BONGAWAN 6 Julai – Sebanyak 100 pelajar Sekolah Kebangsaan Nyaris-Nyaris, Membakut di sini menyertai program motivasi kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) anjuran Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) di sini baru-baru ini.
Program motivasi membabitkan perkhemahan selama tiga hari, dua malam di Pusat Latihan Binsulok itu disertai murid-murid tahun dua dan calon-calon UPSR 2009.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Karim Bujang.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nyaris-Nyaris, Mohd. Zainal Matali; Guru Besar sekolah, Bakar Tahir dan Pegawai Operasi YSZPS Papar, Fairuz Yussof.
Berucap pada majlis itu, Karim berkata, ibu bapa perlu mengutamakan agenda pendidikan anak-anak dalam pembangunan keluarga masing-masing.
Menurutnya, perkara-perkara seperti hiburan perlu dikurangkan kerana ia akan menjejaskan kemampuan ibu bapa terbabit untuk menyediakan pendidikan sempurna untuk anak-anak.
‘‘Dunia hari ini dan masa depan akan menjadi milik orang yang berilmu dan rajin berusaha serta memperbaiki diri ke arah kecemerlangan.
‘‘Adalah malang jika ibu bapa serta keluarga menyerahkan secara total tanggungjawab mendidik anak-anak kepada warga pendidik atau agensi kerajaan tanpa ada komitmen untuk sama-sama berusaha ke arah itu,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment