Monday, June 29, 2009

Usia bukan penghalang warga emas timba ilmu

Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my

26 wanita masuk kelas mengenal huruf tiga kali seminggu

TENOM: Pada usia mencecah 60 tahun, penduduk Kampung Bakuku, Ulu Tomani dekat sini tidak pernah patah semangat untuk menimba ilmu. Pada usia berkenaan seharusnya diluangkan untuk bermesra dengan cucu itu, bagaimanapun, usaha menambah ilmu secara formal tidak dilupakan.

Bukan untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik. Bukan juga untuk menggunakannya bagi mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi di sektor awam atau swasta.

Sebaliknya, pada usia lanjut ini, 26 wanita yang sebahagian besarnya warga emas di kampung berkenaan menghambakan diri untuk menimba ilmu membaca, menulis dan mengira (3M) yang selama ini tidak pernah dinikmati.

Kemiskinan yang menghimpit sejak sekian lama tidak memberi peluang untuk mereka menimba ilmu secara formal. Faktor jarak kampung yang kira-kira 25 kilometer untuk ke pekan kecil Kemabong, dekat sini dengan melalui jalan tidak berturap dan dikelilingi hutan, tidak membolehkan mereka ke sekolah.

Namun demikian, peluang menimba ilmu secara formal yang seolah-olah sudah terpadam daripada perjalanan hidup mereka, terbuka luas apabila Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran menyediakan program Kelas Dewasa di kampung itu sejak April 2008.

Ia bertujuan membasmi buta huruf di kalangan masyarakat luar bandar, sekali gus membolehkan mereka menikmati pembangunan negara.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakuku, 26 wanita yang sememangnya tidak pernah menikmati pendapatan tetap dan bertugas sebagai suri rumah itu merebut peluang untuk menimba ilmu, sekurang-kurangnya mengenal huruf dan konsep 3M.

Setiap Selasa, Rabu dan Khamis, wanita berusia antara 35 hingga 60 tahun itu akan berada dalam kelas selama dua jam, mulai jam 2 petang.

Dengan dibimbing guru sekolah berkenaan, Daniel Chiong, mereka diajar mengenal huruf bagi membolehkan membaca dan menulis, selain mengira.

"Kebanyakan mereka langsung tidak pernah menerima pendidikan formal sebelum ini. Bagaimanapun, sejak mengikuti kelas ini, mereka sudah boleh membaca dan menulis perkataan dan ayat yang mudah.

"Mereka juga sudah boleh mengira dan membuat kerja Matematik yang mudah. Pada mulanya memang sukar untuk membolehkan mereka menguasai pada peringkat rendah ketiga-tiga kemahiran itu tetapi berkat kesungguhan menimba ilmu, sekarang mereka sudah boleh berbuat demikian" katanya kepada Berita Harian, ketika ditemui di sekolah itu, semalam.

Seorang pelajar, Suliya Ambun, 60, berkata beliau tidak akan melepaskan peluang menimba ilmu setiap jam 2 petang Selasa, Rabu dan Khamis.

"Pada sebelah pagi saya membantu suami di kebun. Habis saja kerja di kebun, saya pulang ke rumah untuk memasak. Pada jam 2 petang, saya masuk kelas.

"Masa muda dulu, saya memang tak berpeluang belajar. Kampung kami terlalu jauh dari pekan kecil Kemabong atau Tenom. Saya memang tak kenal huruf, apatah lagi membaca dan menulis. Bagaimanapun, dengan adanya Kelas Dewasa ini, saya sudah boleh mengeja perkataan yang mudah," katanya.

Kementerian Pelajaran menyediakan 195 Kelas Dewasa di seluruh negara, iaitu 93 sekolah rendah di Semenanjung yang keseluruhan pelajarnya adalah Orang Asli dan 102 sekolah rendah yang membabitkan peribumi di Sabah dan Sarawak.

Selain SK Bakuku, sekolah lain di Sabah yang turut menyediakan kelas berkenaan ialah SK Tumunda Salimandut di Kota Marudu dan SK Kampung Solob di Sipitang.

Setiap kali hadir, pelajar diberikan elaun RM15 seorang, selain RM4 untuk membeli makanan serta minuman. Mereka perlu mengikuti kelas Bahasa Melayu dan Matematik selama 200 jam dalam 100 hari dari Mac lalu hingga November depan.

No comments:

Post a Comment