nazmi@bharian.com.my
UngkU Aziz (kanan) dan Abdul Raof (tengah) pada kolokium Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa inggeris, baru-baru ini. |
Kaedah yang diguna pakai dalam sistem pendidikan negara ini sudah lapuk
KEMENTERIAN Pelajaran dicadangkan merangka pendekatan baru dalam pengajaran bahasa Melayu dan Inggeris dengan menggunakan teori terkini kerana kaedah yang diguna pakai pada masa ini sudah lapuk.
Cadangan berkenaan dikemukakan mantan Naib Canselor, Universiti Malaya (UM), Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, ketika membentangkan ucaptama Pendekatan Demi Rungkaian Dilema Dasar Pembangunan Bahasa di Malaysia.
“Sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa kita berpandukan pendekatan berasaskan teori yang dipelajari pentadbir kementerian dan universiti ketika mereka melanjutkan pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) di luar negara pada 20 tahun lalu.
“Mereka lupa apa yang dipelajari dulu sebenarnya sudah pun diubah oleh sarjana luar sehingga sekiranya kita ke universiti di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Perancis, teori lapuk sudah digantikan dengan pendekatan terkini,” katanya pada Kolokium Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid.
Kira-kira 150 pengetua dan pendidik dari seluruh negara menghadiri kolokium anjuran Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) yang berlangsung di Bangunan Umno Bahagian Shah Alam, Shah Alam, baru-baru ini.
Prof Diraja Ungku Aziz berkata, pengetahuan baru dalam teori dan pendekatan pengajaran bahasa Melayu dan Inggeris, hanya boleh diperoleh sekiranya pentadbir memperluaskan hubungan dengan pengkaji dan sarjana masa kini.
“Pengajaran bahasa sewajarnya menggunakan pendekatan didaktif iaitu berasaskan prinsip bahasa terlebih dulu kerana setiap bahasa seperti Melayu, Inggeris dan Arab mempunyai nahu serta tatabahasa tersendiri.
“Saya lihat di sekolah, buku teksnya mengandungi ratusan perkataan sehingga pelajar mengambil langkah menghafaznya untuk mendapatkan gred A, tetapi pada masa sama tidak memahami tatabahasa,” katanya pada kolokium yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin.
Baginya, pendekatan yang menganggap pelajar dapat mengenal ribuan perkataan itu dengan sendirinya mengenal tatabahasa adalah salah dan perlu diubah dengan menekankan kerangka bahasa terlebih dulu.
“Bagi saya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak berupaya meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa itu. Pendekatan baru perlu membabitkan penambahan masa untuk kedua-dua subjek itu pada semua peringkat persekolahan dan universiti.
“Masa untuk belajar sama ada bahasa Melayu atau Inggeris perlu ditambah kepada sekurang-kurangnya tiga jam seminggu bermula daripada peringkat sekolah rendah hingga menengah,” jelasnya.
Baginya dengan cara itu pelajar yang mencapai usia 17 tahun boleh bercakap dalam kedua-dua bahasa terbabit dengan menggunakan tatabahasa betul, tanpa perlu merojakkannya seperti yang berlaku pada masa ini.
“Pelajar di sekolah perlu diberi masa yang cukup untuk mencapai kematangan dalam berbahasa sehingga berupaya menggunakan ayat yang canggih dan kompleks bagi mendorong minda mereka lebih terbuka,” katanya.
Selain itu, Prof Diraja Ungku Aziz turut menekankan penguasaan sekurang-kurangnya dua bahasa dengan bahasa Melayu sebagai bahasa tunggal bagi tujuan perhubungan dan perpaduan dalam masyarakat majmuk, manakala bahasa Inggeris untuk memperoleh ilmu.
“Sebagai warga negara, mesti ada satu bahasa agar semua orang boleh berhubung hanya dalam bahasa Melayu kerana perpaduan tidak mungkin dicapai melalui penggunaan dua tiga bahasa. Bagaimanapun, peluang untuk belajar bahasa lain perlu diberikan semua warganegara,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak boleh dibuat secara terburu-buru dan menggunakan masa yang singkat, sebaliknya memerlukan pembabitan ramai pihak khususnya daripada kalangan sarjana dan pakar bahasa serta pendidikan.
Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, pula berkata peruntukan masa untuk pengajaran bahasa Inggeris pada peringkat rendah mesti ditambah dan menggunakan kaedah pengajaran bahasa alternatif yang lebih berkesan.
“Kajian kami menunjukkan penggunaan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains gagal untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi murid dalam mata pelajaran terbabit dan penggunaan bahasa Inggeris untuk kedua-dua subjek itu bukan cara untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar,” katanya ketika memperincikan Kajian Kesan Dasar PPSMI di Sekolah Rendah dan Menengah.
No comments:
Post a Comment