Friday, August 14, 2009

Mayat bayi ditemui di tandas sekolah

Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my

Polis tahan seorang pekerja am berusia 40-an dan suaminya bagi membantu siasatan

ALOR SETAR: Mayat seorang bayi lelaki ditemui di dalam pengepam mangkuk tandas oleh seorang pencuci tandas di bilik air pelajar lelaki Sekolah Menengah Sains Pokok Sena dekat sini, pagi semalam.

Ketika ditemui sebahagian anggota badan bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu berada di dalam pengepam berkenaan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kota Setar, Deputi Superintendan Fiesal Libertus Abdullah, berkata pencuci yang terkejut dengan penemuan itu memaklumkan kepada pengetua sekolah dan membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena di sini, kira-kira jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, polis berkejar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan menemui mayat bayi yang tidak berpakaian, berbau dan masih mempunyai tali pusat itu, dipercayai dibuang dua hari lalu.

"Siasatan awal mendapati seorang pekerja am wanita berusia 40-an di sekolah ini pernah mengalami pendarahan ketika bertugas Selasa lalu dan dia dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, untuk mendapat rawatan.

"Wanita itu dikatakan mengalami pendarahan ketika menuruni tangga bangunan sekolah sebelum dihantar oleh pengurusan sekolah ke hospital itu," katanya di sini, semalam.

Berikutan itu, katanya polis menahan wanita terbabit dan suaminya seorang penoreh getah bagi membantu siasatan.

"Wanita itu mempunyai lima anak berumur antara 13 dan 24 tahun ditahan di wad HSB kerana masih menerima rawatan," katanya.

Mohd Feisal Libertus berkata, polis akan mengambil keterangan beberapa orang saksi, termasuk suami wanita terbabit bagi membantu siasatan.

"Buat masa ini wanita berkenaan adalah suspek utama kes ini. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 309B dan 318 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh serta menyembunyikan kelahiran anak.

"Kita akan membuat ujian asid dioksiribonukleik (DNA) bagi menentukan kaitan antara wanita terbabit dengan mayat bayi yang ditemui itu," katanya.




No comments:

Post a Comment