Monday, August 24, 2009

'Tindakan wajar selepas ikuti kaunseling'

PELBAGAI pihak bersetuju dengan cadangan melaksanakan semula hukuman rotan terhadap pelajar yang melanggar disiplin serta terbabit salah laku di sekolah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan Bohor Baru, Bentong, Mohamad Kamal Mohamad, bagaimanapun mencadangkan ia sebagai tindakan akhir selepas pelajar gagal dipulihkan menerusi sesi kaunseling.

Beliau berkata, hukuman itu masih boleh dielakkan jika guru bijak mengawal situasi dengan mengadakan perbincangan bersama ibu bapa, selain mengambil pendekatan diplomasi menangani sesuatu isu.

“Guru perlu peka mengenai situasi semasa dan masalah pelajar. Sewajarnya sesuatu masalah itu diperhalusi dengan memanggil ibu bapa untuk berbincang.

“Saya yakin jika kedua-dua pihak berbincang, masalah pelajar dapat diatasi tanpa perlu mengambil tindakan merotan,” katanya.

Seorang ibu, Malathi Marimuthy, berkata hukuman rotan wajar dilaksanakan semula kerana masalah disiplin pelajar kini semakin meruncing.

“Hukuman rotan ini sudah dilaksanakan sejak sekian lama dalam sistem pendidikan negara dan ia dilihat banyak memberi kebaikan kepada pelajar kerana selepas dirotan mereka memperbaiki kesilapan.

“Hari ini kita boleh lihat hasilnya, pelajar pernah dirotan guru menjadi manusia berguna dan mampu berbakti kepada negara. Tidak kurang pula memegang jawatan penting dalam sektor awam dan swasta,” kata jurutera kanan di sebuah syarikat multinasional di Pahang itu.

Jika dilaksanakan semula, beliau sependapat dengan Mohamad Kamal, hukuman itu perlu diambil setelah mengambil kira pelbagai aspek, antaranya sudah melalui proses kaunseling.

“Bagaimanapun, guru diharapkan tidak mengambil tindakan sewenang-wenangnya dan menjadikan pelajar sebagai sasaran melepaskan tekanan akibat bebanan tugas,” katanya.

Beberapa murid pula menyifatkan hukuman rotan itu wajar seperti kata Siti Sarah Ahmad Nizam, 11, guru boleh mengambil tindakan itu jika mereka benar-benar melakukan kesalahan.

Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Tun Fatimah, Bentong yang pernah dirotan ibu bapa kerana melakukan kesalahan di rumah itu berkata, setiap hukuman mesti ada sebabnya.

“Jika tidak melanggar peraturan, kita tidak akan dirotan,” katanya yang berpegang nasihat ibunya bahawa sesuatu hukuman itu hanya dikenakan apabila melakukan kesalahan.

Sementara itu, Megat Aridh Helmi Ahmad Mahidin, 12, berkata dia tidak menyalahkan guru jika dirotan kerana melanggar disiplin.

Anak sulung daripada tiga beradik dari Sekolah Kebangsaan Sulaiman, Bentong, berkata jika kesalahan pertama diharap guru dapat maafkan.

“Jika melakukan kesalahan dan guru melaporkan kepada ibu bapa, keadaan mungkin jadi lebih teruk. Baik kena rotan di sekolah.

“Tidak semua murid langgar disiplin. Guru kena siasat dulu sebelum hukum,” katanya yang juga pernah dirotan apabila melakukan kesalahan di rumah.



No comments:

Post a Comment