Monday, August 24, 2009

Guna sempoa dan aritmetik kuasai Matematik - Masidi

KOTA KINABALU 23 Ogos - Para pelajar di negeri ini digalak mempelajari kemahiran menggunakan sempoa dan aritmetik bagi memudahkan mereka menguasai mata pelajaran Matematik.

Exco Pelajaran Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, pengunaan alat kira-kira tradisional tersebut mampu meningkatkan kecekapan dan ketangkasan mengira dengan berkesan.

"Menguasai kemahiran menggunakan sempoa dan aritmetik bukan sahaja membantu meningkatkan daya pengiraan, tetapi meningkatkan keyakinan dalam menyelesai permasalahan.

"Penggunaan alat itu memang terbukti dapat membantu pelajar menguasai Matematik dengan lebih cekap dan pantas. Ini juga akan membantu mereka mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

"Penggunaan sempoa dalam pembelajaran Matematik merupakan salah satu teknik alternatif yang menarik dan perlu dikuasai," katanya semasa berucap merasmi pelancaran Satu Konsep Universal Berasas Sistem Mental Aritmetik di City Mall, di sini semalam.

Masidi yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata, teknik menggunakan alat tradisional itu juga mampu memberi perangsang untuk mempelajari Matematik.

Secara tidak langsung, katanya, para pelajar akan akan lebih berminat mempelajari dan membina keyakinan diri dalam subjek Matematik.


No comments:

Post a Comment