Friday, August 14, 2009

Pengetua ada kuasa tutup sekolah

Oleh Amirullah Andi Nur, Sazarina Shahrim dan Badrul Hizar Ab Jabar
bhnews@bharian.com.my


ORANG ramai mendapatkan ubat antiviral Tamiflu dan Relenza di farmasi untuk mengawal penularan wabak Influenza A.

Guru Besar hanya perlu rujuk Jabatan Kesihatan untuk elak penularan H1N1

MELAKA: Tiada garis panduan disediakan berhubung prosedur menutup sekolah bagi menangani penularan Influenza A (H1N1), tetapi pengetua dan guru besar diberi kuasa membuat keputusan selepas mendapat nasihat Jabatan Kesihatan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata prosedur sama digunakan bagi semua institusi pengajian tinggi (IPT).

"Sebelum guru besar atau pengetua membuat keputusan, Jabatan Kesihatan perlu dipanggil. Kalau tidak ramai pelajar terbabit, pelajar yang dijangkiti perlu keluar dan dihantar ke hospital atau rumah. Mereka perlu jalani rawatan H1N1.

"Kalau diasingkan, pelajar lain di sekolah tidak terganggu. Kalau ada kebimbangan wabak merebak, maka jabatan akan nasihatkan menutupnya. Begitu juga di IPT, mereka mengikut panduan yang sama.

"Keputusan dibuat pengurusan IPT dan bukan Kementerian Pengajian Tinggi sebab mereka mempunyai kuasa autonomi untuk menangguh atau mengawal cuti semester," katanya mengulas percanggahan pendapat mengenai desakan supaya sekolah ditutup bagi mengelak penularan wabak itu.

Akhbar ini semalam melaporkan sesetengah pihak keliru kerana mendakwa garis panduan penutupan sekolah dan IPT yang dikeluarkan pihak berkuasa tidak jelas.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian memberi kelonggaran kepada pengetua dan guru besar membuat keputusan kerana tidak mampu memantau kira-kira 10,000 sekolah di seluruh negara.

"Kadang-kadang, ibu bapa minta kita tengok perkara ini, sebab (kebimbangan) mereka ada asas. Ibu bapa bimbang, wabak ini akan berjangkit. Kalau belum ada kes, sekolah akan berjalan macam biasa. Saya percaya dengan cara ini, keputusan akan dibuat mengikut keadaan sekolah," katanya.

Muhyiddin juga berkata, kementerian membelanjakan RM3 juta bagi membekalkan pencuci tangan dan topeng muka kepada kira-kira 500,000 pelajar seluruh negara.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata penutupan sekolah tidak akan dapat membendung penularan H1N1 kerana wabak itu sudah menular dalam masyarakat.

Katanya, penutupan sekolah bukan langkah berkesan mengawal penularan wabak yang semakin kritikal dengan jumlah kematian yang terus bertambah.

"Kalau kita mahu tutup sekarang, bila nak buka. Kita tutup seminggu dan buka semula tetapi jika ada kes, adakah kita mahu menutupnya kembali. Wabak ini sudah menular dalam masyarakat, bukan hanya di sekolah. Kita boleh dijangkiti di pasar malam, rumah dan pasar raya.

"Cara terbaik adalah mengasingkan mereka yang sakit seperti selesema dan demam daripada pelajar sihat," katanya sambil menasihatkan ibu bapa tidak menghantar anak yang sakit ke sekolah selama seminggu sehingga sihat.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran mempunyai hak jika mahu cuti persekolahan yang sepatutnya pada 21 Ogos dipercepatkan.

Liow juga berkata kerajaan tidak perlu mengisytiharkan darurat kesihatan kerana sudah dan akan mengambil langkah mengawal wabak itu.


No comments:

Post a Comment