Sunday, August 9, 2009

Penguasaan, fasih BI perlu dipertingkat: TPM

Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my


KUALA LUMPUR: Penguasaan dan kefasihan dalam menggunakan bahasa Inggeris perlu diberi perhatian kerana ia adalah bahasa pengantar yang digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata dengan lebih 350 juta penduduk di seluruh dunia menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan harian, menjadikannya bahasa antarabangsa untuk bidang diplomasi, perniagaan, sains, teknologi, perubatan dan pertahanan.

“Kualiti pendidikan yang baik boleh membantu memakmurkan lagi sesebuah negara. Kita tidak boleh selamanya menafikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai faktor penting untuk menentukan tahap pendidikan kita,” katanya dalam ucapan merasmikan Pertandingan Akhir RHB-New Straits Times (NST) Spell-It Right (SIR) di sini semalam.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Pertandingan akhir itu membabitkan 14 sekolah di peringkat rendah dan 14 di peringkat menengah.

Turut hadir Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Pengerusi RHB Bank Berhad dan Pengarah RHB Capital Berhad, Tan Sri Azlan Zainol dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Zainul Arifin Mohamed Isa; Pengerusi RHB Capital Berhad, Datuk Mohamed Khadar Merican dan Pengarah Urusan Kumpulan RHB Capital, Datuk Tajuddin Attan.

Muhyiddin berkata, kementeriannya sentiasa memberikan perhatian serius dalam usaha untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

"Antaranya, bermula 2012, kita akan tambah masa pelajaran bahasa Inggeris di semua sekolah dan menempatkan guru Inggeris terbaik termasuk guru dari luar negara. Penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan harian boleh membantu pelajar lebih cepat menguasainya,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Jawhar berkata NSTP komited dalam membantu kerajaan meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris di seluruh negara.

Katanya, pelbagai program khidmat masyarakat diatur NSTP bakal diteruskan bagi memastikan penguasaan bahasa Inggeris, terutama pelajar luar bandar dapat ditingkatkan.

No comments:

Post a Comment