Oleh Norliza Abdullah
rencanabh@bharian.com.my
Pengajaran subjek Sains, Matematik dalam bahasa ibunda bantu memahami konsep, prosedur pengajian
ANGKAH kembali kepada penggunaan bahasa Malaysia dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dilihat sebagai keputusan adil kepada sebahagian besar murid terutama yang bahasa pertuturan mereka bukan bahasa Inggeris.
Ia memberi peluang saksama kepada mereka terutama yang tinggal di luar bandar dan penempatan Orang Asli menguasai kedua-dua mata pelajaran berkenaan dalam bahasa yang mudah difahami.
Menggunakan bahasa yang mudah difahami penting dalam proses menguasai sesuatu ilmu kerana kemahiran kognitif (berfikir) setiap individu bergantung kepada kefasihan serta kefahaman mereka dalam bahasa yang mudah difahami.
Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak, Profesor Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, berkata dalam konteks pendidikan di Malaysia, bahasa Malaysia lebih relevan dijadikan bahasa pengantar untuk kedua-dua mata pelajaran ini.
Katanya, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diguna pakai sejak 2003, jelas menidakkan hak murid terutama yang tidak menguasai bahasa Inggeris dalam menguasai ilmu berasaskan teknologi moden itu dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami.
Buktinya, pelaksanaan itu menjejaskan prestasi pelajar terutama apabila mereka berada di Tingkatan Dua yang menjadi sampel kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat.
Berdasarkan kajian 59 negara, menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2004 dan 519 bagi 1999 iaitu penurunan sebanyak 34 peratus.
Berbanding kajian TIMSS pada 1999 mendapati prestasi pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains adalah antara yang tertinggi di kalangan 59 negara yang dikaji.
Beliau berkata, pada 2007 prestasi pelajar kita menjunam dan kemerosotan ini adalah tertinggi di kalangan 59 negara yang mengambil bahagian dalam TIMSS 2007. Kemerosotan itu sebahagian besarnya disebabkan kebanyakan pelajar sukar mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.
Katanya, pada 1999 dan 2003, pelajar mengikuti mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia. Mereka mudah belajar kerana masing-masing cekap dalam bahasa Malaysia dan guru mereka juga lancar mengajarnya dalam bahasa Malaysia. Jadi prestasi mereka dalam Matematik dan Sains baik.
"Penggunaan bahasa keluarga atau ibunda memudahkan pelajar berfikir dan memahami pelajaran. Kajian TIMSS menunjukkan pelajar yang menggunakan bahasa ibunda (bahasa keluarga) dalam pembelajaran Matematik dan Sains mencapai prestasi lebih tinggi berbanding pelajar yang menggunakan bahasa kedua atau bukan bahasa keluarga," katanya mengulas langkah kerajaan mengembalikan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan dan menengah untuk dilaksanakan dalam bahasa Malaysia berkuat kuasa pada 2012.
Dr Isahak berkata, di Malaysia jelas menunjukkan bagaimana bahasa Cina yang diguna di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains (ditambah dengan pengajaran istilah dalam bahasa Inggeris) memberi kesan positif dalam meningkatkan prestasi pelajarnya dalam UPSR pada 2008 dan menurun peratus yang gagal.
"Kita harus bertanya, apakah sebab sebahagian besar pelajar luar bandar rendah penguasaan bahasa Inggeris? Tentu ada sebabnya iaitu sebahagiannya kerana kurikulum dan kaedah pengajaran bahasa Inggeris untuk pelajar ini kurang sesuai," katanya.
Beliau berkata, pendekatan Communicative English atau bahasa Inggeris komunikasi diguna untuk mengajar pelajar asing di United Kingdom (UK) dan AS yang dipelopori Widdowson pada 1970-an dijadikan asas dan pendekatan mengajar pelajar di sekolah rendah dan menengah di Malaysia bermula awal 1980-an.
"Usaha itu relevan sebagai pendekatan pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa asing kepada pelajar asing di UK atau AS. Bahasa Inggeris komunikasi diguna pelajar asing dalam konteks masyarakat di kedua-dua negara yang menggunanya sebagai bahasa kehidupan seharian dalam pertuturan dan komunikasi.
"Pendekatan itu kurang sesuai untuk mengajar pelajar di sekolah rendah luar bandar di Malaysia kerana bahasa berkenaan tidak digunakan di luar bilik darjah. Masing-masing hanya menggunakan bahasa berkenaan selama kira-kira sejam sehari lima hari seminggu, dalam kelas saja," katanya.
Dr Isahak dalam kajian ilmiahnya bersama empat pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, mengenai kesan pelaksanaan PPSMI di sekolah mendapati, 83 peratus daripada murid di semua penempatan seluruh negara meluahkan kesukaran mempelajari Sains dalam bahasa Inggeris, walaupun mereka mempelajari subjek ini sejak 2003.
Hasil kajian itu juga mendapati 85 peratus murid melaporkan guru mereka mengajar Matematik dan Sains dengan menggunakan campuran bahasa Melayu dan Inggeris.
Guru mengambil inisiatif lebih menerangkan semula dalam bahasa Melayu dengan harapan muridnya yang lemah bahasa Inggeris memahami apa yang hendak disampaikan.
Kajian membabitkan murid dalam tiga kohort, iaitu pada Februari 2007 seramai 1,564 murid Tahun Lima di 27 sekolah rendah. Ini diikuti pada Julai juga 2007 membabitkan seramai 636 dari 13 sekolah rendah. Seterusnya Januari lalu, tinjauan dilaksanakan membabitkan murid 1,703 murid Tahun Lima di 28 sekolah rendah.
Selain kajian UPSI menunjukkan kegagalan PPSMI meningkatkan minat pelajar dalam subjek Sains dan Matematik, pengkaji lain sebelum ini juga menunjukkan hasil sama.
Terdahulu sekumpulan penyelidik juga dari UPSI diketuai Zainuddin Bikum pada 2004 juga menunjukkan hasil sama.
Antara pengkaji lain yang mengenal pasti kesan negatif pelaksanaan PPSMI ialah Prof Madya Hashimah Jalaluddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2003 dan Prof Juriah Long juga dari UKM menerusi dana penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dr Isahak berkata, konteks dan fungsi pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (atau bahasa asing) di Malaysia tentulah berlainan berbanding proses pengajarannya di UK atau AS.
"Kita perlu mengguna pendekatan lebih sesuai dengan konteks 'budaya' di Malaysia. Tentu sekali ada pendekatan alternatif lain dan sudah pun terdapat pendekatan lain mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa asing dalam konteks budaya lain," katanya.
Beliau menyarankan supaya kementerian mengguna dan menambah bilangan guru tempatan dan kukuhkan kecekapan mereka, tanpa perlu mengimport guru dari luar negara seperti UK, Australia dan AS mengajar pelajar kita kerana kosnya berganda selain mereka akan balik semula ke negara asal.
Kajian menunjukkan pelajar berlainan kebolehan perlu jangka masa berlainan untuk menguasai kecekapan berbahasa, termasuk bahasa Inggeris. Lebihkan masa dan banyakkan latihan untuk pelajar kita belajar bahasa Inggeris terutama pelajar di luar bandar.
Pelajar kita sudah pun berjaya belajar secara intensif pelbagai bahasa asing - Jepun, Arab, Korea, Perancis, Jerman dan Russia - untuk belajar di peringkat tinggi dalam pelbagai bidang di IPT di luar negara.
No comments:
Post a Comment