KUCHING 19 Ogos - Masyarakat di kalangan kaum dan etnik minoriti di Sarawak perlu mengambil peluang untuk menguasai pendidikan dengan memastikan anak masing-masing melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, pendidikan adalah kunci utama kepada kejayaan yang seterusnya dapat membangunkan kaum itu sendiri di samping Sarawak dan negara amnya.
Menurutnya, kerajaan negeri berasa senang hati apabila menyaksikan semakin ramai masyarakat daripada kaum dan etnik minoriti khususnya Penan semakin terpelajar dan berjaya setaraf dengan kaum lain di negara ini.
''Mereka yang berjaya dan terpelajar ini akan dapat meningkatkan serta membangunkan masyarakat mereka sendiri kepada kehidupan yang lebih baik.
''Contohnya, salah seorang kaum Penan yang telah berjaya adalah Datuk Hasan Sui (Presiden Petipun Penan) yang dahulunya hidup cara lama (merayau-rayau dalam hutan) kini menjadi seorang yang berjaya selepas berusaha memperoleh pengetahuan dan pendidikan," katanya di sini hari ini.
Hadir sama isterinya, Senator Datuk Seri Empiang Jabu dan Timbalan Setiasuaha Kerajaan Negeri, Ose Murang.
Pada majlis tersebut, Jabu menyampaikan sumbangan daripada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) kepada sembilan pelajar wanita kaum Penan yang melanjutkan pelajaran di Kolej Segi dalam jurusan Diploma Kejururawatan di kediamannya di Tabuan Jaya di sini.
Jabu memberitahu, pihak Salcra telah memberi sumbangan berjumlah RM9,000 dengan setiap pelajar terbabit memperoleh RM1,000 sebagai perbelanjaan untuk sewa bilik selama enam bulan dan duit poket.
Katanya, kerajaan juga berusaha membantu pelajar daripada kaum tersebut dan meminta Murang mencari jalan bagaimana kerajaan dapat membantu pelajar daripada kaum Penan berkenaan.
''Hari ini, pihak Salcra menyampaikan sumbangan kepada sembilan pelajar ini sebelum mereka mendapat bantuan kewangan lain seperti pinjaman pendidikan atau sebagainya.
''Sumbangan itu untuk pelajar ini membayar sewa bilik (RM120 hingga RM160 sebulan) selama enam bulan dan bakinya boleh digunakan sebagai duit poket," ujarnya.
Dalam pada itu, sembilan pelajar terbabit akan menjalani pengajian Diploma Kejururawatan selama sembilan semester dengan yuran pengajian sebanyak RM5,000 satu semester bagaimanapun perbelanjaan lain seperti makan dan tempat tinggal ditanggung sendiri.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dikatakan telah bersetuju untuk membantu pelajar tersebut dengan memberi pinjaman pendidikan kepada sembilan pelajar terbabit bagi menjalani pengajian di kolej berkenaan.
habis
No comments:
Post a Comment