NABAWAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan, Datuk Bobbey Suan meminta Kementerian Pelajaran supaya masalah kekurangan rumah guru di daerah ini diatasi untuk memberi keselesaan kepada guru-guru yang bertugas di beberapa buah sekolah di daerah ini.
Katanya, beberapa sekolah termasuk sekolah menengah di daerah ini mengalami masalah kekurangan guru menyebabkan ada di kalangan guru-guru yang bertugas di kawasan ini terpaksa berulang alik dari Keningau ke sekolah tempat bertugas.
Bobbey yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata, ini disebabkan daerah Nabawan tidak mempunyai rumah sewa yang cukup.
Keadaan ini katanya, menimbulkan masalah kepada guru-guru yang bertugas di beberapa buah sekolah di daerah ini.
“Selain itu terdapat juga guru-guru di sekolah terpencil yang tinggal di rumah yang tidak selesa,” katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di sini minggu lepas.
Justeru itu, katanya, masalah yang dihadapi oleh guru-guru di kawasan Pedalaman perlu diatasi bagi memberi keselesaan kepada mereka.
Mengenai dengan pemberian insentif kepada pengetua dan guru besar bagi memberi galakan kepada mereka menjalankan tugas dengan lebih berkesan Bobbey mengalu-alukan insentif itu untuk kebaikan pembangunan pendidikan.
Walau bagaimanapun katanya, mereka yang bakal mendapat insentif itu haruslah menjalankan tugas setimpal dengan apa yang mereka terima.
Bobbey berkata, guru-guru yang bertugas di sekolah terpencil sememangnya sudah diberi insentif khas.
Beliau berkata, sebarang pemberian insentif kepada guru-guru yang bertugas di sekolah-sekolah terpencil di kawasan Pedalaman khusus dialu-alukan.
Ini katanya, selain sanggup bertugas di sekolah terpencil, mereka juga menghadapi pelbagai masalah kerana dalam perjalanan sama ada perjalanan darat dan sungai.
Selain daerah Nabawan, daerah Tenom juga turut mengalami masalah kekurangan rumah guru.
No comments:
Post a Comment