Friday, July 24, 2009

Kecewa subjek muzik diabaikan

Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my


JOHAMI mewakili persatuannya terus memperjuangkan subjek muzik di sekolah.

Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia mahu pendidikan muzik di sekolah tidak dikurangkan, hapus

PERSATUAN Pendidikan Muzik Malaysia (Mame) kesal tindakan sesetengah sekolah yang menggantikan atau menggunakan peruntukan masa mata pelajaran Pendidikan Muzik dengan mata pelajaran lain dalam jadual sekolah.

Tindakan itu jelas bertentangan dengan Akta Pendidikan yang masih diguna pakai sekarang yang dengan terang menyatakan pendidikan muzik sebagai satu mata pelajaran wajib di semua sekolah rendah.

Presiden Mame, Johami Abdullah berkata, persatuan ini berpendapat adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana individu atau pihak yang menghalang dan menidakkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran pendidikan muzik di sekolah.

Sehubungan itu, katanya, individu atau pihak yang didapati melanggar akta ini boleh dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Baru-baru ini Kementerian Pelajaran mengumumkan rancangan untuk mengurangkan masa 60 minit seminggu yang diperuntukkan untuk mata pelajaran Pendidikan Muzik dalam Kurikulum Sekolah Rendah.

“Tindakan ini bukan saja menganaktirikan mata pelajaran Muzik tetapi yang lebih dikhuatiri ialah ia akan menjejaskan hasrat dan cita-cita murni menyediakan pendidikan holistik selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara (FPN),” katanya menerusi satu kenyataan kepada Hip.

Mame adalah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 2002. Majoriti ahlinya adalah golongan pendidik muzik seluruh tanah air dari peringkat tadika hingga ke universiti. Mame turut dianggotai individu yang tidak terbabit secara langsung dengan bidang pendidikan muzik namun mempunyai minat mendalam dalam muzik dan percaya kepada nilai serta kepentingan pendidikan muzik.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2002, Mame sentiasa membantah sebarang idea yang bertentangan dengan kepentingan muzik dalam kurikulum. Pada Januari 2007, menerusi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, menggariskan enam teras utama - pembangunan bangsa, perkembangan modal insan, pengukuhan sekolah kebangsaan, mengurangkan jurang pendidikan, meningkatkan profesion perguruan dan meningkatkan kecemerlangan institusi pendidikan.

Namun demikian, kata Johami, selain mengaitkan muzik dengan sekolah kluster, peranan pendidikan muzik ternyata tidak wujud dalam keenam-enam teras yang umumkan.

“Satu memorandum berkaitan perkara ini dihantar kepada Kementerian Pelajaran ekoran satu konvensyen peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Majlis Hiburan Dan Seni Tanah Air (Mahkota) di Johor Baru,” katanya lagi.

Tambah Johami lagi, pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran melaksanakan urusan yang berkaitan pendidikan muzik tanpa merujuk atau berbincang dengan pelbagai pihak seperti ibu bapa, golongan profesional, aktivis dan NGO yang berkaitan terus dengan pendidikan muzik.

Menurutnya, keadaan ini amat membimbangkan disebabkan tidak seorangpun daripada pihak pengurusan tertinggi di kementerian terbabit yang mempunyai latar belakang pendidikan muzik.

“Sekurang-kurangnya, beberapa pendidik muzik dari pelbagai bahagian di Kementerian Pelajaran boleh dipanggil untuk mewakili pendidikan muzik. Permasalahan guru muzik dalam bilik darjah yang selalu diluahkan dalam bengkel atau seminar tetapi sering kali dipandang ringan.

“Sesetengah bahagian seperti Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) sudah mencuba sedaya upaya mereka tetapi secara keseluruhan hampir semua pegawai di Kementerian Pelajaran yang berlatar belakang pendidikan muzik tidak mempunyai jawatan cukup tinggi di mana suara dan pandangan mereka akan diambil kira,” katanya.

Muzik mata pelajaran wajib di negara maju

JOHAMI berkata, sebagai perbandingan, elok ditinjau senario di beberapa negara maju di mana pendidikan muzik dilihat sebagai antara mata pelajaran utama dan penting dalam pembangunan modal insan yang sudah tentunya bermula di sekolah.

Di Jepun misalnya, setiap murid gred 1-9 (Tahun 1 hingga Tingkatan 3) diwajibkan mengikuti pelajaran muzik selama 120 minit seminggu. Setiap sekolah di Jepun mempunyai kemudahan dan peralatan serta bahan pengajaran dan pembelajaran muzik yang lengkap termasuk bilik khas muzik. Manakala di Jerman, setiap murid dari tadika ke gred 12 (tingkatan 2) diwajibkan mengikuti pelajaran muzik sekurang-kurangnya 90 minit seminggu.

“Mame berharap untuk melihat Pendidikan Muzik yang berkualiti dalam kurikulum yang memberi impak positif dalam mendidik anak bangsa secara holistik dan keadaan ini dapat diperhatikan pada tingkah laku pelajar tidak kira sama ada mereka adalah daripada jurusan Sastera atau jurusan Sains, sekolah bandar atau luar bandar,” katanya.

Menurutnya, memang bukan semua orang dilahirkan dengan keupayaan untuk menghasilkan karya muzik tetapi dapat dilatih untuk menghargai muzik.

Oleh itu, hasil sampingan sesuatu program pendidikan muzik yang berkualiti akan memastikan pelajarnya dapat menyanyi dengan irama dan ‘pic’ yang tepat, menghargai pelbagai jenis genre dan gaya muzik, berbicara mengenai muzik secara intelek, mempunyai kepekaan bahawa pelbagai gaya muzik wujud dalam dunia dari dulu sehingga sekarang dan mengguna muzik sebagai hiburan pada masa lapang secara sihat.

“Pendidikan muzik menyediakan satu haluan kukuh untuk kejayaan dalam pelbagai aspek dan proses pendidikan. Justeru, tidak ada satu alasan yang kukuh untuk mengubah persepsi ini.

“Kurikulum Pendidikan Muzik di sekolah akan hanya berkesan sekiranya terdapat proses pengajaran dan pembelajaran yang berterusan dan secara sistematik,” katanya.

No comments:

Post a Comment