Thursday, July 30, 2009

Penerbit diminta turunkan harga buku

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meminta syarikat penerbitan buku menurunkan harga buku tanpa mengorbankan kualiti bagi membantu melahirkan generasi berilmu menerusi pembacaan buku ilmiah dan sastera bermutu tinggi.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata sumbangan syarikat berkenaan penting ke arah membentuk masyarakat yang mengamalkan budaya membaca, sekali gus melahirkan insan berilmu.

"Syarikat penerbitan buku perlu berada di barisan depan ke arah merealisasikan matlamat pembangunan masyarakat berilmu," katanya di sini, semalam.

Masidi yang juga Exco Pelajaran Sabah turut mengakui sukar mendapatkan buku ilmiah bermutu tinggi di negeri itu.

Sehubungan itu, katanya, penganjuran festival buku harus dijalankan secara berterusan oleh syarikat penerbitan buku dengan menjual bahan bacaan pada harga murah untuk membantu pelajar sekolah dan universiti memiliki bahan bacaan.

"Festival itu juga harus digunakan oleh penerbit untuk mendapatkan maklum balas daripada pelanggan mengenai harga yang harus diletakkan pada buku masing-masing bagi meningkatkan jumlah anggota masyarakat yang gemar membaca," katanya.

Masidi berkata, buku adalah ejen mendidik rakyat supaya mencintai tanah air, mewujudkan semangat muhibah antara kaum, mengenali diri sendiri dan orang lain, meningkatkan ilmu pengetahuan dan membina tamadun.

Katanya, buku juga mendidik ke arah membina kekuatan rohani dan pemikiran sebagai asas untuk mendukung dan mengimbangi pembangunan material dan fizikal.

Beliau berkata, asas kemajuan negara bergantung kepada keupayaan sesuatu bangsa untuk memiliki kekuatan untuk mencipta kemajuan, terutama menggunakan bahasa sendiri.

"Kita tidak boleh bergantung kepada ilmu yang diimport saja kerana ada kalanya ia tidak dapat disesuaikan dengan budaya dan matlamat pembangunan negara," katanya.

No comments:

Post a Comment