yang berlaku tapi sewaktu cikgu mengajar saya rasa pening dan sakit perut. Cikgu suruh ke tandas dan menghantar ke klinik kesihatan di sekolah sebelum menghantar ke hospital dengan kereta,” katanya.

Ibu kepada seorang pelajar, Junaidah Nor, 49, berkata dia terkejut apabila diberitahu anaknya berada di hospital kerana dipercayai keracunan makanan.

“Saya harap pihak sekolah membuat pemeriksaan tahap kebersihan kantin sekolah supaya perkara seperti ini tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Hisham Abdul Razak, berkata keadaan bagaimanapun terkawal selepas guru-guru mengambil tindakan pantas menghantar mereka yang terbabit ke hospital terdekat.

“Semua pelajar berada dalam keadaan baik dan kebanyakan mereka sudah pulang selepas diberi rawatan dan ubat. Hanya sebahagian yang masih tinggal kerana mereka masih belum membuang air,” katanya.


No comments:

Post a Comment