TANAH MERAH: Seorang pelajar yang ponteng sekolah maut, manakala rakannya cedera ringan apabila motosikal yang ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kampung Bukit Telaga, di sini, semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 9 pagi itu, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chetok dekat Pasir Mas, Mohd Hanif Mohd Fazli, 16, dipercayai dalam perjalanan ke kawasan rekreasi di Lata Hujan, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Rakan mangsa, Mohd Nazri Hairi Mahabi, 16, dari sekolah sama, terselamat dan hanya cedera ringan dipercayai sempat melompat dari motosikal Honda EX-5, sebelum kenderaan itu bertembung dengan lori dari arah bertentangan.
"Ketika melalui selekoh dekat Kampung Bukit Telaga, motosikal yang ditunggang Mohd Hanif hilang kawalan sebelum memasuki laluan bersebelahan dan bertembung lori muatan getah," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, ibu mangsa, Nik Sah Nik Yusof, 44, berkata anak ketiganya daripada empat beradik itu keluar ke sekolah kira-kira jam 6.30 pagi semalam.
Katanya, beliau terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada pengurusan sekolah yang memaklumkan anaknya terbabit kemalangan kerana menyangkakan Mohd Hanif berada di sekolah.
"Saya terkejut mendapat tahu Hanif terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan menuju ke Lata Hujan pada waktu persekolahan kerana lokasi terbabit agak jauh dari sekolahnya.
"Ketika keluar dari rumah pagi tadi, dia memang bersiap ke sekolah. Dia tidak pernah memaklumkan kepada saya untuk pergi berkelah ke Lata Hujan," katanya.
No comments:
Post a Comment