Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my
KEMENTERIAN Pelajaran kini dalam proses menyelaras dan berbincang dengan pelbagai pihak berkaitan mengenai jumlah guru diperlukan bagi melaksanakan transformasi pendidikan prasekolah di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan, Datin Asariah Mior Shaharuddin, berkata pihak terbabit ialah Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional.
Katanya, ia antara langkah proaktif dilakukan kementerian itu bagi memastikan jumlah guru pendidikan asas itu mencukupi di semua tempat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Kita masih lagi dalam proses menyelaras dan merangka strategi komprehensif bagi memenuhi keperluan itu, termasuk kemungkinan melatih guru prasekolah menerusi Kursus Perguruan Lepas Ijazah berasaskan sekolah.
“Ada banyak institut pendidikan guru (IPG) yang menawarkan kursus prasekolah dan diyakini mereka dapat membantu kita menyediakan guru prasekolah diperlukan,” katanya selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun IPG Kampus Ilmu Khas di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama wakil Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Datin Dr Fauziah Othman; Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Noorul Aini Abdul Rahman dan Timbalan Pengarahnya, Darawisah Sayuti.
Dalam perkembangan lain, Asariah berkata IPG Kampus Raja Melewar, Seremban akan dinaik taraf menjadi IPG Sukan yang memfokuskan kursus perguruan berteraskan sukan.
Justeru katanya, usaha penambahbaikan kelengkapan dan prasarana IPG itu akan dilaksanakan menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-10, selain memastikan kepakaran pensyarah mencukupi.
Beliau berkata, langkah menaik taraf IPG terbabit membolehkan Kementerian Pelajaran melahirkan jurulatih sukan berwibawa untuk pembangunan sukan, sekali gus mempercepat usaha melahirkan atlit pelapis bertaraf dunia.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta warga IPG Kampus Ilmu Khas komited dalam menggarap dan menjayakan misi serta visi kecemerlangan institut itu.
Sebagai IPG tersohor dan kini menjangkau usia emas, beliau institut itu wajar mencapai sasaran menjadi pusat kecemerlangan dan kebitaraan ilmu terulung di negara ini.
“Saya yakin dengan kekuatan bidang pendidikan khas, seni visual, muzik, pendidikan jasmani dan kesihatan IPG ini.
“Sasaran itu mampu dicapai dalam tempoh singkat jika warganya memberi komitmen dan sinergi padu,” katanya.
No comments:
Post a Comment