Sunday, July 19, 2009

Mencari ilmu di hujung jari

Oleh Siti Suriani Othman dari Nottingham, England
suria3979@gmail.com

TIDAK dinafikan, antara peluang paling menarik dapat melanjutkan pengajian ke luar negara adalah nikmat membeli buku dengan harga murah. Bukan hanya di jualan 'carboot' seperti yang pernah saya kongsikan dulu, malah melalui laman web seperti Amazon.co.uk atau Abebooks.co.uk yang menawarkan lebih banyak buku seperti buku teks untuk pembelajaran sehinggalah kepada novel berbahasa Inggeris yang dijual dengan harga yang tinggi di Malaysia.

Saya sendiri mengambil peluang ini untuk membeli buku untuk pengajian melalui Amazon.co.uk. Buku baru dijual dengan harga lebih murah daripada harga pasaran, termasuk pilihan untuk penghantaran buku secara percuma, terus ke pintu rumah.

Jika ditambah tolak, harga buku keseluruhannya adalah lebih murah dan dipos ke rumah dalam beberapa hari saja. Amat mudah kerana kita tidak perlu keluar rumah mencari buku yang dikehendaki, semuanya berada di hujung jari dengan pilihan yang boleh dikatakan amat luas, membolehkan kita membeli hampir semua buku dalam bahasa Inggeris di dunia ini.

Amazon.com.Inc adalah syarikat perdagangan elektronik terbesar di Amerika Syarikat. Diasaskan oleh Jeff Bezos pada 1994, Amazon.com dilancarkan secara rasmi pada 1995. Jeffrey Preston Bezos dilahirkan 44 tahun lalu di New Mexico, Amerika Syarikat adalah pengasas, presiden, ketua eksekutif dan pengerusi lembaga pengarah Amazon.com.

Beliau adalah penganalisis kewangan sebelum menubuhkan Amazon. Pada 1999, majalah Time menamakan Bezos sebagai 'Person of the Year' atau 'Personaliti Tahun Ini'. Pada 2008 pula, beliau dicalonkan sebagai seorang pemimpin terbaik di Amerika. Kejayaannya menakluk pasaran dot.com dunia ini menjadikan Bezos antara 100 orang terkaya di Amerika sehingga 2005.

Pada 1999, beliau adalah orang ke-19 terkaya di Amerika dengan harta AS$10 bilion dan kedudukan itu melonjak pada 2008, naik tangga ke-10 di Amerika dengan AS$8.2 bilion.

Dimulakan dengan penjualan buku secara online, hari ini produk jualan di Amazon termasuk pelbagai produk komputer, permainan video, pakaian, barang elektronik, makanan, permainan kanak-kanak dan lain-lain. Perkembangan itu membawa Amazon mengembangkan sayapnya ke negara lain seperti Kanada, United Kingdom (UK), Jerman, Perancis, China dan Jepun.

Sehingga hari ini, Amazon terus gagah di persada perniagaan online dengan untung bersih mencecah AS$190 juta pada 2006. Laman web Amazon.com sendiri menarik sehingga 615 juta pengunjung setiap tahun sehingga 2008 berdasarkan satu tinjauan yang dijalankan oleh Compete.com.

Antara tarikan utama menjadikan Amazon mendapat kepercayaan pembelinya ialah kebolehan pengguna membeli sesuatu barang untuk berkongsi ulasan produk yang dibeli serta mengenai penjual barangan terbabit.

Memandangkan Amazon.com membuka jualan kepada semua orang dan tidak hanya terhad kepada penjualan dari kedai Amazon saja, kredibiliti penjual yang juga pembeli biasa yang kadang-kadang tidak langsung mempunyai kedai dan menjual barangan terpakai lebihan dari stor di rumah, memang menjadi persoalan penting kepada pembeli.

Ulasan yang dibuat oleh pembeli membabitkan beberapa aspek. Aspek keseluruhan diberikan dalam bentuk bintang. Lima bintang untuk peniaga yang menjalankan transaksi terbaik dan satu bintang untuk peniaga dengan reputasi amat buruk.

Pembeli juga boleh menjawab beberapa soalan pilihan, iaitu adakah barang yang dipesan sampai ke rumah sebelum tarikh tertentu yang selari dengan polisi Amazon, adakah barang yang dibeli sampai dalam keadaan dijanjikan oleh penjual dan adakah penjual berkomunikasi dengan pantas jika sebarang soalan di e-mel kepada mereka.

Maklumat ini amat penting dan diperlukan bagi memberi sedikit sebanyak idea mengenai produk dan peniaga yang menjual kepada pembeli berpotensi yang lain.

Semua maklumat ini boleh diperoleh daripada paparan barangan yang dijual dan hyperlink (jalinan daripada laman web ke lokasi yang lain) yang terkandung di dalam muka laman berkenaan.

Namun, kekurangan sistem ini tetap ada. Perkongsian ulasan ada yang disalah guna oleh sesetengah pihak terutama dalam penjualan buku. Pada 2004, Amazon mengesan amalan tidak beretika sesetengah penulis buku yang memberi ulasan baik terhadap bukunya sendiri tanpa menulis nama mereka dan memberi ulasan buruk terhadap buku hasil tulisan musuh.

Tindakan Amazon kemudian ialah memastikan semua komen kini disertakan dengan nama pihak yang memberi ulasan. Sistem ulasan sama digunakan oleh eBay Inc, iaitu satu lagi sistem perniagaan online terbesar di dunia.

Selain beroperasi di Amerika, eBay juga membenarkan perniagaannya dijalankan di 30 negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia dan UK.

Sistem ulasan yang digunakan oleh Amazon juga digunakan oleh eBay untuk membantu pembeli memilih barangan yang menepati cita rasa, selain peniaga yang menjalankan perniagaan maya dengan cara terbaik dan memuaskan hati pelanggan.

Buku juga ada dijual di eBay, tetapi bukanlah barang utama seperti Amazon. Yang nyata, banyak peluang terbentang membolehkan buku dibeli dengan harga lebih murah dan secara tidak langsung menyokong proses pembelajaran serta memupuk budaya membaca di kalangan pengguna.

Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah dalam bidang kewartawanan di Nottingham Trent


No comments:

Post a Comment