TANGGUNGJAWAB hakiki guru adalah menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan sempurna, bagaimanapun perkhidmatan mereka dikatakan terjejas kerana sebahagian masa digunakan untuk menyelesaikan tugas perkeranian.
Isi guru sarat dengan beban sampingan bukan perkara baru kerana ia pernah dibangkit dan dibincangkan sebelum ini, malah turut dikatakan sebagai antara faktor menyebabkan ada guru mengalami stres.
Berikutan itu, pelbagai cadangan dikemukakan bagi mengatasi masalah itu, antaranya meminta kementerian mewujudkan jawatan pembantu guru, antara lain bertanggungjawab membantu tugas guru di bilik darjah.
Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arshad, berkata 25 persatuan dan kesatuan guru pernah berbincang mengenai cadangan itu dengan Kementerian Pelajaran, September lalu.
"Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail menyatakan jawatan pembantu guru akan dipertimbangkan, namun selepas pemergian beliau, ia seolah-olah tiada kesinambungan dan kami masih menunggu jawapan hingga kini.
SEKOLAH Pendidikan Khas lebih memerlukan khidmat pembantu guru berbanding sekolah lain. |
"Jika jawatan itu diwujudkan, ia akan dapat memantapkan lagi persiapan guru untuk mengajar, selain tumpuannya fokus terhadap perkembangan pelajar.
"Sekarang, jika ditanya atau mempersoal mutu P&P, pelbagai alasan guru berikan antaranya faktor masa tidak mencukupi kerana sebahagian masa dihabiskan membuat tugas perkeranian," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Beliau berkata, nisbah ideal seorang pembantu guru mengelolakan dua kelas dan jika perlu ia berdasarkan kapasiti sebenar sesebuah sekolah.
Dalam nada sama, Pengetua Sekolah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan), Setapak, Che Fatimah Che Abdullah, berkata melantik pembantu guru perlu disegerakan kerana sudah terlalu lama ia diuar-uarkan tetapi tiada sebarang keputusan.
Penerima Anugerah Pengetua Cemerlang 2008 itu berkata, jika jawatan itu diwujudkan, jumlahnya perlu mencukupi terutama di sekolah pendidikan khas untuk membantu guru mengajar pelajar kurang upaya.
"Berbeza dengan sekolah biasa, penyediaan bahan peperiksaan di sekolah khas cacat penglihatan perlu dibuat satu persatu kerana menggunakan tulisan 'braille' dan jika ada gambar rajah, guru perlu buat sendiri.
"Proses ini memakan masa sehingga ada guru terpaksa menyelesaikannya hingga larut malam dan mengorbankan hari minggu untuk menghasilkannya, selain tugas menjalankan tugas rutin.
Seorang guru di selatan tanah air yang hanya mahu dikenali sebagai Akila berkata, tugas perkeranian seperti pengurusan fail peribadi pelajar, rekod masalah ponteng, persediaan peperiksaan, pengurusan buku kokurikulum, tugas menaip minit mesyuarat serta laporan aktiviti sekolah, membersihkan bengkel, pemfailan bank soalan perlu diserahkan kepada petugas lain.
Selain itu, tugas pendaftaran, urusan kewangan (pungutan yuran) juga perlu dilakukan pembantu supaya guru benar-benar dapat menumpukan perhatian terhadap proses P&P.
Tanpa pelbagai perkara remeh yang memerlukan masa untuk diselesaikan itu, katanya, guru tiada lagi alasan untuk tidak memberikan komitmen penuh terhadap kualiti penyampaian masing-masing.
Sementara itu, seorang guru Sains di sebuah sekolah di Klang yang enggan namanya disiarkan berkata, kerja perkeranian kini seolah-olah tugasan rutin guru, sedangkan tanggungjawab sebenar menjalankan proses P&P.
Walaupun kerja perkeranian mudah, katanya, ia kadangkala terpaksa dibuat sewaktu mengajar, contohnya melengkapkan urusan kesihatan serta pelbagai rekod berkaitan pelajar.
"Ada ketika berlaku kecemasan, pembelajaran terhenti kerana guru perlu menyelesaikannya. Jika ada pembantu, kelas dapat diteruskan dan ini tidak merugikan pelajar.
"Contoh lain, apabila ada sesuatu dasar baru dilaksanakan, guru juga perlu membuat penilaian dan laporan terhadap setiap pelajar, ia memerlukan masa untuk mengumpul semua data. Ini mengganggu tumpuan terhadap proses P&P," katanya.
No comments:
Post a Comment