Sunday, July 19, 2009

Agih guru bahasa Inggeris secara sama rata, kata Ronald

19th July, 2009

BELURAN: Kementerian Pelajaran diminta mengagihkan penempatan guru bahasa Inggeris secara sama rata bagi merapatkan jurang penguasaan bahasa itu antara pelajar sekolah bandar dan luar bandar.

Anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee berkata ketidaksamarataan dalam penempatan guru bahasa Inggeris secara berterusan akan menjejaskan dasar pendidikan negara.

“Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa ini, penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar luar bandar masih rendah berbanding pelajar di bandar,” kata ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru peringkat daerah Beluran di sini, kelmarin.

Beliau, yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, berkata penempatan guru bahasa Inggeris perlu dilihat dengan lebih serius kerana pelajar luar bandar juga berhak mendapat kualiti pendidikan yang sama.

Katanya ianya selaras dengan usaha melaksanakan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan berikutan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Katanya langkah menempatkan lebih ramai guru bahasa Inggeris yang berkelayakan adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sabah dan Sarawak.


No comments:

Post a Comment