PUTRAJAYA 12 Ogos - Semua sekolah hanya akan ditutup akibat selesema babi atau influenza A (H1N1) berdasarkan keputusan yang dibuat oleh pengetua mengikut nasihat Kementerian Kesihatan dan persetujuan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, keputusan pengetua bergantung kepada situasi dalam sekolah terbabit sekiranya kehadiran murid atau guru terlalu sedikit akibat pandemik tersebut.
''Pandemik H1N1 ini telah memasuki fasa mitigasi, oleh itu tindakan penutupan sekolah dan institusi hanya diambil sebagai pilihan terakhir.
''Tindakan penutupan itu hanya boleh dilakukan oleh pihak sekolah atau institusi apabila kehadiran pelajar sangat rendah dan pembelajaran tidak dapat dibuat dengan baik," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tiong Lai berkata, garis panduan penutupan sekolah itu berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pandemik Influenza kali ke-11 hari ini.
''Mesyuarat itu juga mengeluarkan arahan kepada ibu bapa atau penjaga untuk memastikan anak mereka yang mempunyai gejala virus terbabit tidak hadir ke sekolah dan mendapatkan rawatan.
''Pihak sekolah juga diminta membuat pemerhatian dan pemantauan terhadap pelajar setiap hari dan merujuk ke klinik untuk rawatan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, rawatan antiviral juga perlu diberi keutamaan kepada tiga kumpulan pesakit iaitu yang mempunyai tanda-tanda influenza dan berisiko tinggi.
''Individu yang mempunyai tanda influenza tetapi tidak berisiko dan mempunyai tanda demam tinggi serta berpanjangan turut diberi keutamaan selain mereka yang telah menjalani ujian rapid dan didapati positif serta mengalami tanda jangkitan teruk selama 48 jam.
''Tanda jangkitan yang dimaksudkan ialah sesak nafas, sakit dada berterusan, kahak berdarah, cirit-birit, muntah berterusan, berkelakuan luar biasa, keliru, kurang responsif atau pening," katanya.
Sehubungan itu, Tiong Lai berkata, semua doktor sama ada di hospital kerajaan atau swasta perlu memahami cara rawatan dan segera menjalankan rawatan kepada pesakit.
''Kita tidak mahu pesakit yang datang di hospital swasta dihantar ke hospital kerajaan. Ini melambatkan rawatan kerana hospital swasta juga berkemampuan dan mempunyai antiviral ini," katanya.
Sementara itu, Tiong Lai berkata, Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memantau stok penutup mulut dan pembasmi kuman serta memastikan peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya ke atas dua barang itu.
''Saya minta pihak pengeluar, pembekal dan penjual penutup mulut dan pembasmi kuman tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana didapati ada yang menjual sehingga RM5 untuk setiap penutup mulut yang berharga 25 sen," katanya.
No comments:
Post a Comment