Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my
Kerajaan berusaha bantu tingkatkan pendidikan, dokumen untuk kemudahan penduduk
KUCHING: Seramai 1,395 murid dan pelajar Penan yang berada di bangku sekolah rendah dan menengah di Sarawak ketika ini, tidak memiliki dokumen pengenalan diri baik sijil kelahiran bagi yang berada di sekolah rendah, mahukan kad pengenalan bagi yang berada di sekolah menengah.
Daripada jumlah itu, 1,128 anak Penan terbabit bersekolah di Daerah Baram di Miri, manakala baki 267 lagi di Daerah Belaga.
Sumber Pejabat Daerah Belaga mengesahkan 181 murid Penan yang belajar di sekolah rendah termasuk 86 murid perempuan, selain 86 pelajar Penan termasuk 39 perempuan yang belajar di sekolah menengah, tidak memiliki dokumen berkenaan.
Kanak-kanak Penan terbabit masih boleh mendaftar untuk bersekolah tanpa sebarang dokumen kerana sistem sebelum ini tidak mewajibkan mereka mengemukakan dokumen, sebaliknya hanya perlu mendaftar sebagai anak Penan.
Ini kerana majoriti kaum Penan tinggal di kawasan hutan, jauh terpencil daripada anggota masyarakat yang lain dengan sebahagiannya masih hidup sebagai nomad.
Rekod ini bagaimanapun hanya merujuk kepada anak Penan yang bersekolah dengan ketiadaan dokumen pengenalan diri mereka disedari selepas mereka berada dalam sistem persekolahan.
Bagaimana pula dengan mereka yang tidak bersekolah dan golongan tua, kebanyakannya dikatakan tidak memiliki dokumen pengenalan diri, apa lagi rutin harian mereka cuma bergerak di dalam hutan termasuk untuk mencari makanan, tanpa perlu berurusan dengan sebarang jabatan yang memerlukan mereka mengemukakan dokumen.
Menurut sumber Unit Perancang Negeri (SPU) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah menubuhkan Unit Khas Bergerak (UKB) sejak 2004 bagi membantu penduduk di pedalaman Sarawak khususnya kaum Penan untuk memiliki dokumen pengenalan diri.
Setakat ini 2,514 kaum Penan berjaya didaftarkan di 43 kawasan termasuk 233 yang didaftarkan sejak awal tahun ini di lima kawasan di Baram.
Pada tahun lalu, seramai 786 kaum Penan berjaya didaftarkan JPN, berbanding 332 orang yang didaftar pada 2007; pada 2006 seramai 509 orang Penan didaftarkan; pada 2005 seramai 180 orang dan seramai 474 orang pada 2004.
Kerajaan negeri turut memberi bantuan pendidikan kepada pelajar Penan yang miskin untuk menggalakkan mereka bersekolah termasuk dari segi kemudahan pengangkutan, yuran sekolah, pakaian seragam dan alat tulis.
Kemudahan pendidikan itu diberikan kepada pelajar Penan di Daerah Limbang, Baram dan Belaga memandangkan tahap kemiskinan kaum Penan di situ agak tinggi berbanding di Bahagian Miri dan Bintulu.
Sejak 1994 seramai 19 anak Penan berjaya menamatkan pengajian pada peringkat ijazah, manakala lima lagi masih menuntut pada peringkat sama. Tiga lagi anak Penan sudah memperoleh diploma, manakala dua lagi masih dalam proses mendapatkan diploma.
Ketika ini 16,281 orang Penan di seluruh Sarawak yang menetap di Daerah Baram, Miri, Bintulu, Limbang dan Kapit.
No comments:
Post a Comment