Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my
Pelajar perlu fokus subjek berkaitan bidang diminati bagi mencapai keputusan terbaik
SETELAH sedekad Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaksanakan secara pensijilan terbuka, Kementerian Pelajaran akhirnya membuat transformasi apabila mengehadkan jumlah mata pelajaran diambil calon peperiksaan berkenaan.
Berdasarkan ketetapan baru yang akan dilaksanakan mulai tahun depan itu, calon peperiksaan berkenaan hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 subjek, manakala 11 mata pelajaran bagi calon aliran agama sains.
Berbanding sistem pensijilan terbuka dilaksanakan sejak 2000, jumlah mata pelajaran tidak dihadkan dan calon bebas menentukan jumlahnya hingga ada yang mengambil 21 subjek.
Mengulas keputusan itu, Yang Dipertua Kesatuan Kebangsaan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Malaysia (KKPSM), Azam Md Atan, berkata cadangan mengehadkan pengambilan subjek itu pernah disuarakan pihaknya kepada kementerian menerusi beberapa pertemuan sebelum ini, selain turut dijadikan fokus perbincangan seminar dan konvensyen pendidikan.
Katanya, kaitan pelajar mengambil banyak subjek sering dipersoalkan, malah pihak kesatuan sendiri pernah memohon agar Kementerian Pelajaran meneliti semula konsep sistem pensijilan terbuka SPM.
“Kami melihat keputusan ini sebagai bukti kepekaan kementerian terhadap pandangan dan saranan disuarakan pelbagai pihak termasuk KKPSM yang sememangnya menantikan respon positif sejak dulu lagi.
“Pujian wajar diberikan kepada Kementerian Pelajaran kerana bijak dan tuntas dalam membuat keputusan berkaitan isu ini. Bagi pihak kesatuan, setiap keputusan dibuat pasti ada sebab kukuh demi memastikan pembangunan potensi pelajar yang lebih menyeluruh,” katanya kepada Berita Harian.
Biarpun masih ada suara sumbang yang mempertikaikan kewajaran keputusan itu, beliau menyarankan agar semua pihak khususnya pelajar bersikap positif dan terbuka dengan perubahan itu.
Sebagai pelajar, katanya, wajar bagi mereka memfokus mata pelajaran berkaitan bidang diminati dan bersesuaian dengan kecenderungan atau kemahiran mereka bagi mencapai keputusan berkualiti.
“Jumlah kuantiti subjek yang banyak bukanlah kayu pengukur sebenar kecemerlangan pelajar, malah lebih parah jika ia tidak diseimbangkan dengan pencapaian kokurikulum yang menjadi penyumbang utama pemupukan kemahiran insaniah, sahsiah dan kepimpinan pelajar.
“Malah, pelajar juga perlu ingat, selepas keluar universiti kelak, persoalan sama ada seseorang itu pernah memperoleh 18 1A atau 20 1A dalam SPM tidak lagi relevan.
“Majikan kini lebih suka menawarkan pekerjaan kepada graduan yang bukan saja cemerlang akademik tetapi yang mempunyai keyakinan, bakat kepemimpinan, pandai bergaul, inovatif dan kreatif,” katanya.
Beliau turut berharap agar keputusan mengehadkan pengambilan subjek SPM dapat mengubah persepsi pelbagai pihak yang sebelum ini sering melabelkan sistem pendidikan negara terlalu berorientasikan peperiksaan.
Malah, katanya, keputusan itu juga dilihat sebagai sebagai mekanisme terbaik menangani isu pengagihan biasiswa khususnya yang ditawarkan kerajaan kepada lulusan SPM.
“Isu pemilihan pelajar yang layak menerima biasiswa sering dipersoalkan ramai pihak setiap tahun, malah ada yang mempertikaikan ketelusan kerajaan dalam isu itu.
“Peluang pelajar yang mendapat 20 A contohnya lebih luas untuk mendapat biasiswa berbanding pelajar 10 A. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan pelajar dan dengan keputusan mengehadkan pengambilan subjek, saya rasa isu ini akan diatasi dengan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Penolong Kanan Akademik, Sekolah Agama Menengah Bestari (SAM Bestari), USJ 5, Subang Jaya, Selangor, Sabariah Jaafar, berkata pengambilan maksimum 11 subjek SPM bagi calon aliran agama sains yang diputuskan Kementerian Pelajaran disifatkan rasional dan sememangnya menjadi amalan kebanyakan sekolah agama.
Di SAM Bestari, beliau menjelaskan, majoriti calon SPM diwajib mengambil 11 subjek dan hanya segelintir calon yang mengambil lebih daripada jumlah itu dengan syarat mendapat kebenaran pihak sekolah.
“Empat subjek wajib diambil calon adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik selain tiga subjek teras aliran agama iaitu Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah.
“Calon turut mengambil empat subjek elektif sains tulen iaitu Matematik Tambahan, Kimia, Fizik dan salah satu daripada subjek Biologi atau Lukisan Kejuruteraan.
“Kombinasi 11 subjek itu sudah mencukupi dan bersesuaian dengan masa yang diperlukan pelajar untuk pembelajaran dan ulangkaji tanpa mengenepikan kepentingan pembabitan mereka dalam aktiviti kokurikulum,” katanya.
Biarpun keputusan jumlah maksimum 11 subjek hanya membabitkan calon 2010 sebelum calon seterusnya diwajibkan mengambil 10 subjek maksimum mulai 2011, beliau berkata, pihaknya akan memastikan pengubahsuaian dilaksanakan segera bagi membantu calon membuat pilihan subjek yang tepat dan bersesuaian dengan mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment